Ucapan Bahasa Melayu Perdana Menteri di Rapat Hari Kebangsaan

Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Ramadan lalu, saya dan isteri "turun padang" ke Geylang Serai untuk merasai sendiri suasana perayaan di sana. Tahun ini, hiasan lampunya sungguh bercahaya dan berwarna-warni. Menarik sekali!

Saya gembira melihat pengunjung berpusu-pusu ke bazar.

Saya juga berpeluang menyertai majlis iftar di Masjid Mujahidin di Queenstown. Masjid ini baru saja dibaik-pulih. Cantik sekali!

Ruang solatnya lebih besar, ada laluan bebas halangan untuk golongan kurang upaya. Bilik darjahnya pula moden. App iPhone pun ada!

Masjid ini juga menampung jemaah dari Qaryah Kampong Holland.

Saya tahu, jemaah Masjid Kampong Holland agak sedih meninggalkan masjid itu. Tetapi saya gembira kedatangan mereka disambut mesra oleh Masjid Mujahidin.

Mereka sudahpun sesuaikan diri dengan baik di 'rumah baru' mereka. Kerjasama dan pengorbanan seperti inilah yang kita inginkan untuk Singapura.

Semangat ini ketara dalam diri Generasi Perintis kita.

Apabila kita Merdeka dulu, warga Perintis Melayu sebenarnya ada pilihan dan anda telah memilih untuk jatuh-bangun bersama Singapura.

Pilihan anda ini telah membantu Singapura mekar menjadi sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang unik - yang bersatu padu dan harmoni.

Terima kasih kerana yakin dengan masa depan Singapura, dan bertungkus-lumus dengan kaum lain, untuk bangunkan Singapura.

Pakej Generasi Perintis adalah tanda penghargaan kita kepada golongan ini.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, MUIS dan Mendaki telah membentuk Jawatankuasa Bersama Generasi Perintis.

Ia dipengerusikan Speaker Parlimen, Puan Halimah Yacob, dan disokong badan-badan Melayu/Islam.

Ia telah jalankan pelbagai usaha baik, misalnya membentuk Sudut Kongsi Pandangan di Joo Chiat Complex untuk mendekati golongan Perintis dan keluarga mereka.

Seorang Perintis Melayu yang cemerlang ialah Encik Yusof Ishak, Presiden pertama kita.

Saya gembira sekali, Puan Noor Aishah dapat bersama kita malam ini!

Encik Yusof lahir di Perak tetapi membesar di Singapura. Beliau cemerlang di sekolah dan aktif bersukan.

Beliau juga memulakan Utusan Melayu, akhbar pertama milik orang Melayu. Akhbar Jawi.

Pada tahun 1959, selepas Singapura memperoleh pemerintahan sendiri, beliau dipilih "Yang Di Pertuan Negara".

Kemudian, apabila Singapura menjadi sebuah Republik, Encik Yusof menjadi Presiden pertama kita.

Saya kenal Encik Yusof sejak saya kecil. Bagi saya dan adik-adik, beliau peramah orangnya. Saya masih ingat lagi, beliau juga suka merakam filem.

Apabila Encik Yusof dan Puan Noor Aishah naik haji, beliau rakamkan pengalamannya.

Pada masa itu, memang jarang-jarang kita dapat lihat rakaman mengenai Makkah dan Kaabah.

Selepas beliau pulang, beliau menunjukkan filem itu kepada kami dan menceritakan pengalaman mereka di Tanah Suci.

Encik Yusof adalah seorang yang warak, dan pada masa yang sama rapat dan mesra dengan rakyat bukan Islam. Beliau juga menyokong kuat dasar-dasar berbilang kaum kita.

Encik Yusof yakin dengan prinsip meritokrasi bahawa semua orang harus diberi peluang saksama untuk majukan diri melalui usaha masing-masing.

Beliau juga menyokong dasar-dasar untuk memodenkan masyarakat kita dan membolehkan masyarakat Melayu/Islam bergerak maju bersama-sama kaum lain.

Sebagai Presiden, Encik Yusof telah mewakili Singapura dengan cemerlang dan berwibawa.

Kita akan memberi 3 penghormatan di atas segala sumbangan Encik Yusof kepada Singapura.

Pertama, sebuah masjid akan dinamakan atas nama beliau. Kami telah berbincang dengan Mufti tentang perkara ini.

Anda sudahpun tahu bahawa sebuah masjid baru akan dibina di Woodlands.

Kami juga telah berbincang dengan Jawatankuasa Pembinaan Masjid baru ini dan keluarga Encik Yusof.

Terima kasih Tuan Mufti kerana memberi saya penghormatan untuk mengumumkan nama masjid baru ini iaitu Masjid Yusof Ishak.

Kedua, Encik Yusof komited untuk mendorong kemajuan melalui pendidikan.

Beliau juga banyak menyumbang kepada hubungan akrab dengan negara-negara jiran.

Sejajar dengan sumbangannya ini, kita akan menamakan Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) atas nama beliau. Ia bakal dikenali sebagai, "ISEAS - Institut Yusof Ishak".

Ketiga, kita juga akan memulakan "Kerusi Profesor Yusof Ishak dalam Sains Sosial" di NUS.

Pengumpulan dana akan diusahakan sebuah jawatankuasa yang dilantik Dr Yaacob Ibrahim.

Inilah caranya kita memastikan agar generasi Singapura akan datang, terus mewarisi kenangan, wawasan dan nilai-nilai yang dipegang teguh, Encik Yusof Ishak.

Puan Noor Aishah, kami terhutang budi kepada suami anda atas segala sumbangan dan pengorbanannya kepada negara.

Terima kasih!

Masyarakat Melayu/Islam telah mencatat kemajuan besar sepanjang setengah abad lalu, sejak Encik Yusof menjadi Presiden kita.

Tahun demi tahun, pendapatan keluarga meningkat dengan kukuh, lebih ramai berpendidikan pos menengah dan kita kini ada lebih ramai PMET Melayu/Islam.

Setiap tahun, saya mencari contoh-contoh orang Melayu yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Saya nampak satu trend yang ketara: semakin banyak contoh yang membanggakan, tahun demi tahun.

Tahun ini, kita ada lebih kurang 35 siswazah Melayu/Islam yang berjaya mendapat ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dari universiti setempat.

Dua daripada mereka, menarik perhatian saya.

a. Afzal Ali, (25 tahun), graduan Sekolah Undang-Undang NUS dan secara serentak, mendapat ijazah sarjana Undang-Undang dari Universiti New York. Afzal sedang mengikuti latihan guaman di firma ternama, Allen & Gledhill.

b. Fauziah Ally, (22 tahun), adalah graduan Politeknik Singapura dengan diploma Sains Bio-perubatan. Beliau baru lulus dalam Sains Biologi di NTU. Kini Fauziah bertugas sebagai Pegawai Penyelidikan di Institut Biologi Molekular dan Sel, A*Star iaitu IMCB.

c. Satu pencapaian yang mengagumkan. Syabas!

Walaupun banyak sudah dicapai masyarakat Melayu/Islam, masih ada cabaran yang perlu diatasi, misalnya tahap kesihatan.

Terlalu ramai yang mengidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan kegemukan.

Antara sebabnya adalah makanan seperti nasi lemak, briyani, dan kuih muihnya - semua manis-manis dan sedap-sedap belaka!

Biasanya semasa Ramadan ramai yang kurus sedikit tetapi saya tahu ada juga yang naik berat badan!

Mungkin kerana tak tahan dicabar sajian berbuka yang lazat! Jadi saya galakkan orang Melayu supaya lebih banyak bersenam.

Kaum wanita ada kumpulan kebaya-robics!

Untuk kaum lelaki, apa pula ya?

Tetapi saya rasa sudah ada kesedaran.

Semasa saya berbuka puasa di Masjid Mujahidin, saya perhatikan, tetamu di keliling saya, makan dengan berhati-hati.

Nasi Bukhari yang disajikan nampak sedap sekali tetapi mereka tidak terus 'terkam' .

Malah mereka memilih untuk makan lebih banyak kurma dan buah-buahan. Jadi saya pun terpaksalah tahan diri.

Di sebalik cabaran ini, pada keseluruhannya, masyarakat Melayu telah mencatat prestasi yang baik.

Kita mahu semua rakyat terus maju dan berpeluang untuk mengasah potensi, tidak kira latar belakang, asalkan anda rajin berusaha.

Kemajuan ini didorong dua kunci utama: pendidikan dan latihan kemahiran.

Kini, semakin ramai orang Melayu/Islam berjaya ke universiti. Saya tahu ramai pelajar politeknik mahu ke universiti dan ramai pelajar ITE mahu ke politeknik.

Jadi kita akan membolehkan lebih ramai daripada mereka berbuat demikian seperti Fauziah Ally.

Tetapi laluan akademik tidak semestinya sesuai bagi semua orang. Ramai telah memilih untuk bekerja dahulu, misalnya Iswandie Wanhar.

Beliau mula bekerja di ST Aerospace di bawah Skim Aprentis NITEC pada tahun 2000. Ketika bekerja, Iswandie lulus kursus NTC-2 dalam bidang senggara pesawat dan kemudian diploma.

Beliau dinaikkan pangkat beberapa kali. Terbaru sebagai Instruktor Latihan Teknikal.

Kita mahu lebih banyak kisah kejayaan seperti kisah Iswandie Wanhar.

Sebab itulah saya membentuk Jawatankuasa ASPIRE yang dipengerusikan Cik Indranee Rajah.

Tumpuannya ialah untuk mencipta lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura maju, khususnya para pelajar ITE dan politeknik.

Dengan inisiatif terbaru ini, saya yakin lebih ramai rakyat kita dapat menjangkakan kemajuan lebih baik dalam kehidupan mereka.

Dengan bekerja rapat, saya yakin kita akan terus maju. Inilah caranya masyarakat Melayu/Islam berkembang maju sepanjang 50 tahun lalu.

Sedang negara bersiap sedia untuk sambut ulangtahun ke-50 tahun depan, marilah kita menjunjung semangat golongan Perintis kita dan perkukuh masyarakat berbilang kaum kita.

Marilah kita beri rakyat peluang sepenuhnya untuk mencapai potensi mereka.

Marilah kita kuatkan komitmen untuk membentuk Singapura yang lebih baik lagi bagi diri kita dan anak-anak kita!

Terima kasih!

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.