Struktur kerjaya pekerja sosial diperkenal

SEMASA Cik Noorhayati Md Taib menyertai sektor kerja sosial tahun lalu selepas bekerja dalam bidang yang berbeza selama enam tahun, beliau hanya ingin membantu orang yang memerlukan.

Beliau tidak pasti akan peluang pembangunan yang ada bagi jangka panjang dalam kerjaya sebagai pekerja sosial.

Dengan satu rangka kerja baru bagi pekerja sosial yang dilancarkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Tan Chuan-Jin, semalam, Cik Noorhayati kini yakin beliau dapat melihat gambaran lebih luas mengenai kerjaya sebagai pekerja sosial.

“Semasa mahu menyertai sektor ini, saya cari maklumat menerusi Internet dan sekolah yang menawarkan kursus dalam bidang ini.

“Dengan rangka kerja baru ini, saya rasa ia dapat dimanfaatkan bukan sahaja pekerja sosial baru seperti saya malah mereka yang berminat menyertainya,” kata Cik Noorhayati, 28 tahun, sambil menambah ia juga memberi panduan baik tentang prospek kerjaya pekerja sosial.

Di bawah Rangka Kerja Kecekapan Kerja Sosial Nasional (NSWCF) itu, pekerja sosial di sini boleh mendapatkan penerangan tentang peluang kerjaya mereka serta peranan, pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri lain yang diperlukan untuk berkembang sebagai pekerja sosial.

Rangka kerja itu juga akan membantu lebih 1,600 pekerja sosial di Singapura mengenal pasti keperluan pembangunan mereka dan memenuhinya menerusi pelbagai usaha seperti pengalaman yang diraih di tempat kerja, bimbingan dan kursus singkat baru.

Sebagai permulaan, Institut Khidmat Sosial (SSI) juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) bagi mengadakan program lima hari dikenali sebagai program On-Boarding bagi pekerja sosial dengan pengalaman kurang dua tahun.

Encik Tan mengumumkan tentangNSWCF semasa bertemu pekerja sosial yang menghadiri program itu di SSI di TripleOne Somerset semalam.

Pembangunan NSWCF – yang disokong MSF, MOH dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) – diterajui jawatankuasa pemandu yang merangkumi 16 karyawan kanan daripada sektor khidmat sosial dan penjagaan kesihatan serta akademia.

“Rangka kerja ini dapat membimbing cara kami berfikir, membina struktur danmembangun kerjaya (kerja sosial) ini menjadi lebih profesional dengan banyak cara,” ujar Encik Tan.

Encik Kamsani Abdul Rahman, 51 tahun, yang baru berkecimpung dalam bidang kerja sosial perubatan, berkata rangka kerja baru itu memberi gambaran lebih jelas tentang hala tuju dan peranan pekerja sosial di setiap tahap.

 

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.