SINGAPORE Post Centre (SPC) di Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk dijadikan sebuah pusat membeli-belah pertama di sini yang menggabungkan kededua konsep kedai runcit biasa dan kedai dalam talian.
Apabila siap menjelang pertengahan 2017, pusat tersebut membolehkan para pengguna membeli-belah tanpa perlu membawa pulang sendiri barangan yang dibeli itu, tetapi ia dihantar langsung ke rumah menerusi khidmat penghantaran.
Ini memudahkan pengguna manakala peruncit tidak perlu menyimpan produk di kedai kerana produk-produk tersebut disimpan di gudang.
Kos membangun semula pusat tersebut bernilai sekitar $150 juta, kata Singapore Post yang memiliki pusat tersebut.
Langkah tersebut bertujuan untuk meningkatkan perniagaan e-niaganya bagi menangani pendapatan lemah dari perniagaan pos.