Singapura, Iceland dan Sweden paling atas dalam senarai taraf kesihatan dan hidup PBB

SINGAPURA menduduki tempat paling atas, bersama Iceland dan Sweden, dalam satu laporan taraf kesihatan dan hidup yang diterbitkan minggu ini dalam jurnal perubatan Lancet.

Laporan terbaru itu, mungkin yang paling menyeluruh sejauh ini, juga mendedahkan kelemahan luas usaha pembangunan mampan di seluruh dunia.

Mengikut matlamat kesihatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Singapura, Iceland dan Sweden berkongsi tempat paling tinggi dalam senarai 188 negara.

Menggunakan matlamat pembangunan mampan PBB sebagai panduan, yang mengukur perkara jelas (kemiskinan, air bersih, pendidikan) dan kurang jelas (ketidaksamaan sosial, inovasi industri), lebih daripada 1,870 penyelidik di 124 negara menyusun data mengenai 33 penunjuk berbeza kemajuan ke arah matlamat PBB berkaitan kesihatan.

Singapura mendapat mata keseluruhan 85.3 pada indeks Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan digolongkan dalam negara dengan mata paling tinggi bersama Iceland (85.5) dan Sweden (85.3).

Median indeks SDG ialah 59.3 di seluruh dunia.

Singapura mendapat mata penuh 100 (100 menunjukkan tahap selamat) bagi petunjuk seperti bencana (kadar kematian akibat kuasa alam semula jadi), kebantutan pertumbuhan (kelaziman kejadian pertumbuhan kanak-kanak bawah umur lima tahun menjadi bantut), kelemahan tubuh badan (kelaziman kejadian tubuh badan lemah bagi kanak-kanak bawah umur lima), malaria, penyakit tropika terabai, air dan sanitasi.

Ia juga satu-satunya negara yang mendapat mata sempurna dalam racun (kadar kematian akibat keracunan tidak disengajakan).

Singapura mendapat markah tertinggi (98) dalam beban risiko pekerjaan, yang menunjukkan ia negara terbaik dapat melindungi hak pekerja dan menggalak persekitaran kerja selamat dan terjamin bagi semua pekerja, termasuk pekerja asing, terutama migran wanita.

Kanak-kanak berumur antara dua dan empat tahun di Singapura juga kurang cenderung mengalami kegemukan berbanding rakan mereka di Sweden dan Iceland, dengan mata 62 Singapura lebih tinggi daripada dua negara dalam kedudukan tinggi itu.

Bagaimanapun, Singapura mendapat mata rendah 62 bagi kadar hepatitis B, yang terendah dalam kalangan 20 negara teratas.

Janggalnya, mata 62 Singapura bagi kadar kematian disebabkan air, sanitasi dan kebersihan antara yang paling rendah, sedangkan kebanyakan negara di tempat 20 teratas mendapat mata tinggi 80-an sekurang-kurangnya.

Akhirnya, mata 55 Singapura bagi paras zarah PM2.5 (mutu udara) antara yang paling rendah dalam kalangan 20 negara teratas.

Laporan itu juga mendedahkan kelemahan luas usaha pembangunan di seluruh dunia sedang negara di dunia terus berjuang dengan isu obesiti, HIV, bunuh diri, alkohol dan mutu udara.

Dalam semua rantau di dunia dan di seluruh spektrum pembangunan ekonomi, masalah kanak-kanak gemuk telah bertambah teruk, menurut kajian itu.

Amerika Syarikat, hairannya, lemah dalam kajian itu, menduduki tempat ke-28, antara Jepun dan Estonia.

Kajian baru itu dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates.

Waktu Solat

Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.