Ujian VEP bermula: Ramai tidak sedar

Licin di kastam Johor pada hari pertama percubaan walau ada pemandu belum lagi mendaftar

SISTEM Permit Masuk Kenderaan (VEP) Malaysia yang dilaksanakan pada 1 Jun kelmarin telah menyebabkan kekeliruan di kalangan pemilik kenderaan Singapura yang memasuki Johor Bahru.

Ini kerana tiada pengumuman awal dibuat mengenai tarikh perlaksanaannya.

Semasa lawatan Berita Harian (BH) ke Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor, semalam, sebuah papan tanda peringatan telah dipasang pintu masuk lorong pemeriksaan kereta.

Papan tanda itu mengingatkan kenderaan asing bahawa bayaran levi RM20 ($6.60) akan dikenakan tidak lama lagi.

Namun, pegawai kastam Johor tidak meminta slip pengesahan bagi pendaftaran VEP ketika melepasi lorong masuk pemeriksaan itu.

Bayaran levi VEP juga tidak dikenakan.

Beberapa pemilik kenderaan Singapura yang ditemui di seberang Tambak mengesahkan turut mengalami pengalaman yang sama.

Encik Aizudin Daly, 32 tahun berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah semasa berada di pusat masuk Johor.

"Mereka tidak meminta apa-apa butiran mengenai VEP. Proses masuk seperti biasa sahaja," kata pegawai IT itu.

Namun, beliau terkejut dengan berita pelaksanaan sistem VEP itu selepas "beberapa kali ditangguhkan".

"Ini juga mengingatkan saya untuk segera mendaftarkan kereta saya ke dalam sistem supaya tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang," ujar beliau yang kerap ke Johor untuk mengisi minyak dan beriadah.

Encik Izhary Zulkifli, 30 tahun juga turut berpandangan sama dan berharap maklumat konkrit dapat diberikan oleh pihak kastam Johor pada masa akan datang.

"Saya tidak tahu mengenai perlaksanaan VEP itu dan saya juga belum mendaftarkan diri. Namun, saya berharap pihak berkenaan dapat memberikan maklumat lanjut supaya dapat elakkan daripada kekeliruan," kata pengendali gimnasium Anytime Fitness itu.

Bagi Encik Sahat Razali pula, beliau tidak tahu bagaimana hendak mengambil tag kad pengenalan gelombang radio (RFID) meskipun sudah mendaftar.

"Saya sudah mendaftarkan plat nombor kenderaan saya ke dalam sistem tetapi mereka hanya memberikan slip pengesahan sahaja. Maklumat bagi kutipan tag itu juga tidak dijelaskan," kata pegawai runcit berusia 48 tahun itu.

Encik Sahat juga bingung dengan pegawai kastam Johor yang tidak mempunyai maklumat lanjut terhadap tag VEP itu.

Percubaan BH untuk menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ubagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlaksanaan VEP juga gagal.

Laporan lanjut: Ujian VEP M'sia hingga 15 Julai

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.