Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tingkat kesedaran masyarakat Melayu tentang sejarah lisan

Feb 15, 2018 | 05:30 AM



Empat jawatankuasa etnik telah dibentuk di bawah Arkib Negara Singapura (NAS) tahun lalu dalam usaha mengumpul dan memperkayakan sejarah lisan negara, dengan jawatankuasa bagi masyarakat Melayu adalah yang pertama ditubuhkan. Apakah usaha yang sedang dijalankan? ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) melaporkan.



LEBIH banyak usaha akan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu tentang peri penting sejarah lisan agar lebih ramai mempunyai rasa pemilikan dalam mengabadikan sejarah.



Antara usaha itu ialah memperkenalkan kursus sejarah lisan atau program bekerja sambil belajar dengan kerjasama Arkib Negara Singapura (NAS) dan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), kata Dr Azhar Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Sejarah Lisan Masyarakat Melayu NAS.



Jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2016 selepas diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim, kini menasihat dan membuat saranan kepada NAS.



Anggota lain ialah Hakim Mahkamah Daerah yang bersara, Encik Abdul Rahim Jalil; Cik Zuraidah Abdullah, pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), dan Dr Norshahril Saat daripada Institut Iseas-Yusof Ishak.



Memberi perkembangan terkini ketika ditemui, Dr Azhar berkata pendekatan lebih tersusun yang kini diambil dalam mengumpul sejarah lisan telah menunjukkan kemajuan.



Sejak ditubuhkan, jawatankuasa itu menjalankan lima temu ramah dan empat lagi sedang dalam proses dan 35 sukarelawan baru direkrut.



Sejarah lisan dikumpul menerusi proses temu ramah oleh penemu ramah sukarelawan, yang kemudian mentranskripsikan temu ramah itu.



"Peranan pertama kami ialah mencari dan menyarankan penemu ramah untuk NAS. Tanpa anggota jawatankuasa yang rapat dengan masyarakat seperti Encik Abdul Rahim, mungkin usaha ini lebih lambat kerana sumber NAS terbatas.



"Jadi, jawatankuasa ini memberi jalan mudah. Mungkin ada yang fikir lima temuramah tidak banyak tetapi kita dapat menunjukkan kepada masyarakat yang projek ini sedang berjalan," jelas beliau.



Menurut Dr Azhar, dalam mencapai matlamatnya, beberapa strategi sedang difikirkan - termasuk saranan kerjasama memperkenalkan kursus atau modul sejarah lisan.



"Ini masih dibincangkan dan kami sedang mencari cara terbaik, sama ada dalam bentuk modul atau program bekerja sambil belajar.



"Ia bertujuan memperkuatkan kepakaran dalaman, jadi satu hari nanti kita juga boleh temu ramah masyarakat lain.



"Satu lagi usaha ialah menganjurkan pameran bergerak ke kampus universiti, mendidik pelajar dan pakar akademik yang sejarah lisan adalah bahan yang boleh dimanfaatkan bagi kajian," jelasnya dan menambah penggunaan sejarah lisan dalam akademia boleh ditingkatkan.



Tahun lalu, dua inisiatif mendekati masyarakat yang berbentuk bengkel telah dianjurkan.



Tentang bidang yang akan ditumpukan, Dr Azhar berkata terdapat keperluan memastikan projek mendatang lebih inklusif - yakni mencakupi bidang kekaryawanan dan kepakaran lebih luas.



Penolong Pengarah NAS, Cik Noor Fadilah Yusof menjelaskan kerjasama dengan jawatankuasa etnik penting dalam usaha pemerintah mengumpul sejarah.



Tiga jawatankuasa etnik lain juga ditubuhkan - Cina, India dan Serani.



"Sebelum ini, kami memang sudah temu ramah masyarakat Melayu tetapi kami berharap dengan bantuan jawatankuasa ini, kami dapat mendekati masyarakat dengan lebih baik lagi," ujar beliau.



Apatah lagi, cabaran utama usaha ini adalah ia merupakan satu 'perlumbaan masa'.



"Kami tahu ada profil yang ingin ditemu ramah sudah berusia, dan mungkin tidak ingat dengan jelas memori yang ingin kami rakamkan.



"Ada juga individu yang tidak dapat diakses, jadi bantuan jawatankuasa etnik diperlukan," tambahnya.



Lantaran itu, naib pengerusi jawatankuasa Melayu yang juga penemu ramah sukarelawan, Encik Abdul Rahim Jalil, menggesa masyarakat Melayu agar memainkan peranan mengabadikan sejarah kerana ramai tidak tahu tentang sejarah Melayu di sini.



"Banyak sumbangan orang Melayu tidak diketahui. Dengan adanya program seperti ini, kita lebih tahu sumbangan masyarakat Melayu khususnya pada masa dulu.



"Ada juga tempat bersejarah di sini, umpamanya tempat orang Melayu seperti Kampung Padang Terbakar, yang memberitahu kita adanya kampung seperti ini dulu dan mengingati mereka tentang sejarah orang Melayu di sini," jelasnya.



Lebih penting lagi, tegas Encik Abdul Rahim, sejarah lisan dapat mencerminkan sumbangan Melayu kepada pembangunan negara.



"Kita mempunyai peranan dan kita telah memainkan peranan itu. Jadi adalah baik untuk menunjukkan kepada masyarakat lain bahawa masyarakat Melayu, bersama-sama dengan masyarakat lain telah menyumbang kepada kemajuan Singapura," tekannya.




ANTARA KOLEKSI MENARIK



Apakah koleksi sejarah lisan paling lama?



- Dua projek pertama adalah pada 1979.



- Projek 'Perintis Singapura' merakam memori perniagaan generasi pengasas dan ketua masyarakat; dan projek 'Perkembangan Politik di Singapura, 1945-1965' merakam kenangan tempoh lewat kolonial Singapura menuju ke arah kemerdekaan, selepas Perang Dunia Kedua.



Antara sejarah lisan Melayu yang menarik?



- Encik Jemaat Awang, Penghulu di beberapa kampung di Pulau Tekong, menceritakan tentang kehidupan awal di pulau itu dan antara sebab nama Pulau Tekong diberi.



- Penganjur acara konsert dan hiburan pada 60-an dan 70-an, Encik Basiron Bon, mengimbas pengalaman bekerja dengan penyanyi popular di zaman 60-an.



- Cik Ainon Mohd Yasin, seorang tukang urut, yang menyingkap antara lain pengalaman mengurut dan kehidupan awal ketika menetap di Tanah Merah.



- Pemain bolasepak tersohor atau dikenali 'Raja Gelek', Dollah Kassim, menceritakan pengalaman dan suasana perlawanan apabila Singapura merangkul Piala Malaysia pada 1977.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >