Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Surat Mufti sinari jalan kefahaman agama sebenar

Sedang perang di Gaza cetus kebencian antara penganut dua agama, seorang insan merentasi jurang untuk bina jambatan
Nov 23, 2023 | 08:58 PM



Profesor Seni Bina Pusat Kajian Sains, Teknologi dan Dasar Inovasi Tan Sri Omar di Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi telah menukil surat antara Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ketua Rabai di Singapura, Rabai Mordechai Abergel, dalam rencananya yang diterbitkan di The Star pada 21 November. Berikut kami siarkan rencana tersebut.


Sedang ramai di banyak tempat termasuk di Malaysia berasa terharu dengan kesan buruk perang Israel-Hamas, sepucuk surat daripada Mufti Singapura menyinari jalan yang menuju kepada kefahaman agama yang sebenar.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menulis surat kepada Ketua Rabai republik itu, Mordechai Abergel, pada 13 Oktober, menyusuli konflik yang tercetus pada 7 Oktober.

Apabila saya membaca surat itu, saya tahu berdasarkan pencarian rohani saya selama 30 tahun bahawa ia menunjukkan ihsan dan nilai kemanusiaan terbaik dan paling benar, daripada hati dan sanubari Nabi saw sendiri. Umat ​​Islam di Malaysia yang cepat bercakap mengenai dendam dan tindak balas, apatah lagi tindakan boikot yang tidak mencapai apa-apa selain memudaratkan para pekerja Muslim seagama – perlu membaca surat ini, kerana ia pasti akan membuat mereka berfikir mengenai roh dan keselamatan mereka di akhirat.


Berikut adalah permulaan surat Dr Nazirudin:

“Kami membaca dan melahirkan rasa sedih, bimbang dan dukacita terhadap peningkatan konflik dan keganasan melibatkan orang Yahudi dan Islam di Israel dan Palestin. Kami berasa takut dan meratapi kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, anak-anak kecil, ibu-ibu, orang tua dan golongan lemah yang terperangkap dan menjadi mangsa dalam konflik ini.

“Tiada tempat dan tiada alasan untuk sebarang bentuk keganasan dan kekejaman terhadap orang awam oleh sesiapa sahaja, termasuk Hamas, atau bagi sebarang tindak balas. Hak orang awam untuk hidup aman mesti dilindungi sepanjang masa.”

Dr Nazirudin tidak memberi keutamaan kepada kehidupan dan nyawa orang Islam atau Yahudi, sikap yang jarang berlaku di dunia sekarang. Saya tidak dapat memikirkan mana-mana orang Melayu yang berani menyamakan kehidupan dua masyarakat berbeza agama walaupun mereka mempunyai tradisi sejarah agama yang sama.

Mufti menyambung: “Kami mengucapkan takziah, doa dan solidariti yang tulus ikhlas kepada mereka yang diragut nyawa secara zalim, mereka yang cedera, dan orang tersayang mereka. Semoga kesedihan mereka pulih dan mereka mendapat ketenangan dalam masa sukar dan mencabar ini.”

Saya tidak pernah, seumur hidup dewasa saya, berjumpa seorang Melayu atau Islam yang akan berdoa untuk orang Yahudi, walau untuk mereka yang diragut nyawa dalam konflik. Saya rasa menunggu seorang mufti di Malaysia untuk mengungkapkan kata-kata itu ibarat pepatah Melayu, “seperti menunggu kucing bertanduk”.

Hakikatnya, Dr Nazirudin hanya mencerminkan tradisi Nabi Muhammad saw: Apabila satu perarakan jenazah berlalu, Nabi berdiri sebagai satu penghormatan; apabila seorang sahabat memaklumkan bahawa mayat itu adalah mayat Yahudi, Nabi memandang kepadanya dan berkata, “Apakah mayat itu tidak mempunyai roh?” Justeru, Nabi Muhammad saw mengambil berat terhadap semua manusia, bukan hanya orang Islam


Dalam politik identiti Malaysia, agama digunakan sebagai kuasa pemecah belah untuk meraih undi daripada satu kumpulan dengan manipulasi naratif agama, sesuatu yang jauh menyimpang daripada ajaran Nabi kita.

Dr Nazirudin kemudian menunjukkan persamaan dalam kedua-dua agama itu: “Konflik ini mempunyai sejarah yang panjang dan kompleks. Kitab suci kita menekankan keperluan manusia terhadap rahmat dan belas kasihan.”

Dalam tradisi kita masing-masing, ini kualiti amat penting yang dikongsi bersama. Beliau kemudian meratapi mengenai jiwa kita: “Kami berasa takut dan menangisi keadaan jiwa manusia yang menyedihkan pada hari ini dengan keganasan dan penderitaan yang belum pernah terjadi sebelumnya di dunia, betapa kebencian akan terpahat dalam fikiran mangsa, bagaimana konflik akan dieksploitasi untuk menyemai permusuhan antara masyarakat, bagaimana belas kasihan dan kemaafan akan diganti dengan kemarahan dan dendam.”

Amat sukar bagi saya untuk menjelaskan kepada umat Islam, termasuk beberapa anak saya, kerumitan mengenai bumi Palestin dengan sejarah sejak beribu-ribu tahun lalu semasa kaum Israel dipaksa keluar dari Mesir, dan melarikan diri daripada Firaun dengan pimpinan nabi Musa as. Orang Islam tahu kisah ini, orang Kristian tahu kisah ini, dan orang Yahudi sudah tentulah pencetus kisah Exodus.


Kerumitan itu bertambah dengan kepentingan politik dan peribadi yang telah mengorbankan banyak nyawa. Kini, rakyat di kedua-dua belah pihak dalam konflik ini dilanda rasa benci, manakala rasa prihatin terhadap kemanusiaan kian menghilang.

Di akhir surat, Mufti menulis pengakhiran yang menembusi jiwa dengan pemahaman jelas mengenai kepercayaan bersama, nilai universal, dan dengan hati hiba yang menaruh harapan bagi perdamaian antara penganut agama “Tuhan yang Esa” yang mampu menentang kuasa politik oportunistik, di samping kejahilan agama dan sejarah:

“Saya berdoa dan berharap kedua-dua masyarakat Yahudi dan Islam di zon konflik dapat bekerja secara kolektif untuk membebaskan diri mereka daripada ditakrifkan dan dikekang oleh politik masa kini, dan berusaha untuk hidup dengan model berbeza sikap hormat, toleransi dan keharmonian.

“Semoga Tuhan Ibrahim as mengembalikan keamanan dan rasa belas kasihan di dunia yang sangat memerlukannya.” Amin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >