Singapura sedang ambil tindakan ke atas syarikat bertanggungjawab sebabkan jerebu: Masagos

TEL AVIV: Singapura sedang mengambil tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke atas syarikat yang memulakan kebakaran atau membiarkan tanah konsesi mereka terbakar, dan menyumbang kepada jerebu yang melanda tahun lepas, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad,

Ia telah mengeluarkan notis terhadap enam syarikat berpangkalan di Indonesia, meminta mereka menerangkan langkah-langkah yang mereka ambil untuk memadamkan dan mencegah kebakaran di tanah mereka.

Dua daripada mereka telah menjawab. Seorang pengarah salah sebuah daripada empat syarikat yang belum respons juga telah diberi notis untuk memberi maklumat tentang apa syarikat itu telah lakukan untuk mengurangkan kebakaran di tanahnya dan mencegah ia daripada berulang.

"Dia telah pergi, tetapi dia dikehendaki kembali (ke Singapura)," kata Encik Masagos kepada pemberita.

"Sekiranya dia tidak kembali, dia akan melanggar undang-undang kita dan oleh itu, antara lain, kita boleh tangkapnya apabila dia kembali lewat daripada notis yang menetapkan bila dia harus kembali," tambahnya.

Encik Masagos enggan mendedahkan nama pengarah atau syarikat itu, tetapi berkata pengarah itu juga boleh ditahan di Singapura jika dia tidak memberi maklumat yang diperlukan.

"Kita tidak boleh membiarkan syarikat, perbadanan lepas dengan perbuatan paling ngeri mereka," katanya.

Encik Masagos menyatakan demikian ketika ditanya pemberita Singapura mengenai kenyataan rakan sejawatannya dari Indonesia yang menyoal apa Singapura telah dilakukan untuk memerangi kebakaran hutan.

Menteri Sekitaran dan Perhutanan Indonesia, Cik Siti Nurbaya Bakar, memberitahu laman berita sekitaran Foresthints.news minggu lalu bahawa negara beliau telah cuba menghalang kebakaran tanah dan hutan daripada berulang, dan konsisten menguatkuasakan undang-undang.

"Soalan saya ialah - apa yang pemerintah Singapura telah lakukan? Saya berasa mereka harus memberi tumpuan pada peranan mereka sendiri," beliau dipetik berkata.

Encik Masagos berkata Singapura mempunyai hubungan baik dengan Indonesia dalam pelbagai aspek kerana kedua-dua negara bekerjasama.

Tetapi beliau berkata jerebu isu rumit yang perlu ditangani bukan secara dua hala sahaja, bahkan di peringkat Asean dan serantau.

Sebagai contoh, Singapura mengetuai program pengurusan tanah gambut Asean untuk meningkatkan kesedaran mengenai apa orang boleh lakukan untuk menguruskan dan memulihkan tanah gambut, tempat kebanyakan kebakaran hutan berlaku.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah menyampaikan notis kepada syarikat Asia Pulp and Paper tahun lepas, meminta maklumat mengenai langkah-langkah anak syarikatnya dan pembekalnya dari Indonesia ambil untuk memadamkan kebakaran di tanah konsesi mereka.

"Kami kini sedang melihat bagaimana kita boleh bergerak ke depan," kata Encik Masagos.

"Mesej kepada semua orang ialah: baik anda warga Singapura, mahupun orang asing, jika anda melanggar undang-undang kami, kami akan melaksana undang-undang itu sepenuhnya."

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.