URA akan kaji corak perjalanan, letak kenderaan berat

PEMANDU lori, trak dan koc yang memohon tiket letak kenderaan musiman mulai 1 Ogos akan dikehendaki menyertai satu kaji selidik pemerintah yang bertujuan mengenal pasti corak perjalanan dan meletak kenderaan berat.

Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) menjemput tender untuk mengumpul data perjalanan dan meletak kenderaan berat itu sebagai sebahagian daripada penyelidikan bersama Universiti Technologi and Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Perikatan Singapura-MIT bagi Penyelidikan dan Teknologi (Smart).

"Memahami corak letak kenderaan berat akan membantu URA mengenal pasti lokasi sesuai bagi meletak kenderaan berat dan memperuntuk dengan lebih baik tempat letak kenderaan berat," kata URA dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat (3 Jun).

Terdapat permintaan tinggi bagi tempat letak kenderaan berat awam berhampiran kawasan perumahan, ujar URA.

Walaupun terdapat 44,000 ruang bagi 34,400 kenderaan berat yang didaftar di Singapura, sebahagian besar terletak di kawasan industri dan kurang 25 peratus berhampiran rumah.

Menyediakan tempat letak kenderaan berat akan semakin mencabar memandangkan kebanyakan tempat letak kenderaan berat sedia ada perlu dibangunkan semula untuk perumahan baru dan kemudahan masyarakat, kata URA.

Ia juga menerima maklum balas daripada penduduk agar memindahkan tempat letak kenderaan berat kerana bunyi, asap dan kebimbangan keselamatan.

Pemandu kenderaan berat yang memohon tiket letak kenderaan musiman baru atau memperbaharuinya mulai 1 Ogos akan diwajibkan menyertai kaji selidik tersebut, apabila URA menukar terma dan syarat kupon itu.

Usaha itu akan melibatkan pemasangan peranti sistem kedudukan global (GPS) di dalam kenderaan berat bagi mengumpul data perjalanan dan letak kenderaan bagi satu bulan. Kos peranti GPS itu, termasuk memasang dan menanggalnya, akan ditanggung sepenuhnya oleh URA.

"Tidak akan ada pelanggaran privasi pemandu... URA tidak akan menerima maklumat yang mengenal pasti pemilik atau pemandu kenderaan," ujar URA.

Pemandu juga akan dikaji, secara sukarela, mengenai isu seperti tujuan perjalanan kenderaan berat dan masa yang diambil untuk mengambil dan menghantar barangan berbeza.

Pemegang tiket letak kenderaan berat musiman sedia ada URA akan menerima surat daripada agensi itu berserta maklumat lanjut dan talian bantuan yang boleh dihubungi jika mereka mempunyai pertanyaan atau ingin bertemu kakitangan agensi itu bagi membincangkan perkara tersebut.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.