Tiga tahanan JI dibebaskan

TIGA anggota Jemaah Islamiyah (JI) telah dibebaskan daripada tahanan antara Februari dengan Mei 2014 selepas dinilai tidak lagi merupakan ancaman keselamatan yang memerlukan tahanan pencegahan.

Ketiga-tiga lelaki itu ialah Sahrudin Mohd Sapian, Mohamed Rafee Abdul Rahman dan Mohamed Rashid Zainal Abidin, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan.

Sahrudin dan Mohamed Rafee merupakan anggota JI yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari 2012.

Mereka telah menjalani latihan pengganas di Afghanistan pada 2000.

Kedua-dua lelaki telah dibebaskan daripada tahanan dan diletakkan di bawah Perintah Sekatan (RO) pada 24 Februari 2014.

Sementara itu, Mohamed Rashid yang ditahan di bawah ISA pada Mei 2006 merupakan anggota JI yang telah menjalani latihan pengganas di selatan Filipina.

Beliau dibebaskan daripada tahanan dan diletakkan di bawah RO pada 26 Mei 2014.

Individu yang diletak bawah RO harus menuruti beberapa syarat dan sekatan.

Misalnya, mereka tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaan dan tidak boleh keluar Singapura tanpa mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Mereka yang diletak di bawah RO juga tidak boleh memberi kenyataan awam; bercakap di mesyuarat awam; mencetak, menyebar atau menyumbang kepada sebarang penerbitan; atau memegang jawatan dan menjadi anggota sebarang pertubuhan, persatuan atau kumpulan tanpa mendapatkan kelulusan Pengarah ISD.

Menurut MHA, RO terhadap empat anggota JI dan seorang individu yang menjadi radikal sendiri berkahir antara Jun 2014 dengan April tahun ini.

Anggota JI terbabit ialah Ab Wahab Ahmad, Syed Ibrahim, Ibrahim Mohd Noor dan Jahpar Osman, sementara individu yang menjadi radikal sendiri itu ialah Muhammad Thahir Shaik Dawood.

Kesemua lelaki itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memberi respons baik kepada usaha pemulihan.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.