Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangani cabaran HBL, lulus cemerlang

Jan 12, 2021 | 5:30 AM
CAPAI KECEMERLANGAN: Walaupun terpaksa melalui beberapa perubahan dari segi pembelajarannya sejak CB, Maryam berjaya menyesuaikan diri demi mencapai matlamat. Bersamanya ialah ibunya Cik Siti Mashita dan bapanya Encik Rani Basiran. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
CAPAI KECEMERLANGAN: Walaupun terpaksa melalui beberapa perubahan dari segi pembelajarannya sejak CB, Maryam berjaya menyesuaikan diri demi mencapai matlamat. Bersamanya ialah ibunya Cik Siti Mashita dan bapanya Encik Rani Basiran. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

PERUBAHAN pada jadual dan cara pembelajaran berbeza yang diperkenalkan sejak tempoh pemutus litar (CB) pada awalnya menjejas motivasi beliau untuk belajar.

Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Maryam Muniirah Rani, 16 tahun, akui menghadapi kesukaran untuk kekal produktif kerana terpaksa belajar dalam persekitaran yang sama buat masa yang lama, berbanding secara fizikal di kelas.

Namun memandangkan beliau perlu menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' tahun lalu, Maryam berusaha memastikan beliau dapat menumpukan perhatiannya terhadap pembelajaran dan berusaha mengulangkaji di rumah.

Beliau telah mengenal pasti beberapa langkah tertentu dalam rutin hariannya.

Ini termasuk memperuntukkan masa untuk menenangkan fikiran dan bangun awal setiap hari.

"Saya ada beberapa kebiasaan yang membantu dalam proses pembelajaran.

"Saya akan bangun awal walaupun tak perlu ke sekolah, selain itu saya juga akan belajar di beberapa ruang berbeza di rumah dan juga ajak teman-teman mengulangkaji bersama melalui Zoom.

"Langkah-langkah ini memastikan saya lebih terdorong dan tak menundakan pembelajaran walaupun selesa di rumah," katanya.

Selain itu, Maryam juga berkata keputusan kurang baik yang diterimanya dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2016 menjadi dorongan kuat untuk mencapai kecemerlangan dalam GCE peringkat 'O'.

Menyentuh tentang keputusan GCE peringkat 'O' yang diterimanya semalam, Maryam berkata beliau berpuas hati dan bersyukur kerana mencapai matlamatnya.

Beliau meraih 6 A dan 3 B dalam keputusannya.

"Pada pendapat saya, apa sahaja yang kita hadapi dalam kehidupan merupakan peluang untuk kita mendalami diri sendiri dan memajukan diri.

"Saya cuba melakukan yang terbaik dalam peperiksaan peringkat 'O' untuk mengenal pasti minat, kekuatan dan kelemahan saya.

"Saya harap apa yang saya pelajari tahun lalu akan bantu saya bersedia untuk hadapi masa depan," katanya.

Menurut ibunya, Cik Siti Mashita Mawadi, 48 tahun, Maryam merupakan seorang yang berdisiplin dan mempunyai jadual harian dalam pelajarannya.

"Kami sekeluarga hanya perlu berikan kata-kata semangat kepada beliau dan berdoa demi kebaikan masa depannya.

"Saya juga akan menjaga kesihatannya, contoh melalui pemakanan yang baik agar sentiasa bertenaga dan juga pastikan beliau tidur dengan cukup," katanya.

Cik Siti Mashita juga berkata beliau dan suaminya juga akan memberi galakan dan kata-kata positif supaya Maryam tak berasa tertekan atau terganggu fikirannya.

"Bagi saya Maryam mempunyai sikap disiplin yang baik. Dia mempunyai jadual harian dan konsisten dalam pelajarannya," ujar ibunya.

Menurut Maryam, untuk berjaya, setiap pelajar perlu menumpukan kepada matlamat yang dikejar untuk kekal terdorong.

"Pada pendapat saya, niat seseorang penting dalam apa jua perkara yang diusahakan.

"Ia akan membentuk langkah yang kita ambil dan juga cara pemikiran serta usaha yang kita lakukan.

"Untuk itu, saya rasa setiap pelajar perlu sentiasa bertanyakan soalan ini kepada diri sendiri: Mengapa penting untuk saya lakukan yang terbaik?"

"Saya ada beberapa kebiasaan yang membantu dalam proses pembelajaran. Saya akan bangun awal walaupun tak perlu ke sekolah, selain itu saya juga akan belajar di beberapa ruang berbeza di rumah dan juga ajak teman-teman mengulangkaji bersama melalui Zoom. Langkah-langkah ini memastikan saya lebih terdorong dan tak menundakan pembelajaran walaupun selesa di rumah." - Maryam Muniirah Rani, pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, yang meraih 6 A dan 3 B dalam keputusan GCE peringkat 'O'.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg