Singapura sangkal lagi dakwaan pegawai Johor mengenai pembenihan awan

KONSULAT Besar Singapura di Johor menekankan sekali lagi pada Khamis (3 September) bahawa Singapura menyokong penuh operasi pembenihan awan di Johor semasa musim kering.

Bagaimanapun, untuk bergerak ke hadapan bersama-sama dalam usaha itu, Singapura memerlukan kerajaan Johor memberi butiran konkrit operasi tersebut, yang Singapura belum terima hingga sekarang.

Konsulat itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai respons kepada komen dalam media Malaysia pada 1 dan 2 September mengenai operasi pembenihan awan.

Ia merujuk khususnya kepada komen terkini oleh seorang ahli Exco Negeri Johor, Datuk Ir. Haji Hasni Haji Mohammad, pada 1 September lalu.

"Kami berharap dapat menerima maklumat yang diperlukan secepat mungkin, supaya pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua pihak boleh menyelaras operasi.

"Kami akan bekerjasama dengan Malaysia untuk mempercepat operasi pembenihan awan sebaik sahaja kami menerima butiran itu," kata seorang pegawai konsulat itu.

Singapura pernah mempertikai dakwaan Datuk Ir. Haji Hasni Julai lalu bahawa negara ini enggan membenarkan Johor menjalankan pembenihan awan di atas dua empangan milik agensi air negara PUB di negeri itu disebabkan kebimbangan wilayah.

Beliau mendakwa akibat pendirian Singapura itu, Johor perlu mencari pilihan lain kerana paras air di empangan negeri itu telah turun ke bawah tanda kritikal.

Konsulat Singapura itu menyatakan negara ini tidak dihubungi mengenai operasi pembenihan awam baik oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia mahupun sebarang agensi lain.

Ini sedangkan Singapura dan Malaysia telah bekerja bersama bagi projek-projek bagi meningkatkan sumber air di Johor, seperti Bendungan Sungai Johor.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.