Singapura kehilangan pemimpin unggul

PEMERGIAN mendiang Encik Lee Kuan Yew begitu dirasai rakyat Singapura.

Sejak berita tentang kemasukannya ke hospital dikhabarkan kepada umum, rakyat Singapura tidak putus-putus mendoakan dan memberikan ucap selamat untuknya.

Keadaan mendiang menjadi bertambah buruk sejak beberapa hari lalu.

Mendiang dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 5 Februari lepas telah dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU), setelah disahkan menghidapi radang paru-paru yang teruk.

Encik Lee mula diberikan bantuan pernafasan sejak 21 Februari lalu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Encik Lee meninggal dunia pada 3.18 pagi tadi.

"Dengan penuh dukacita, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Pertama Singapura, telah meninggal dunia.

"Encik Lee menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang di Hospital Besar Singapura hari ini pada jam 3.18 pagi. Mendiang berusia 91 tahun.
Butiran mengenai di mana orang awam boleh memberikan penghormatan terakhir serta upacara persemadian akan diumumkan kelak," demikian menurut kenyataan PMO.
 

SGH pada 20 Mac lalu mula menyediakan tempat khas di Blok 7 untuk orang ramai meletakkan kad atau bunga, ataupun nota ucap selamat untuk mantan perdana menteri itu, sebagai menghargai keprihatinan yang mencurah terhadap mendiang yang semakin tenat.

Pemimpin akar umbi bagi kawasan undi Tanjong Pagar juga menyediakan tempat khas di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar untuk membolehkan penduduk melakukan hal serupa untuk anggota parlimen yang mewakili kawasan undi itu sejak 1955 lagi.

Ribuan cenderahati berupa jambangan bunga, kad, nota, belon dan patung, serta lukisan berbentuk karikatur dan potret, telah diletakkan di kedua-dua tempat itu sejak ia dibuka kepada awam.

Ada juga yang hadir dan dilihat seakan bertafakur dan mendoakan beliau di tempat khas itu.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bukan sahaja mengucapkan terima kasih atas sokongan dan ucap selamat orang ramai, malah turut mencoretkan harapan kepada bapanya agar sembuh.

Di media sosial juga, penghargaan dan ucap selamat yang diberikan kepada mendiang Encik Lee terus mencurah dengan orang ramai melakukan menerusi laman Twitter dengan menyertakan hashtag #ThankYouLKY (Terima Kasih LKY).

Hal serupa turut dilakukan warga menerusi laman Facebook dan turut dipaparkan menteri-menteri Kabinet, seperti Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, yang turut mengajak orang ramai mengongsi hashtag #ThankYouLKY yang diwujudkan sejak 23 Februari lalu itu.

Sebagai pengasas bersama dan Setiausaha Agung pertama PAP, mendiang telah memimpin parti itu dalam memenangi lapan pilihan raya umum dari 1959 hingga 1990, dan memimpin republik ini apabila ia berpisah dari Malaysia pada 1965.

Sebagai perdana menteri, mendiang Encik Lee berperanan penting dalam merubah Singapura daripada sebuah negara membangun menjadi antara negara paling maju di dunia.

Setelah melepaskan jawatan memimpin negara pada 28 November 1990 dan melantik Encik Goh Chok Tong sebagai perdana menteri kedua Singapura, mendiang Encik Lee telah dilantik menganggotai Kabinet Encik Goh sebagai Menteri Kanan sehingga 12 Ogos 2004.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pembimbing dalam Kabinet pimpinan Encik Lee Hsien Loong sehingga 21 Mei 2011, sebelum akhirnya melepaskan kesemua jawatan menteri, namun kekal sebagai Anggota Parlimen bagi GRC Tanjong Pagar sehingga akhir hayatnya.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.