Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Silat sah di Sukan Asia 2018 di Jakarta

Feb 25, 2015 | 05:37 AM



SAH. Silat akan dipertandingkan sebagai acara rasmi dalam Sukan Asia Ke-18 yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September 2018.


Demikian menurut sepucuk surat daripada Presiden Majlis Olimpik Asia, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah, yang mengesahkan kemasukan silat dalam temasya serantau itu kepada Presiden Majlis Olimpik Indonesia Rita Subowo pada 1 Februari lalu.


Surat itu kemudian dihantar kepada semua presiden Persekutuan Pencak Silat Asia, termasuk Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa (Persilat) Prabowo Subianto dan Presiden Persekutuan Pencak Silat Asia (Apsif) Sheik Alau’ddin Yacoob Marican.


Ini kali pertama silat akan dipertandingkan secara rasmi dalam Sukan Asia sejak ditonjolkan sebagai acara persembahan dalam Sukan Asia Busan 2002 di Korea Selatan.


“Kami berasa amat gembira mendapat berita pengesahan ini.


“Ia adalah satu kejayaan dalam usaha kami memartabatkan silat bukan sahaja di Asia, malah di persada dunia,” jelas Sheik Alau’ddin yang mendedahkan kandungan surat itu kepada Berita Harian semalam.


Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 Erizal Chaniago, dalam suratnya kepada ketua silat Asia, berkata penyertaan silat adalah hasil kerja keras semua persekutuan silat yang mahu melihat sukan itu dipertandingkan dalam Sukan Asia Ke-18 di Jakarta.


Sheik Alau’ddin, yang juga Pengarah Besar (Persilat) dan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi), menambah:


“Sebagai langkah susulan, negara Asia perlu memberi sokongan penuh untuk memastikan silat terus dipertandingkan dalam Sukan Asia pada masa depan. Kami menyasarkan matlamat sejumlah 40 negara akan mengambil bahagian.


“Sejajar dengan sasaran ini, Apsif akan menggesa dan membantu persekutuan silat di seluruh Asia supaya menjalin kerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Negara (NOC) masing-masing.


“Sejauh ini, terdapat 28 daripada 45 negara dalam Asia yang sudah pun mempunyai persatuan atau persekutuan silat mereka sendiri.


“Langkah ketiga yang perlu diambil negara silat Asia ini adalah mengadakan latihan terbaik dalam usaha mempersiap pesilat masing-masing sejak dari sekarang.


“Ini kerana sementara menanti Sukan Asia 2018, pesilat ini berpeluang bertanding dalam Kejohanan Pencak Silat Sedunia setiap dua tahun, Sukan Pantai Asia dan bagi rantau Asia, Sukan SEA 2017.”


Bagi melicinkan persiapan bagi penyertaan silat dalam Sukan Asia di Jakarta, beliau berkata Persilat dan Apsif dijangka mengadakan satu mesyuarat bulan depan membincangkan jumlah kategori yang bakal dipertandingkan dan format pertandingan.


“Apsif akan mengusulkan supaya 22 kategori dipertandingkan – 10 kategori tanding lelaki, enam tanding wanita, tiga seni lelaki (tunggal, ganda dan regu) dan tiga seni wanita.


“Memandangkan jumlah negara peserta yang ramai, Apsif akan mengemukakan saranan supaya diadakan pertandingan pusingan awal di negara lain, misalnya, sebelum temasya dimulakan.


“Dengan cara ini, hanya peringkat suku akhir atau separuh akhir bagi setiap kategori sahaja akan diadakan di Jakarta selepas Sukan Asia dimulakan secara rasmi dengan setiap kategori melibatkan lapan peserta,” ujar Sheik Alau’ddin.


Selain Sukan Asia, Persilat menyasarkan matlamat menyertakan silat sebagai salah satu acara pertandingan dalam Sukan Olimpik 2024.


Sejumlah 34 acara sukan akan dipertandingkan dalam Sukan Asia 2018.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >