Tharman: Kemajuan S'pura adalah kerana mendiang Lee

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, telah merakamkan tanda penghormatannya kepada Encik Lee Kuan Yew di akaun Facebooknya, menyatakan mendiang "telah membina Singapura untuk terus bertahan".

Menurut Encik Tharman, kemajuan Singapura hari ini ialah kerana Encik Lee.

"Kita dapat bertahan sebagai negara kecil dan dikenali dunia kerana beliau. Singapura juga akan terus maju kerana beliau.

"Encik Lee telah membina Singapura untuk terus bertahan."

Beliau menambah Encik Lee telah mengetuai satu pasukan dan bukan sekadar bertindak seorang diri.

"Beliau mewujudkan pemerintahan yang bersih dan mengamalkan budaya memberitahu masalah sebenar dan mencari jalan untuk menghuraikannya."

Lebih penting lagi menurutnya Encik Lee telah membina negara berbilang kaum yang harmoni, sesuatu yang jarang dilihat di peringkat antarabangsa.

"Encik Lee sering menyuruh kita berpandang ke hadapan dan tidak sekadar berpuas hati dengan hari ini, selalu mencari cabaran seterusnya, dan mencari masa depan yang lebih baik untuk rakyat Singapura.

"Cara terbaik untuk memberi penghormatan kepada Encik Lee bagi setiap generasi baru ialah terus membangunkan apa yang telah dibangunkan, teruskan kehidupan dengan berpegang pada prinsip mereka dan berusaha menjadikan masyarakat kita adil, saksama dan hebat," tambahnya.

Sebelum mengakhiri tanda penghormatannya dengan ucapan terima kasih kepada mendiang Lee, DPM Tharman sempat mengongsi petikan kata-kata Encik Lee pada 1988:

"Setiap generasi mempunyai keinginan, keghairahan dan penuh dengan tenaga. Setiap generasi mempunyai visi bagi masyarakat yang ideal.

"Mencapai masyarakat ideal sukar dicapai tetapi kerana manusia mempunyai ideal, masyarakat akan terus maju."

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.