Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Memperkasa diri dengan ilmu

Turut jadi contoh mesej belajar sepanjang hayat

Pakar pembimbing latihan sentiasa tekankan pentingnya timba ilmu kepada anak didik
Jun 25, 2017 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang jurulatih, Encik Mohd Haiyub Kadir menekankan kepentingan menimba ilmu kepada anak didiknya dengan harapan mereka dapat menjadi insan lebih baik dan bermanfaat untuk diri sendiri dan masyarakat.



Namun, beliau turut menjadi contoh mesej pembelajaran sepanjang hayat yang dikongsinya itu dengan terus-menerus mempertingkat kemahirannnya melalui pelbagai kursus.



Usahanya itu meninggalkan kesan mendalam pada anak didiknya.



"Mereka yang pernah menyertai kursus saya tahu betapa saya mahu melihat mereka berjaya. Ada daripada mereka masih menghubungi saya untuk nasihat berhubung kerjaya mereka dan pembangunan diri," kata datuk seorang cucu dan bapa empat anak yang berusia 50 tahun itu.



Encik Haiyub seorang pengurus latihan di sebuah persatuan perdagangan setempat.



Beliau sebelum ini bertugas sebagai penyelia pengeluaran di syarikat berbilang negara (MNC), namun menerima tawaran menjadi pegawai latihan di syarikat itu pada 2005.



Pada 2010, Encik Haiyub menyandang jawatan pengurus latihan serantau dalam sebuah MNC lain, di mana beliau bertanggungjawab bagi latihan dan pembangunan semua 16 kilang badan itu serata Asia Tenggara.



Di samping itu, beliau juga jurulatih pakar bagi program pembangunan kepimpinan badan tersebut.



Selain pembangunan kepimpinan, Encik Haiyub berkata kepakarannya juga terletak dalam bidang pengurusan manusia, sumber manusia dan kemahiran insani seperti pengurusan konflik.



Sedang beliau sibuk menjalankan tugas harian, Encik Haiyub juga tidak lupa menyumbang kembali kepada masyarakat di Mendaki Sense. Beliau jurulatih bagi kursus kepimpinan dan pengurusan manusia di sana.



Menurutnya, beliau amat prihatin dengan kemajuan masyarakat Melayu/Islam dan berkata masyarakat perlu rajin mempertingkat kemahiran agar kekal relevan dan tidak ketinggalan mengikuti arus perkembangan terkini.



Malah, Encik Haiyub berkata agama Islam menekankan peri perlu umatnya terus mengejar dan menimba ilmu.



"Pembelajaran sepanjang hayat baik bukan hanya bagi individu, malah untuk ummah juga kerana ia mempertingkat masyarakat untuk menjadi lebih baik dari segi ekonomi dan rohani.



"Pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya mengenai peningkatan kerjaya, namun juga tentang meraih dan mendalami ilmu dalam bidang agama, rohani dan falsafah," kata beliau.



Namun, sedang beliau giat menyebarkan ilmu kepada orang lain, Encik Haiyub tidak lupa akan peningkatan dirinya sendiri.



Semasa bertugas sebagai penyelia pengeluaran dahulu, beliau meraih diploma dalam pengurusan pengeluaran.



Beliau antara lain memiliki diploma dalam pendidikan dewasa dan berterusan dan pada 2014, menggenggam ijazah Sarjana dalam Sains bagi jurusan pengurusan perniagaan antarabangsa dengan kepujian.



Kini, beliau sedang menjalani kursus pensijilan profesional pengurusan projek dan berharap dapat meneroka lebih banyak peluang pembelajaran tahun depan, antaranya melakukan program kedoktoran dalam bidang yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.



Encik Haiyub berharap beliau terus dapat memberi inspirasi kepada anak dan cucu serta para pelatihnya agar terus belajar sepanjang hayat.



Bahkan, beliau bangga melihat ramai pelatihnya kini mengikuti perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka sendiri.



"Saya berharap dapat melakukan lebih banyak lagi untuk memberi inspirasi kepada yang lain. Saya terbuka kepada peluang kerjasama untuk mempertingkat masyarakat," tambahnya.




"Pembelajaran sepanjang hayat baik bukan hanya bagi individu, malah untuk ummah juga kerana ia mempertingkat masyarakat agar menjadi lebih baik dari segi ekonomi dan rohani. Pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya mengenai peningkatan kerjaya, bahkan tentang meraih dan mendalami ilmu dalam bidang agama, rohani dan falsafah."
- Encik Mohd Haiyub Kadir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >