Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ubah imej, perkasa penerima bantuan

Pertapis orak pelbagai inisiatif bantu keluarga susah
Dec 10, 2017 | 05:30 AM



Pertapis telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Ogos lalu yang menyaksikan penyertaan beberapa profesional dalam barisan kepimpinannya. Golongan ini diharap dapat menjadi peneraju yang membawa badan itu terus berkembang di hari muka. Siapakah antara mereka? Pada masa yang sama, apakah antara perubahan baru yang dilaksanakan Pertapis dalam mengendalikan program bantuannya? Ikuti laporan berikut.



CIK Fatimah (bukan nama sebenar) pergi ke Joo Chiat Complex pada Khamis pertama setiap bulan dan pulang dengan membimbit barang-barang keperluan dapur.



Kelihatannya beliau seperti pergi berbelanja tetapi sebenarnya beliau ke pejabat Pertapis di tingkat empat untuk mengambil habuan.



Beliau adalah antara 450 penerima habuan di bawah projek Tabung Amal Jariah (TAJ) yang menerima habuan bernilai $80 hingga $100 setiap bulan.



"Kami harap ini akan menjaga harga diri dan imej mereka," kata Presiden Pertapis, Encik Hussaini Abdullah.



Dahulu, penerima bantuan mengambil habuan mereka di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34 Geylang.



Antara yang membantu mengagihkan habuan ialah penghuni rumah tersebut, dan sebahagian penerima pula mempunyai anggota keluarga (suami, anak atau bapa) bermasalah atau dalam tahanan.



"Minda mereka tertumpu di situ sahaja. Kami mahu ubah.



"Dengan mengagihkan habuan di Joo Chiat, secara tidak langsung kami buka minda mereka - seolah-olah pergi pasar dan bawa balik barang. Yang mengendalikan adalah kakitangan Pertapis dan dapat berbual dengan mereka," kata pengurus kanan Pertapis, Encik M Jufri Haron.



Dengan lebih mendekati mereka, Pertapis dapat mengorak beberapa inisiatif lanjut mulai 2015.



"Kami usahakan bantuan membersihkan rumah, tawarkan tuisyen untuk anak mereka, adakan seminar dan bengkel keluarga," kata Encik Jufri.



Projek bantu membersihkan rumah dilakukan pada Sabtu kedua setiap bulan.



Anak-anak sebahagian penerima pula dibantu dengan menempatkan mereka ke kelas tuisyen.



Sebahagian pula dibantu dengan pemadanan kerja.



"Kami dapat buka minda menerusi seminar dan bengkel, memberi motivasi dan membina keyakinan diri menerusi ceramah.



"Kami juga adakan kelas bimbingan agama termasuk kelas mengaji, bimbingan akhlak, fardu ain, kifayah, tauhid, ukhrawi serta menghalusi solat dan lain-lain," kata Encik Hussaini.



Kelas motivasi untuk ketua keluarga merangkumi aspek bagaimana membimbing anak dalam pelajaran, pergaulan sihat, tatatertib dan keprihatinan terhadap masyarakat berbilang bangsa dan agama.



Terdapat juga kelas yang mencungkil bakat seperti menjahit, memasak, penggunaan komputer, kemahiran pengendalian mesin, pembetulan paip air, elektrik dan pelbagai lagi yang boleh mereka manfaatkan untuk berdikari.



"Kelas-kelas tersebut berunsurkan kemahiran masa depan dan bersiap siaga menghadapi masa depan yang disediakan oleh Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ)," kata Encik Hussaini.



Projek TAJ Pertapis itu membantu golongan dengan pendapatan per kapita di bawah $450 sebulan. Ini termasuk keluarga ibu tunggal dan sebahagiannya ada anggota keluarga berada dalam tahanan.



Projek TAJ adalah antara projek kemasyarakatan Pertapis.



Pertubuhan yang baru menyambut ulang tahun ke-47 itu juga melakukan khidmat sosial.



Ia mengendalikan Rumah Tumpangan Kanak-kanak; Pusat Wanita dan Budak Perempuan; Rumah Peralihan dan Rumah Tumpangan Warga Tua.



Menjelaskan lebih lanjut mengenai TAJ, Encik Hussaini dan Encik Jufri berkata projek itu bermula pada 1984 dengan memberi bantuan kepada sekitar 60 keluarga. Bilangannya telah bertambah dan kini mencapai 450 keluarga.



Di samping itu, terdapat lagi 200 keluarga dalam senarai menunggu.



Selain barang keperluan dan sedikit wang tunai hasil sumbangan masyarakat, derma dan zakat, mereka sesekali mendapat pakaian dan perkakas rumah yang disumbangkan peniaga di situ.



Kes para penerima bantuan itu disemak setiap enam bulan.



Menurut Encik Hussaini, Pertapis kini memberi lebih tumpuan kepada khidmat sosial dan kemasyarakatan.



"Kami tumpukan perhatian pada keluarga yang perlukan kesinambungan hidup dengan memberi bantuan setiap bulan dan mengambil beberapa inisiatif memperkasa mereka, bercampur dengan masyarakat supaya tidak terpinggir, termasuk mengadakan kelas bimbingan agama untuk mereka.



"Maka itu kami pindah dari Lorong 34 ke sini. Dahulu nampak jelas mereka daripada golongan yang meminta bantuan.



"Kami pertingkat imej mereka - seolah-olah mereka pergi pasar membeli barang," kata beliau.



Selain bantuan bulanan, Pertapis menganjurkan dua acara meraikan mereka setiap tahun.



Satu daripadanya ialah acara 'Care and Share' (prihatin dan kongsi), dua minggu sebelum Ramadan, berganding dengan Kelab Masyarakat (CC) Joo Chiat dan Geylang Serai.



Penerima bantuan Pertapis, termasuk mereka yang dalam senarai menunggu, dan penerima bantuan bukan Islam yang diusahakan dua CC itu diraikan dan diberi habuan.



Projek habuan kepada sekitar 600 keluarga itu - dalam bentuk barang makanan dan wang tunai - disokong oleh Persatuan Peniaga Joo Chiat.



Satu lagi ialah Iftar Ramadan yang diadakan di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34, mengundang penerima bantuan Pertapis, Badan Agama Dan Pelajaran Radin Mas (Bapa); Kumpulan Insan Kurang Upaya (Kiku), beberapa penerima bantuan bukan Islam dan orang awam yang datang memohon bantuan.



Penerima bantuan dan keluarga mereka mendapat habuan tambahan dan wang tunai $150-$200.



Kehadirannya mencecah 1,800 hingga 2,000 orang.



Encik Hussaini berkata cabaran yang dihadapi adalah bagaimana Pertapis dapat terus membantu menampung kehidupan keluarga sedemikian agar mereka dapat meneruskan hidup dengan baik dan sempurna, tidak hidup gelandangan dan terbiar.



"Pertapis menanam sifat belas ihsan dan prihatin terhadap mereka dan akan berusaha sedaya upaya agar tidak menolak mereka yang datang ke pintu kami memohon bantuan. Maka itu cabaran yang ketara ialah dari segi kewangan untuk membeli bekalan-bekalan tersebut setiap bulan bagi membantu mereka.



"Alhamdulillah, Pertapis tidak putus rezeki. Kami masih mempunyai orang dan badan yang mengambil berat, prihatin, sentiasa berzakat, bersedekah dan infak, mengagih dan mengirim wang dan barangan-barangan keperluan kepada kami untuk membantu para penerima habuan kami.



"Inilah aset kami - berupa 450 keluarga yang kami bantu. Ia telah berjalan sekitar 20 tahun dan kami berharap dapat terus melakukannya.



"Pertapis ingin memperkasa dan meningkatkan mutu hidup 450 keluarga dengan menyediakan pelbagai aktiviti sesuai," kata Encik Hussaini.



Antara rancangan masa depan ialah memberi dermasiswa pada tahun depan kepada anak-anak yang berada dalam madrasah bagi meningkatkan minat dan keinginan mereka menambah ilmu dalam agama.



"Kami ingin melihat warga sedemikian mempunyai keyakinan dan tekad untuk sama-sama maju dalam arus hidup ini, berwawasan, berkebolehan, pintar, serta mahir apabila dihadapkan dengan cabaran masa kini yang berteraskan kepada 'smart-ready' di negara yang berasaskan 'negara bijak'," kata Encik Hussaini.




"Inilah aset kami - berupa 450 keluarga yang kami bantu. Ia telah berjalan sekitar 20 tahun dan kami berharap dapat terus melakukannya. Pertapis ingin memperkasa dan meningkatkan mutu hidup 450 keluarga dengan menyediakan pelbagai aktiviti sesuai... Kami ingin melihat warga sedemikian mempunyai keyakinan dan tekad untuk sama-sama maju dalam arus hidup ini, berwawasan, berkebolehan, pintar, serta mahir apabila dihadapkan dengan cabaran masa kini yang berteraskan kepada 'smart-ready' di negara yang berasaskan 'negara bijak'."
- Encik Hussaini Abdullah, Presiden Pertapis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >