Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Suami isteri saling dorong motivasi

Universiti SIM (UniSIM) merupakan universiti pertama dan satu-satunya yang didedikasikan bagi penuntut dewasa. Baru-baru ini, Pemangku Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung, mengumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengemukakan saranan bagi menjadikan UniSIM universiti berautonomi keenam Singapura dan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah. Ramai orang dewasa yang bekerja mengikuti program yang ditawarkan di UniSIM bagi mempertingkat kemahiran dan pengetahuan - langkah penting terutama dalam dunia yang berdepan dengan ekonomi muram dan pasaran pekerjaan ketidakpastian. Berikut tiga kisah graduan UniSIM yang mengongsi pengalaman menuntut di universiti itu. Laporan oleh IRMA KAMARUDIN (irma@sph.com.sg).
Oct 18, 2016 | 05:30 AM



KATA orang, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.



Selama empat tahun, mereka berhempas pulas sehingga tidak sempat menarik nafas lega, manakan hendak mengimbangi pekerjaan masing-masing, menjaga anak-anak dan melakukan kerja sekolah.



Bersama, mereka menempuhi segala cabaran yang dihadapi tanpa mengenal penat lelah.



Namun kini, pasangan suami isteri - Encik Mohammed Ezaad Abdullah dan Cik Julie Katherina Abdul Samad - boleh tersenyum lebar mengingati semula pengalaman pahit manis mereka itu.



Baru-baru ini, ibu bapa tiga anak lelaki berusia antara dua dengan 10 tahun itu menggenggam ijazah sarjana muda dalam jurusan sosiologi dengan komunikasi daripada Universiti SIM (UniSIM).



"Kami diberi lapan tahun menyelesaikan program sarjana muda kerana kami penuntut sambilan. Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikannya dalam masa empat tahun," kata Encik Ezaad, seorang eksekutif bekalan kanan dan pegawai perhubungan halal berusia 38 tahun.



Isterinya, Cik Julie, 34 tahun, merupakan ketua subjek bahasa Ibunda di sekolah menengah.



Cik Julie berkata pengalaman mereka mengharungi pengajian bersama - bahkan mereka rakan sedarjah bagi kebanyakan modul - telah membantu memperkukuh hubungan dan perkahwinan mereka.



Bagi Cik Julie sendiri, beliau sudah lama ingin melanjutkan pengajiannya sejak selesai menuntut di Institut Pendidikan Nasional (NIE), namun hasratnya itu tergendala setelah beliau melahirkan dua anak.



Sebab utama bagi suaminya mahu melanjutkan pengajian pula ialah bagi membantu mempertingkat kehidupan keluarganya setelah pemergian bapa beliau, bintang bola sepak negara, Allahyarham Dollah Kassim, pada 2010.



"Apabila Ezaad berkata beliau terbuka kepada idea belajar lagi, saya terus mendaftar nama kami berdua di UniSIM sebelum beliau bertukar fikiran," kata Cik Julie.



Pasangan itu memilih mengikuti program sosiologi dengan komunikasi kerana ia membantu memperkukuh pemahaman mereka tentang kelakuan manusia, sekali gus membolehkan mereka memahami dan berinteraksi bersama individu dengan lebih baik.



Bagaimanapun, perjalanan mereka berdua tidak mudah.



Dengan dua anak kecil ketika itu, mereka perlu membahagikan masa antara tugas, sekolah dengan keluarga. Pada masa yang sama, Cik Julie pula hamil anak ketiga dalam tahun kedua pengajian mereka.



Bagi Encik Ezaad pula, cabaran beliau adalah menghidupkan kembali 'mood belajar', memandang kali terakhir beliau seorang pelajar adalah pada 1998.



Sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam kejayaan mereka dengan kededua keluarga Encik Ezaad dan Cik Julie membantu menjaga anak mereka apabila mereka perlu menghadiri kelas.



Cik Julie berkata: "Ia amat mencabar bagi kami mengimbangi pekerjaan, keluarga dan sekolah pada masa yang sama. Ada beberapa kali saya hampir putus asa. Ada juga beberapa kali saya berasa sangat letih.



"Saya juga banyak kali menangis. Namun dengan suami bersama saya, ia banyak memberi dorongan. Apabila saya menghadapi cabaran paling sukar dan berasa putus asa, beliau akan duduk dan berbual dengan saya.



"Ada masa saya rasa seperti seorang ibu yang kurang baik apabila perlu menghadiri kelas malam dan tidak dapat menemani anak tidur. Namun, anak saya sungguh mengagumkan. Pada usia muda, mereka dapat memahami keadaan kami."



Sedang keluarga merupakan penyokong kuat pasangan itu, Encik Ezaad dan Cik Julie pula merupakan sumber motivasi bagi satu sama lain.



Demi memastikan mereka mengotai janji menggenggam ijazah bersama, pasangan itu mendorong satu sama lain menerusi perbuatan kecil dan mudah.



"Kami biasanya berbincang bersama semasa dalam perjalanan pergi dan pulang dari kelas untuk merangsang pemikiran kami dan menjana pemahaman lebih baik tentang apa yang kami belajar.



"Kadang kala, apabila kami berada di dalam kelas berlainan, kami akan menghantar mesej menerusi telefon bimbit - biasanya kata-kata tidak bermakna. Namun, ia membantu supaya kami tidak tertidur di dalam kelas," kata Encik Ezaad.



Usaha pasangan itu jelas membuka minda dan mempunyai kesan positif pada anak-anak mereka.



Walaupun masih kecil, anak mereka memahami kepayahan yang dilalui ibu bapanya, malah meninggalkan nota kata-kata dorongan untuk memberi semangat kepada mereka, kata Encik Ezaad.



Cik Julie pula berkata anak sulungnya, Mohammed Eshaan, akan membaca kerja sekolahnya dan menegur ibunya jika terdapat kesalahan ejaan dan tanda baca.



Encik Ezaad berkata tidak terlintas di fikirkannya 'menyentuh satu lagi buku' setelah tamat pengajian di polikteknik dan memulakan kerjaya. Namun, beliau mendapati pandangannya itu salah.



"Dalam landskap pekerjaan yang berubah dengan pantas, saya melihat semua orang maju dan mencapai perkara lebih baik buat diri mereka. Inilah sebabnya mengapa saya menetapkan matlamat ini untuk meraih sesuatu lebih baik bagi diri sendiri dan keluarga saya," kata beliau.



Dalam satu postingnya di Facebook baru-baru ini, Encik Ezaad melahirkan rasa rindu terhadap arwah bapanya apabila beliau berjaya mengenggam ijazah. "Bapa pasti bangga," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >