S'pura berkecuali dalam soal Laut China Selatan

SINGAPURA tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam soal tuntutan wilayah di Laut Cina Selatan.

Namun demikian, Singapura prihatin atas tiga perkara yang mendasari isu berkenaan, yakni: undang-undang antarabangsa, mengemudi dengan bebas dan kesatuan Asean

Demikian ditekankan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya tadi sewaktu menyentuh tentang kedudukan Singapura dalam soal ehwal luar.

"Satu isu semasa, yang boleh menjejas keamanan, kemakmuran, dan persahabatan di rantau ini adalah mengenai Laut China Selatan.

"Ia adalah satu pertikaian yang rumit. Di satu peringkat, ia adalah satu pertikaian antara beberapa pihak yang menuntut keseluruhan atau sebahagian pulau di Laut China Selatan.

"Di satu peringkat lain, ia adalah mengenai hak masyarakat antarabangsa, yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), seperti kebebasan laluan perkapalan dan penerbangan.

Ia juga berkenaan cara bagaimana pertikaian dan ketidaksetujuan antarabangsa boleh dihuraikan secara aman.

"Jika anda tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku, anda hanya perlu ingat bahawa ini adalah tentang satu pertikaian di mana apa yang dipertikaikan itu sendiri dipertikaikan!"

Singapura kini diberikan amanah sebagai penyelaras negara untuk Hubungan Dialog Asean-China sehingga 2018.

Keadaan ini kata Encik Lee, meletakkan Singapura di 'kerusi panas'.

"Setiap pihak mahukan kita untuk memberi sedikit kelebihan dengan mereka.

"Kita melakukan yang terbaik sebagai broker yang jujur, menanganinya secara lurus dengan semua pihak. Di manakah pendirian setiap negara?

"China menuntut persempadanan menurut "sembilan titik garisan". Empat negara anggota Asean - Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam - membuat tuntutan bertindih dengan China dan dengan yang lain.

"Amerika Syarikat tidak punya tuntutan ke atas Laut China Selatan, tetapi kepentingan mereka tergugat kerana kebebasan laluan perkapalan dan penerbangan di kawasan itu.

"Tiga tahun lalu, Filipina mengemukakan tuntutan ke atas China di bawah Unclos, tetapi China enggan turut serta, bagaimanapun tribunal mendengar kes itu dan mengumumkan keputusannya pada Julai lalu.

"Keputusan itu menyatakan bahawa tuntutan China ke atas hak bersejarah dalam lingkungan sembilan titik garisan" tidak sejajar dengan Unclos.

"China menolak keputusan tribunal, dan juga secara terang menyatakan penganugerahan itu "batal dan tidak sah", terang Encik Lee.

Dalam hal ini, apakah pendirian dan kepentingan Singapura?

Menurut Encik Lee, Singapura tidak punya tuntutan atas Laut China Selatan apalagi berpihak kepada tuntutan khusus China, Filipina atau penuntut lainnya.

"Tetapi dalam hal lain, kita punya pelbagai kepentingan dan tiga perkara ini amat penting bagi kita: undang-undang antarabangsa, kebebasan laluan perkapalan dan kesatuan Asean.

"Pemerintah perlu mengambil pandangan bersifat nasional dan memutuskannya dengan mengambil kira kepentingan keseluruhan negara," ujarnya.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.