Staf jagaan kesihatan SGH terima vaksin Covid-19
SERAMAI 88 kakitangan penjagaan kesihatan Hospital Besar Singapura (SGH) menerima dos pertama vaksin koronavirus Covid-19 semalam.
Ini sedang Singapura meneruskan usaha memastikan kakitangan sektor penjagaan kesihatan diutamakan dalam menerima vaksin itu kerana menghadapi risiko lebih tinggi jangkitan virus Covid-19.
Sebelum ini, 40 kakitangan Pusat Kebangsaan Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) merupakan kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech dalam program vaksinasi koronavirus Singapura yang bermula bulan lalu.
Selain kakitangan SGH, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak, turut menerima suntikan vaksin itu semalam.
Kakitangan penjagaan kesihatan yang menerima vaksin tersebut berkata mereka sekarang berasa lebih selamat dan yakin dalam menjalankan tugas.
Seorang jururawat berdaftar kanan SGH, Cik Nurfarah Liyana Mohamed Farid, 27 tahun, berkata tugasnya di wad pengasingan hospital itu mendedahkan beliau kepada risiko jangkitan lebih tinggi.
"Saya mengambil vaksin ini kerana saya ingin melindungi diri saya, keluarga dan juga pesakit (yang saya temui).
"Sebagai jururawat di wad pengasingan, saya rasa vaksin ini baik untuk saya melindungi diri saya, kerana wad itu merupakan kawasan risiko (jangkitan) lebih tinggi," katanya.
Ini kerana ada kalanya kakitangan di wad itu perlu merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19, tambahnya.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku kesan sampingan vaksin itu, Cik Nurfarah berkata beliau tidak begitu bimbang kerana sudah biasa menerima suntikan vaksin, umpamanya vaksin flu tahunan.
Bagi Encik Soh Chee Peng, yang bekerja sebagai Teknisyen Teater Pembedahan di SGH, beliau sedar bahawa usianya yang lebih tua mendedahkannya kepada risiko jangkitan lebih tinggi.
Untuk itu, Encik Soh, 71 tahun, berkata beliau rasa lebih selamat dengan adanya vaksin tersebut.
"Saya tahu kesan Covid-19 terhadap warga tua lebih teruk, dan saya menggalak warga tua mendapatkan suntikan vaksin ini seawal mungkin," ujarnya.
Institusi penjagaan kesihatan awam dan hospital swasta harus mengatur jadual bagi kakitangan mereka diberi suntikan vaksin di tempat masing-masing.
Vaksinasi bagi warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas akan bermula Februari depan.
Ini kerana golongan tersebut cenderung mempunyai tahap kesihatan yang lebih buruk daripada mereka yang berumur 60 hingga 69 tahun.
Vaksinasi itu kemudian akan diberi kepada warga Singapura lain dan penduduk tempoh panjang.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian menangani Covid -19, berkata individu yang memilih tidak mendapatkan vaksin Covid-19 mungkin perlu menjalani "ujian lebih kerap".
"Mungkin (dengan suntikan vaksin ini), mereka yang kembali ke Singapura dari luar negara tidak lagi perlu menjalani perintah SHN (Notis Jangan Keluar Rumah) atau akan menjalani tempoh SHN lebih pendek.
"Ini mungkin antara manfaat vaksin tersebut, selain melindungi diri dan orang tersayang.
"Ini antara manfaat yang dapat dilihat, dan mereka yang memilih tidak menerima vaksin ini, anda perlu menjalani ujian lebih kerap, menjalani kuarantin, dan syarat-syarat tambahan lain," katanya.

