Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Syafiqah teruskan perjuangan dalam muzik dengan rentak sendiri

Oct 21, 2021 | 05:30 AM



NAMANYA kian dikenali dan beliau kian berpengaruh bukan sahaja dalam arena muzik tradisional malah di gelanggang muzik nasional sejak beliau menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong pada 2010.



Dan Cik Syafiqah 'Adha Sallehin mencapai puncak baru dalam kerjaya muzik mudanya pada Ogos lalu, apabila Orkestra Simfonik Singapura (SSO) mempersembahkan lagu ciptaannya di konsert tahunan sempena Hari Kebangsaan.



Lagu berjudul 'Dengan Semangat yang Baru' itu bukan sahaja membuka tirai persembahan konsert itu, malah lagu itu adalah kali pertama ia dipersembahkan kepada pihak awam.



Mengimbas semula pengalamannya mencipta lagu itu dan kenangan dari konsert yang disiarkan secara langsung di alam maya itu, Cik Syaifiqah berkata pengalamannya itu bak satu mimpi indah yang menjadi nyata.



"Projek itu adalah pencapaian terbesar dalam kerjaya saya sejauh ini. Sejujurnya, saya berasa bangga akan hasil kerja ini dan sangat berterima kasih atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya," ujar Cik Syafiqah, 31 tahun, yang berkata beliau mengambil masa beberapa bulan untuk mencipta lagu itu.



Sepanjang lapan minit, Cik Syafiqah berkata beliau menaruh inspirasi daripada lirik lagu kebangsaan Majulah Singapura semasa mengarang lagu yang dikomisyen itu.



Lagu itu dipersembahkan oleh SSO yang dipimpin oleh konduktor Joshua Tan di konsert itu.



Alunan melodi asli yang digabungkan dengan beberapa bahagian lagu kebangsaan itu telah disambut baik oleh beberapa pemerhati muzik setempat, dengan penulis reviu dari The Straits Times (ST) Chang Tou Liang berkata ia menghidupkan suasana lemah gemalai dan harmoni yang lunak.



Lagu naluri patriotik itu sebenarnya menambah kepada beberapa lagi lagu lain yang telah dihasilkan oleh Cik Syafiqah sejak beberapa tahun lalu.



Pada 2016, lagu tulisannya Ikan Girl dipersembahkan di Festival Muzik Antarabangsa Singapura dan menggabungkan muzik tradisional Melayu dan Barat, dan pada 2019, beliau menggubah lagu bagi alat muzik Cina erhu dan biola India yang dipersembahkan di konsert Oriental Strings yang diadakan oleh Orkestra Simfoni Budaya Asia.



Bercakap kepada ST baru-baru ini, Cik Syafiqah berkata beliau sering menggabung muzik dari berlainan latar belakang.



"Saya melihat diri saya sendiri sebagai seorang penggubah lagu yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai bidang dan mampu menceburi ruang dan kerjasama yang mendorong saya mengilhamkan gubahan dalam pelbagai cara yang berlainan dengan latihan saya," kata Syafiqah, yang juga adalah siswazah Melayu pertama melengkapkan pengajian di Konservatori Muzik Yong Siew Toh di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Beliau meraih ijazah sarjana muda dan sarjana dalam gubahan muzik masing-masing pada 2013 dengan 2016.



Perjalanan muzik Cik Syafiqah bermula semasa beliau masih kanak-kanak lagi, apabila beliau mula berjinak-jinak dengan piano.



Beliau juga belajar bermain akordian sendiri dan sebelum Covid-19 menular, sering dilihat membuat persembahan di majlis walimah bersama kumpulan muzik tradisional Gendang Akustika yang kini dipimpinnya sebagai pengarah muzik.



Pada 2018, beliau menerima Anugerah Jauhari Inspirasi yang diberikan akhbar ini, antara lain untuk mengiktiraf kejayaan bakat muda dalam masyarakat dan peranan mereka sebagai inspirasi bagi belia lain.



Ini menyusuli Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong dari Yayasan Mendaki yang diterimanya pada 2010.



Buat masa ini, Cik Syafiqah, yang kini bertugas sebagai pemuzik sepenuh masa turut mengajar di sekolah-sekolah seperti di Sekolah Seni Singapura (Sota) dan mengajar angklung di dua sekolah rendah, selain mengusahakan projek yang diterimanya.



Baru-baru ini, Cik Syafiqah telah diundang oleh Mendaki, untuk memberi nafas baru untuk lagu tema Mendaki 'Sama Raikan' sempena bulan Raikan Ilmu yang sedang berlangsung.



Menurut Cik Syafiqah, beliau senang hati berpeluang menyumbang tenaga kepada badan bantu diri itu dan kepada masyarakat.



"Untuk lagu 'Sama Raikan', saya menggubah lagunya kepada versi pop dan saya juga memainkan akordian bagi irama lagu tersebut.



"Ini lain dengan apa yang saya sering lakukan dan sesuatu yang baru dan menyegarkan.



"Sudah tentu saya berasa seronok menggubah lagu 'Sama Raikan' dan saya harap pendengar lain juga berasa gembira dan tercetus semangat semasa mendengar lirik lagu itu," jelas Cik Syafiqah yang mengatakan beliau mengambil sekitar tiga bulan untuk menerbitkan lagu itu bersama penyanyi lagu itu Amni Musfirah.




"Projek itu adalah pencapaian terbesar dalam kerjaya saya sejauh ini. Sejujurnya, saya berasa bangga akan hasil kerja ini dan sangat berterima kasih atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya."
- Cik Syafiqah 'Adha Sallehin mengenai lagu ciptaannya yang dipersembahkan SSO di konsert tahunan sempena Hari Kebangsaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >