MANGSA LANGGAR LARI DI JOHOR BAHRU

Sumbangan bertali arus bolehkan keluarga beraya

TEMBOK yang sekian lama tidak bercat kini berwajah baharu.

Kuih yang biasanya sekadar lima enam macam kini mencecah lebih 20 jenis.

Sofa fabrik bercorak bunga dengan rona merah pulasan pula menyerikan ruang tamu yang agak kosong sebelum ini.

"Dulu bapaknya belikan seorang sepasang baju Raya. Tahun ini, seorang satu dah ada empat lima pasang. Bila dah dapat baju banyakbanyak ini, sampaikan mereka tanya, 'Bila masanya kita nak pakai ini ma?'" cerita Cik Rohaya Zainal Abidin, balu Allahyarham Zulkefli Haji Yusop, 48 tahun, yang maut akibat nahas langgar lari di Pandan, Johor Bahru (JB).

Sejak tragedi lebih sebulan lalu itu mendapat perhatian media, kehidupan Cik Rohaya, 44 tahun, juruwang sambilan yang juga ibu empat anak berusia antara tujuh dengan 16 tahun itu banyak berubah dengan sumbangan yang tiba bertali arus daripada masyarakat yang prihatin.

Menurut Cik Rohaya, ada yang malah menunaikan niat awal arwah suaminya mahu mengecat flat sewa keluarganya di Marine Terrace sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini meskipun mereka sebenarnya tidak tahu-menahu langsung tentang rancangan suaminya itu.

"Sebelumnya, memang kami (beliau dan suami) ada duduk bincang-bincang. Katanya, 'Abang nak cat rumah'. Lampu lap-lip yang ada pun dia dah buang sebab dah nak cat. Tapi apakan daya tidak kesampaian. Tapi alhamdulillah, niatnya telah ditunaikan oleh hamba Allah yang berhati mulia walaupun mereka tidak tahu perancangan kami," singkap Cik Rohaya.

Malah, Allahyarham juga sudah bercadang membeli langsir baharu seawal Februari lalu.

Tetapi Cik Rohaya sendiri yang menyifatkannya sebagai terlalu awal dan lebih senang menggunakan langsir lama agar lebih menjimatkan.

Raya ini pula, ada yang menyumbangkan langsir berwarna putih.

Semalam, Cik Rohaya tidak sibuk di dapur seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kalau Raya biasanya arwah yang sibuk kemas rumah, pergi pasar, vakum dan mop. Kerja saya masak aja seperti ayam rendang, kuah kacang, serondeng, sambal goreng dan ketupat segera. Tahun ini dah dua tiga orang kata jangan masak sebab mereka nak kasi juadah Raya. Ini belum termasuk mereka yang terus hantar dan tidak beritahu lebih awal," ujarnya.

Di pagi Syawal pula keluarga itu biasanya ke rumah ibu Cik Rohaya di Damansara, Skudai, JB, dengan menggunakan kereta sewa. Dalam kunjungan itulah keempat-empat anaknya akan mengenakan pakaian Hari Raya yang sepasang, pembelian ayah mereka setiap tahun.

"Kami memang tak jalan sangat cuma pergi rumah mak. Tahun ini, lagilah kami tak jalan. Semua duduk rumah dan tak akan ke JB. Sebab itulah anak-anak tanya bila masanya nak pakai baju Raya?" kata Cik Rohaya, anak ketiga tujuh beradik yang tampak tabah.

Cik Rohaya bersyukur keperluan keluarganya kini mencukupi.

Hampir $110,000 berjaya dikumpulkan daripada 927 dermawan oleh badan kemanusiaan Asia, GIVEasia, melalui wadah crowdfunding bagi mendapatkan sumbangan masyarakat awam hasil inisiatif Cik Fadilah Mohammad Yusoff, 26 tahun, individu yang memulakan pengumpulan dana tersebut bagi Allahyarham Zulkefli.

Wang itu dikhususkan bagi pendidikan anak Allahyarham.

Di samping itu, setiap anak turut menerima baucar kedai buku Popular bernilai antara $200 dengan $300.

Cik Rohaya sendiri menerima baucar berbelanja keperluan dapur di NTUC, Giant dan Sheng Siong.

Pasukan bola sepak Singapore Castilla FC pula mengadakan perlawanan amal bagi mengumpul dana bagi keluarga itu walaupun anggota keluarga Cik Rohaya bukan pemain bola sepak.

Ini belum lagi sumbangan berkumpulan dan perseorangan berbentuk wang tunai mahupun barangan.

Malah, menurut Cik Rohaya, seorang guru telah membantu membayarkan wang sewa flatnya dan bil air lampu selama setahun.

"Memang kami hargai setiap sumbangan yang masyarakat hulurkan bagi membolehkan kami sekeluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun keperluan seperti kuih dan baju Raya memang sudah ada, malah lebih mewah daripada sebelumnya, ia tidak akan sama dengan tahun-tahun yang sudah. Semua itu tidak akan dapat menggantikan kekosongan kehilangannya. Dah hanya tinggal kenangan...," luahnya hiba.

 

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.