Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GEMPA DI TURKEY & SYRIA

S'pura terus hulur bantuan kemanusiaan, bina semula Turkey, Syria

MFA: Sumbangan diharap bantu rakyat Turkey, Syria pulih dari 'bencana dahsyat'; badan lain seperti Palang Merah S'pura, Mercy Relief dan RLAF giat kumpul dana
Feb 25, 2023 | 05:30 AM



SINGAPURA akan menyumbang AS$100,000 ($134,020) kepada Turkey melalui Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC) dan AS$100,000 kepada Syria melalui Rayuan Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Sumbangan itu adalah untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula yang sedang dijalankan di kedua-dua negara itu yang terjejas akibat gempa bumi.



Gempa berukuran 7.8 di skala Richter pada 6 Februari telah meragut lebih 50,000 nyawa dan memusnahkan ratusan ribu bangunan kediaman.



Kementerian Ehwal Luar (MFA) berharap "sumbangan ini akan membantu rakyat Turkey dan Syria pulih daripada bencana yang dahsyat ini".



Rayuan Bantuan Kemanusiaan PBB telah dilancarkan pada 14 Februari oleh Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, yang berkata dana dikumpul akan menampung penyediaan makanan, penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan perlindungan untuk hampir 5 juta rakyat Syria dalam tempoh tiga bulan.



Sumbangan Singapura itu adalah tambahan kepada ikrar SRC sebanyak $1 juta yang diumumkan pertubuhan itu pada 14 Februari.



SRC juga telah mengumpul lebih dari $3 juta dari 8 hingga 14 Februari melalui rayuan mengumpul dana bersama individu, sekolah dan syarikat.



Selain SRC, pertubuhan kemanusiaan Singapura lain seperti Mercy Relief, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Darul Arqam juga giat menjalankan pengumpulan dana.



Mercy Relief telah mengumpul lebih $180,000 buat masa ini dan bekerja sama dengan rakan kongsi, Hayrat Yardim, sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) di Turkey.



Mereka telah menghulurkan 1,000 set makanan panas, 1,000 set pakaian musim sejuk dan 1,000 helai selimut kepada mangsa gempa di Elbistan, sebuah bandar di wilayah Kahramanmaras, di selatan Turkey, sejak 14 Februari.



Walaupun pertubuhan itu sudah pulang ke Singapura sejak 14 Februari, mereka sedang berbincang dengan Hayrat Yardim mengenai projek jangka panjang untuk membantu mangsa gempa dalam masa terdekat.



Tambahan itu, RLAF juga telah bekerja sama dengan Hayrat Yardim untuk mengumpul lebih $1 juta dalam tempoh enam hari sejak 10 Februari.



Wang itu disalurkan bagi kegunaan menyokong keperluan segera mangsa terjejas.



RLAF berkata pada 15 Februari bahawa keperluan itu tidak terbatas hanya untuk menyediakan khemah, sajian makanan panas, tilam, selimut dan set pakaian musim sejuk tetapi juga barangan lain.



Darul Arqam juga telah menyumbang $30,000 untuk menyokong usaha RLAF dan Hayrat Yardim.



Selain daripada mengumpul dana, Singapura juga telah membantu dalam misi mencari dan menyelamat mangsa terjejas.



Misi itu, yang dipanggil Operasi Lionheart, bermula pada 8 Februari apabila Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menghantar sekumpulan 20 pegawai yang dilengkapi dengan peralatan mudah alih mencari dan menyelamat di bandar (Usar), peranti pengesan nyawa dan skop optik gentian ke Turkey.



Pasukan kedua, terdiri daripada 48 pegawai dan empat anjing dari unit K-9 SCDF, tiba pada 10 Februari dengan peralatan tambahan, bekalan perubatan dan alat sokongan komunikasi dan logistik.



Semua 68 anggota telah selamat pulang ke Singapura pada 17 Februari.



Orang ramai yang ingin menderma boleh mendapatkan butiran lanjut di www.mercyrelief.org/donate/ atau https://www.giving.sg/rlafoundationsg/TurkiyeSyria2023




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >