Tender kereta api laju KL-S'pura dikeluarkan 'dalam masa setahun'

ALOR SETAR: Tender bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun dari majlis menandatangani perjanjian pada Selasa (19 Jul), kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kementeriannya tidak sabar menunggu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi projek tersebut antara dua pemerintah itu di Putrajaya.

"Sebaik sahaja pemeteraian perjanjian itu dilakukan, pihak berkuasa akan menyediakan dokumen tender. Tender akan dipanggil dalam tempoh setahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini.

MOU itu akan membuka jalan bagi rundingan terperinci mengenai perjanjian dua hala utama, yang dijangka ditandatangani akhir tahun ini, lapor akhbar New Straits Times Khamis lalu.

Datuk Seri Liow berkata "banyak syarikat antarabangsa" menunjukkan minat menyertai projek itu.

Maklumat lanjut mengenai HSR dijangka diumum pada majlis menandatangani perjanjian itu, yang media Malaysia berkata akan berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dijangka menyaksikan pemeterian itu.

HSR sepanjang 350 km dengan trek berganda itu akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit, berbanding lebih empat jam dengan kereta. Dua terminalnya akan terletak di bandar baru Bandar Malaysia di pinggir Kuala Lumpur, dan di Jurong East.

Kereta api itu akan mempunyai beberapa perhentian, termasuk di Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum menuju ke arah Jurong East melalui Tuas. Iskandar Puteri nama baru Nusajaya di Johor.

Laporan media Malaysia berkata projek itu dianggar bernilai antara RM60 bilion ($20.4 bilion) dan RM65 bilion.

Datuk Seri Liow berkata projek itu akan membawa pembangunan ekonomi kepada Malaysia dan Singapura, dengan projek-projek pembangunan berorientasikan transit membantu membangunkan bandar di sepanjang link rel tersebut. - The Star/Asia News Network

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.