SMRT Corp berkata pihaknya telah menamatkan siasatan dalaman terhadap punca nahas kereta api yang mengorbankan dua pekerja muda mereka pada 22 Mac lalu.
Syarikat milik Temasek itu berkata, ia telah melantik pakar-pakar daripada Keppel Corp, Transport for London (agensi serupa Penguasa Pengangkutan Darat) dan mantan eksekutif MTR Corp dari Hong Kong untuk meneliti dapatan siasatan.
Semakan itu akan dijalankan bersama anggota lembaga SMRT sebelum satu laporan diserahkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan polis yang turut menjalankan siasatan masing-masing, lapor The Straits Times.
SMRT tidak pula mendedahkan hasil siasatan mereka namun The Straits Times difahamkan laporan itu kemungkinan menyentuh beberapa kesilapan protokol keselamatan.
Warga Singapura Allahyarham Nasrulhudin Najumudin, 26 tahun, dan Allahyarham Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, 24 tahun, dilanggar sebuah kereta api dekat stesen Pasir Ris semasa mereka berada di landasan untuk menyiasat kerosakan teknikal pada pagi 22 Mac lalu.