Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-G

'Taman di koridor HDB'

Video-video yang dikongsi mengenai hobi tanam, jaga pepohon hijau di media sosial dapat sambutan
Nov 16, 2021 | 05:30 AM



DI luar dugaannya, sekitar enam bulan selepas Encik Muhammad Afiq Omar Ali mula menyimpan pepohon dalam pasu di koridor flatnya, bilangan pepohon yang dijaganya itu bukan sahaja bertambah berlipat ganda, malah videonya bersama tanamannya itu menjadi tular di media sosial.



Minggu lalu, satu video yang dikongsinya menerusi akaun TikTok @afiqomarali - sketsa singkat mengenai dia 'dilarang' masuk ke rumah oleh isterinya - telah ditontoni sebanyak lebih 3 juta kali.



Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Afiq, 32 tahun, tertawa sambil berkata bahawa video itu sekadar satu gurauan dan isterinya, Cik Ulfah Firdahani Muhd Idris, 28 tahun, antara penyokong kuat hobi barunya ini.



Malah, Encik Afiq berkata isterinya juga mempunyai koleksi pepohon sendiri yang dipamerkan bersama di koridor flat mereka.



Buat masa ini, koleksi sekitar 60 pepohon kepunyaan Encik Afiq mengisi rak-rak dua tingkat setinggi jendela di koridor flat HDB di kawasan utara yang didiaminya.



Menurut Encik Afiq, koleksi pepohon yang banyak itu dikumpulkan secara tidak sengaja, dan lahir selepas dia cuba untuk menyimpan pepohon dalam pasu sebagai hiasan di studionya.



Encik Afiq merupakan seorang jurugambar dan memiliki dua syarikat khidmat fotografi.



"Dari situ, saya mula mengkaji cara untuk menjaga pepohon dengan lebih baik.



"Saya jenis yang suka mempelajari sesuatu yang baharu dan tiada orang menyangka bahawa saya akan meneroka bidang tanaman ini," ujarnya.



"Pohon pertama saya adalah spesies Aroid dan ia subur dalam iklim yang serupa dengan sekitaran hujan di hutan. Maka itu, saya menyediakan ruang untuk tumbuhan saya yang meniru kelembapan dan suhu sekitaran demikian.



"Pada mulanya, saya menggunakan alat pelembap kecil dan cuba menyimpan pohon itu di dalam rumah sahaja.



"Namun, pohon itu kurang subur kerana kurang cahaya... jadi saya mengalihkannya ke luar. Lantas, tercetus idea untuk mencipta sekitaran terarium atau ruang terkawal bagi tanam-tanaman saya itu," katanya lagi.



Sebenarnya, video yang dikongsi Encik Afiq mengenai cara dia menjaga tanaman-tanamannya itu mendapat sambutan yang menggalakkan di media sosial.



Ini termasuk video yang menunjukkannya membersihkan koridor selepas menyiram tanamannya dan cara lampu dan alat pelembap berfungsi untuk membantu tanamannya tumbuh subur.



Menurut Encik Afiq, dia turut menerima dorongan daripada para penggemar tanaman lain di sini yang menghubunginya menerusi media sosial untuk berkongsi panduan.



Bersikap rendah hati, Encik Afiq berkata dia masih baru dalam bidang ini.



"Pengetahuan saya dalam bercucuk tanam ini tidaklah seberapa... sejujurnya saya masih belajar dalam bidang tanaman ini dan banyak lagi pengetahuan yang perlu saya timba," ujarnya sambil menambah bahawa masyarakat penggemar tanaman di Singapura amat peramah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.



Encik Afiq enggan mendedahkan perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk membina koleksi tanamannya, tetapi berkata jumlahnya tidak setinggi yang disangka orang lain.



"Secara jujur, jumlah koleksi dan sistem pokok itu tidaklah semahal seperti ramai jangkakan.



"Kos sistem perairan dan pelembapan itu sekitar $500, dan saya tidak pernah berbelanja lebih $300 untuk membeli pokok baru."



Komitmen menjaga tanaman yang ditunjukkan Encik Afiq itu bukan sahaja mendapat perhatian di media sosial, malah telah mengubah sikapnya, menurut isterinya Cik Ulfah Firdahani.



"Sebelum ini, Afiq bukanlah seorang yang akan bangun awal. Tetapi sekarang jauh berbeza... pagi-pagi lagi saya melihatnya minum kopi di luar rumah bersama pokok-pokoknya," ujar Cik Ulfah.



Akur, Encik Afiq berkata hobi ini sangat terapeutik bagi dirinya kerana ia dapat membantunya mengurangkan tekanan yang dialami semasa bekerja.



"Antara perkara positif lain, taman saya ini telah lebih mengeratkan hubungan kami bersama jiran-jiran lain. Kami sering berbual dan berkongsi pandangan mengenai tumbuh-tumbuhan itu.



"Mereka juga senang melihat pepohon hijau saya yang disusun dengan kemas... demi memastikan koridor flat kekal bersih untuk jiran lalu-lalang.



"Anak jiran sebelah juga telah membandingkan taman saya dengan Gardens by the Bay (Taman di Persisiran) lalu menggelarkan taman saya ini sebagai Taman di Koridor HDB," kata Encik Afiq, lalu tertawa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >