Tunggakan CPF sebanyak $516j didapatkan semula tahun lalu

LEMBAGA Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mendapatkan semula kira-kira $516 juta wang CPF yang tertunggak tahun lalu (2015), memberi manfaat kepada lebih 360,000 pekerja.

Tunggakan CPF itu merupakan sumbangan majikan yang terkurang, tidak dibuat dan dibuat lewat, ujar Lembaga CPF berkata dalam satu kenyataan pada Rabu (1 Jun).

Daripada jumlah itu, $15.2 juta merupakan kes sumbangan terkurang atau tidak dibuat oleh 1,840 majikan, bagi 14,708 pekerja.

Salah satu kes, iaitu antara jumlah tunggakan tertinggi yang didapatkan semula, terbongkar melalui aduan mengenai sumbangan CPF tidak dibuat majikan oleh seorang pemandu sebuah syarikat logistik.

Siasatan menunjukkan syarikat itu silap menggolongkan pemandunya di bawah kontrak perkhidmatan dan oleh itu, tidak membayar sumbangan CPF mereka.

Selepas mengkaji fakta relevan, Lembaga CPF memutuskan para pemandu itu sebenarnya bekerja sebagai pekerja syarikat itu.

Kira-kira $2 juta tunggakan CPF lebih lapan tahun bagi 70 pemandu itu didapatkan semula, membantu menambah simpanan CPF mereka bagi memenuhi keperluan persaraan, perumahan dan penjagaan kesihatan mereka, kata Lembaga CPF.

Baki $500.8 juta yang didapatkan semula ialah sumbangan CPF lewat daripada purata kira-kira 5,600 majikan setiap bulan pada 2015.

Sebahagian besar pembayaran lewat itu didapatkan dalam tempoh sebulan.

Lembaga CPF berkata pengesanan tepat pada masanya dan tindakan penguatkuasaan susulan membantu lebih 353,000 pekerja menerima wang CPF yang layak mereka terima.

Menurutnya, 36 majikan didapati bersalah tidak membayar atau membayar kurang sumbangan CPF, dan 237 disabitkan membayar lewat tahun lalu.

Semua majikan itu didenda dan diarah membayar tunggakan CPF oleh Mahkamah Negara.

Majikan diingatkan tentang tanggungjawab CPF mereka bagi pekerja tempatan mereka. Pekerja juga perlu kerap menyemak akaun CPF mereka melalui laman web CPF bagi memastikan majikan mereka telah membuat sumbangan CPF betul.

Untuk melaporkan kes tidak membayar atau membayar kurang caruman CPF, atau tidak mematuhi Akta Pekerjaan, orang ramai boleh menghubungi nombor telefon 1800-221-9922 atau e-mel workright@mom.gov.sg.

Semua maklumat yang diberi dirahsiakan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 71
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.