SEKITAR LEBARAN: KONGSI KENANGAN

SPEAKER: Sampai tertidur tolong kakak buat kuih

Hari Raya merupakan perayaan yang sangat istimewa bagi umat Islam di dunia. Ia merupakan masa bagi setiap individu mengeratkan lagi tali silaturahim dan bermaaf-maafan antara keluarga, sanak saudara dan rakan. Setiap individu juga pasti mempunyai kenangan, baik yang lucu, manis mahupun pahit, semasa Hari Raya. Ikuti kisah lima tokoh masyarakat daripada pelbagai bidang – Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, Cik Halimah Yacob, Puan Noor Aishah Salim, Taufik Batisah dan Fandi Ahmad – mengongsi kenangan lebaran mereka. Wartawan Berita Harian, IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg), ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan HAIRIANTO DIMAN (mdhairi@sph.com.sg) melaporkan.

SETIAP Hari Raya semasa kecil dahulu, Cik Halimah Yacob pasti menolong kakaknya membuat kuih Raya.

Kadangkala, beliau sampai tertidur kerana perlu menahan mata sehingga lewat malam membuat kuih.

"Ada kala sampai tertidur dan kadang-kadang sampai tidak boleh tidur satu malam sebab kakak kata kalau tak buat kuih, tak boleh makan, tak ada Hari Raya.

"Bukan macam masa sekarang - kita boleh ke kedai atau tempah kuih Raya," kata beliau. Kuih kegemarannya ialah kek marble dan kek mentega.

Demikian antara kenangan manis yang mencuit hati Speaker Parlimen mengenang kisah Hari Raya semasa beliau kecil dahulu.

Cik Halimah, 61 tahun, berkata persiapan Hari Raya pada masa lalu agak payah kerana zaman dahulu tiada alat pengisar dan semuanya perlu dibuat sendiri.

"Terpaksa gilinglah - giling cili, giling rempah. Selepas itu kena tumbuk. Kerja keras, banyak kerja. Berbeza sekali dengan zaman sekarang. Segalanya 'ready made' - sedia siap. Tapi meriahlah kerana selepas kita bekerja keras berhari-hari, kita dapat makan pada Hari Raya, dapat relaks," kata beliau.

Antara perkara yang Cik Halimah tertunggu-tunggu semasa Hari Raya dahulu adalah tayangan filem Melayu di televisyen seperti filem P. Ramlee.

Beliau turut terkenang kisah beliau, kakak dan ibunya perlu ke pasar Tekka bagi membeli barangan persiapan Hari Raya meskipun ketika itu berlaku banjir.

"Air hampir surut tapi masih di paras buku lali. Kami jalan saja untuk beli-belah.

"Terdapatlah banyak binatang yang mati terapung-apung dalam banjir itu, namun kami masih perlu beli-belah untuk persiapan Hari Raya keesokan harinya," kata beliau.

Hari Raya tahun ini, bagaimanapun, tidak begitu meriah berbanding tahun-tahun lalu bagi Cik Halimah kerana ini tahun pertama beliau menyambutnya tanpa ibu tersayang.

Ibunya, Allahyarhamha Maimun Abdullah, meninggal dunia semasa Pilihan Raya Umum tahun lalu.

"Sungguhpun sejak tahun-tahun kebelakangan ibu tidak berpuasa kerana uzur, Hari Raya meriah kerana ada orang tua.

"Dapatlah kita berkongsi sama semasa menjamu juadah buka puasa. Ibu memang sentiasa di situ, dapat kita bercakap, berbual dengannya sungguhpun beliau tidak banyak bercakap. Jadi (apabila) ibu tidak ada, kurang meriahlah," kata beliau.

Lazimnya pada pagi Hari Raya sebelum anak-anaknya berumah tangga, Cik Halimah berkata beliau dan keluarganya akan bermaaf-maafan sebelum bersarapan bersama.

Rumahnya juga akan dipenuhi ramai tetamu pada Hari Raya kerana arwah ibu beliau merupakan anggota keluarga yang tertua.

Sempena Hari Raya ini, Cik Halimah berharap masyarakat Melayu/Islam akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih penyayang, prihatin dan yakin dengan kedudukan dan masa depan di Singapura.

"Saya harap kita dapat lihat diri kita sebagai sebuah masyarakat contoh yang disegani masyarakat lain, insya-Allah," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.