SIRI 'BINCANG BH': PERBINCANGAN MEJA BUNDAR BERSAMA ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD

Tangani ancaman pengganasan jadi tanggungjawab semua

Isu pengganasan antara cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, seperti yang dijelaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam ucapannya di pembukaan Parlimen Januari lalu. Siri perbincangan meja bundar, ‘Bincang BH’, mengundang Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, baru-baru ini untuk mengupas cabaran ancaman pengganasan. Sebelum ini, dua sesi perbincangan telah diadakan bagi membincangkan cabaran yang dihadapi masyarakat secara keseluruhan dan cabaran kepelbagaian. NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) melaporkan.

Berita Minggu (BM): Sejauh manakah respons masyarakat terhadap ancaman pengganasan mencukupi untuk mengekang ideologi pelampau daripada menular?

Ustaz Saiful Alam Shah Sudiman: Isu ini berbalik kepada sejauh mana masyarakat melihat fenomena ini membimbangkan. Ada yang melahirkan keprihatinan kerana mungkin sanak saudara mereka sendiri berjinak dengan idea mahu sertai ISIS.

Bagi anak muda yang dipengaruh, salah satu kategori ialah mereka yang berasa mereka berwenang dengan dosa, dan bertanya adakah ini peluang kembali ke pangkal jalan. Sama ada berjihad, mati atau tidak, mereka lihatnya sebagai tiket ke syurga.

Ada juga sebahagian dalam masyarakat yang bersikap pesimis terhadap perkara ini kerana ada teori yang mengatakan ISIS dibuat-buat sesetengah kumpulan atau negara.

Tetapi saya rasa yang lebih patut kita tekankan adalah siapa pun yang di belakangnya, tugas kita adalah menyelamatkan dahulu anak watan kita daripada ke sana. Itulah yang membantu kita mengekang ideologi keganasan terus menular.

BM: Menerusi pengalaman Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), apakah kesan ke atas keluarga individu yang ditangkap kerana terjebak dengan ideologi keganasan?

Ustazah Kalthom Muhammad Isa: Keluarga mainkan peranan penting dalam membantu mereka yang ditangkap agar balik ke pangkal jalan.

Kita juga memastikan keluarga itu dapat menyara hidup mereka kerana ada yang mempunyai anak-anak masih membesar.

Alhamdulillah pihak berkuasa kita banyak membantu untuk menangani isu trauma anak-anak individu yang ditangkap.

Kita dapat lihat tolong menolong antara pemerintah, masyarakat, asatizah, serta mereka yang mahir dalam bidang kaunseling untuk membantu mereka balik ke pangkal jalan.

Kita boleh lihat betapa banyak bantuan. Kita tidak boleh bergerak sendiri. Kita tidak mampu tangani isu ini sendiri. Asatizah tidak boleh buat semua perkara.

BM: Apakah kesan ancaman ideologi terhadap hubungan antara agama di sini?

Encik Noor Marican: Sekarang ini agak rumit. Orang Islam perlu lebih ke depan untuk mengatakan ini tidak benar, itu tidak benar.

Kita perlu lebihkan usaha dalam menjalin hubungan antara agama tetapi kita perlu faham agama kita dulu.

Ada yang punya fahaman mereka sendiri tapi mungkin itu bukan ajaran Islam.

Ada yang hendak memperbesar-besarkan agama, pergi ke Syria tetapi apabila kita lihat latar belakangnya, rupanya orang ini bukan betul-betul alim.

BM: Sejauh manakah anda prihatin implikasi ancaman ini terhadap hubungan antara agama di sini?

Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad: Sebenarnya dalam masyarakat kita sendiri, kita perlu menyatukan dan bersetuju ke arah mana kita mahu membawa masyarakat kita.

Kita tahu ramai asatizah kita belajar dari pelbagai pelosok dunia. Kadang kala mereka membawa pulang bukan sahaja fahaman yang mungkin berbeza tetapi konflik di tempat mereka belajar, umpamanya persengketaan Syiah dan Sunni, atau masalah khilaf.

Kita semua harus sedar apabila kita pulang, kita ada masyarakat yang beroperasi dalam konteks tertentu. Kita masyarakat minoriti, dalam suasana aman, masyarakat majoriti mahu kita integrasi dengan mereka.

Kita juga telah lama wujud sebagai masyarakat Islam inklusif dan moderat. Kita tak pernah berkonflik antara kita sendiri atau dengan masyarakat luar. Ini fenomena baru kita lihat yang dibawa pengaruh luar.

Ini membingungkan masyarakat - pendapat ini dan pendapat itu. Padahal dahulu tidak ada masalah begini, ulama dulu tidak pernah pertikaikan masalah khilaf, yang boleh memecahbelahkan masyarakat, dan tidak menyalahkan ustaz sini dan sana dalam forum umum.

Mereka berdebat sesama sendiri tetapi apabila kembali ke masyarakat mereka tahu mententeramkan suasana supaya kita kembali bersatu dan tidak mewujudkan suasana yang memecahbelahkan.

BM: Bagaimana kita tangani isu radikalisme dalam kalangan belia?

Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur: Mencari seseorang guru yang boleh dipercayai adalah penting; guru yang ada kelayakan, berpengalaman dan sebagainya. Bukan terus ambil dan guna daripada Internet, Google dan sebagainya.

Selain itu, guru-guru yang ada konteks penting. Islam itu mengikut konteks. Anda tidak boleh menukil dari seorang mufti daripada sebuah negara Timur Tengah dan menggunakan fatwa itu di Singapura kerana ia tidak mengikut konteks.

Kedua adalah pendidikan. Mereka perlu faham yang Islam sebenarnya banyak sainsnya. Bukan sesiapa sahaja yang boleh keluarkan fatwa.

Keluarga juga penting. Ibu bapa juga boleh berwaspada. Jika mereka berwaspada, mereka tahu apabila anak mereka berkelakuan lain, jika anaknya bersikap lebih keras (strict), dan menjadi lebih ekstrem. Oleh itu, kita boleh terus melakukan sesuatu. Kita boleh mula melawan api sebelum terlambat.

Encik Masagos: Saya sering beritahu anak-anak saya, saya bukan seorang ustaz, saya tidak akan dapat mentafsirkan hadis atau Quran dengan begitu teliti.

Tetapi ada juga hadis yang mudah difahami seperti 'Sebaik-baik manusia, adalah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain'. Itu sangat mudah difahami. Ini yang kita boleh sampaikan sebagai ibu bapa, dan tidak perlu kita menjadi seorang pakar.

Yang lebih penting dalam konteks sekarang ini, bagaimana kita memberikan satu bimbingan kepada anak supaya mereka waspada.

Umpamanya, kalau dilihat daripada akhlak, seorang ustaz yang selalu menimbulkan kemarahan, saya akan bertanya ini Islam atau tidak?

Saya mengingatkan anak-anak saya, harus ada keyakinan sendiri melihat mana yang benar atau tidak. Jangan hanya ikut, walaupun penyampaiannya hebat.

Saya menasihatkan mereka agar menggunakan akal kerana saya tidak akan bersama mereka selalu.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.