Singapura tiada toleransi terhadap menyalahguna dadah

PEMERINTAH Singapura kekal komited dalam mengamalkan dasar tiada toleransi terhadap dadah menerusi pelbagai pendekatan, lebih-lebih lagi dalam menangani masalah di kalangan belia.

Ini ditekankan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli, semasa berucap di Segmen Peringkat Atas Sesi Ke-57 Suruhanjaya Dadah Narkotik di Vienna, Austria, semalam.

Dalam sesi itu, Encik Masagos berkongsi kemajuan yang diraih Singapura serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan pendekatan dan inisiatif demi membanteras dadah.

Katanya, Singapura telah memperkukuhkan undang-undangnya mengenai dadah pada 2012 dengan mempertingkatkan hukuman bagi pengedar dadah bentan, penganjur pesta dadah dan mereka yang mengedar dadah kepada golongan muda.

Pemerintah juga telah memperkenalkan undang-undang yang memberinya kuasa untuk menyenarai dan merampas bahan-bahan psikoaktif baru.

Negara ini juga telah memperbaiki sistem jagaan bagi menyediakan aturan jagaan berstruktur bagi pesalah dadah menerusi kaunseling, pengurusan kes dan sokongan masyarakat.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menekankan pentingnya menghindarkan golongan belia daripada mencuba dadah, lebih-lebih lagi kerana kebanyakan penyalahguna dadah yang diberkas pertama kali adalah belia di bawah usia 30 tahun.

Di Singapura, terdapat inisiatif pendidikan pencegahan dadah yang menggunakan pelbagai wadah termasuk media sosial, aplikasi telefon bimbit dan acara sosial untuk menyebarkan mesej anti-dadah kepada belia, ibu bapa dan sekolah.

Singapura kekal komited untuk bekerjasama dengan negara-negara Asean lain bagi menjadi rantau ini bebas dadah.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.