ROMPAKAN DI STANDARD CHARTERED BANK

Suspek sempat kunjungi kafe di Holland Village?

SUSPEK rompakan Standard Chartered Bank di Holland Village, Singapura, yang kini ditahan di Bangkok mungkin telah mengunjungi salah sebuah kafe Baker & Cook yang terletak di Jalan Merah Saga, Chip Bee Gardens, sejurus setelah merompak bank tersebut.

Demikian menurut laporan akhbar The New Paper (TNP) setelah pengarah kafe tersebut, yang enggan memberikan namanya, mendedahkan sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada TNP.

Rakaman tersebut menunjukkan suspek, David James Roach, 26 tahun, memasuki kafe yang terletak 160 meter dari bank itu sekitar 11.25 pagi (waktu yang tertera dalam rakaman).

Ia merupakan masa apabila polis dimaklumkan mengenai rompakan itu.

Dia dikatakan berada di dalam kafe itu selama enam minit, di mana dia dilihat sedang berjalan di sekitar kafe itu sebelum memesan sepotong kek dan sebotol air.

Roach kemudian duduk di salah sebuah meja dan hanya mengambil sekitar dua minit untuk menghabiskan kek tersebut sebelum dia kelihatan tergesa-gesa meninggalkan tempat itu.

Kelmarin, pengarah kafe tersebut memberitahu TNP bahawa beliau telah melihat semula rakaman CCTV pada malam Selasa setelah terlihat gambar suspek yang dikeluarkan media Thailand awal hari tersebut.

"Oleh sebab kafe kami berhampiran dengan tempat kejadian, kami merasakan ia menjadi satu tanggungjawab memeriksa rakaman kamera keselamatan kami yang mungkin merakam lelaki tersebut dan boleh dijadikan bahan bukti," kata beliau yang enggan mendedahkan namanya.

Tanpa disangka, beliau melihat seorang lelaki yang mirip dengan wajah dan mempunyai susuk tubuh sepadan dengan Roach memasuki kafenya sekitar masa rompakan dilaporkan.

Beliau juga menyatakan bahawa tingkah laku suspek amat mencurigakan.

"Ia memang pelik. Pelanggan kami biasanya akan duduk pada masa yang agak panjang dan menikmati jamuan mereka. Namun, lelaki ini kelihatan seperti dia sedang mengejar masa.

"Tingkah lakunya seolah-olah menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena," ujarnya lagi.

Pengarah itu menambah bahawa beliau akan menyerahkan rakaman tersebut kepada polis bagi membantu mereka dalam siasatan lanjut.

Roach telah memasuki cawangan Standard Chartered Bank tersebut pada pagi itu dan memberi juruwang nota sebelum melarikan diri dengan wang tunai kira-kira $30,000.

Tidak lama selepas itu, dia menaiki penerbangan AirAsia dari Singapura dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok pada sekitar 5 petang waktu Thailand (6 petang waktu Singapura) pada hari yang sama.

Polis Thailand telah memberkasnya di asrama Boxpacker di daerah Pratunam di Bangkok.


"Ia memang pelik. Pelanggan kami biasanya akan duduk pada masa yang agak panjang dan menikmati jamuan mereka. Namun, lelaki ini kelihatan seperti dia sedang mengejar masa. Tingkah lakunya seolah-olah menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena."
- Pengarah kafe Baker & Cook yang enggan mendedahkan namanya, mengenai lelaki yang dirakam mengunjungi kafe itu dan dipercayai suspek rompakan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.