LEBIH banyak pusat vaksinasi akan disediakan dalam beberapa minggu ini bagi membolehkan semua warga Singapura dan penduduk tempoh panjang mendapatkan suntikan vaksin berdekatan tempat tinggal mereka.
Pusat-pusat vaksinasi ini akan terletak di kawasan dikunjungi ramai orang dan atau berdekatan laluan pengangkutan awam bagi akses lebih mudah.
Ini diumumkan pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi Covid-19 dalam satu sidang media semalam.
Pengerusi bersama MTF, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, berkata di samping itu, poliklinik dan beberapa Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) akan dijadikan pusat vaksinasi.
Sebelum itu, Encik Gan mengumumkan usaha memvaksinasi warga emas akan bermula 27 Januari, dengan projek perintis dijalankan di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar disebabkan ramai warga emas tinggal di sana.
"Kami akan menyediakan dua pusat vaksinasi di Kelab Masyarakat Teck Ghee dan Kelab Masyarakat Tanjong Pagar menjelang 1 Februari. Namun, sebelum itu pun, dari 25 Januari, warga emas tinggal di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar boleh membuat janji temu untuk divaksinasi di poliklinik," ujar Encik Gan.
Seorang lagi pengerusi bersama MTF, Menteri Pendidikan Lawrence Wong, berkata oleh kerana dua kawasan itu merupakan usaha perintis, ia akan dilakukan secara berhati-hati.
"Bagi kumpulan pertama, kami mungkin menjemput antara 5,000 hingga 10,000 warga emas dari setiap dua kawasan itu. Bergantung pada respons yang diterima, mungkin kami akan meningkatkan jumlahnya dan ini akan dilakukan berperingkat.
"Selepas usaha perintis itu, kami akan lakukan (vaksinasi) di kawasan lain pula."
Menjelaskan kepentingan usaha perintis itu, Pengarah Khidmat Perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak berkata ia membolehkan kementerian itu melihat keberkesanan dan kecekapan proses vaksinasi yang dijalankan bagi jumlah orang yang lebih besar.
Vaksinasi mula dilakukan di hospital yang sudah tersedia kemudahan dan ramai kakitangan.
Apabila ia mula dilakukan di poliklinik, ia "memerlukan beberapa perubahan pada reka bentuk kemudahan tersebut memandangkan batasan ruang dalam poliklinik sangat berbeza berbanding hospital", kata beliau.
"Kini kita mahu membawa warga emas ke pusat vaksinasi dan warga emas mempunyai cabaran mereka tersendiri, ada mempunyai cabaran bergerak, ada mempunyai masalah kesihatan lain yang memerlukan lebih banyak perhatian diberikan kepada mereka.
"Ini bererti kami mesti memperhalusi proses tersebut menerusi dua usaha perintis itu. Apabila kami sudah yakin proses-proses ini dioptimumkan dan kami dapat menjaga warga emas kita dengan baik, barulah kami akan membuka lebih banyak pusat dan menaikkan kapasiti vaksinasi di setiap pusat," ulas Profesor Madya Mak.
Encik Wong menambah bahawa semua warga emas akan menerima surat menjemput mereka membuat janji temu bagi mendapatkan vaksinasi. Mereka boleh melakukan janji temu itu dalam talian atau dengan pergi ke beberapa pusat masyarakat terpilih.
Vaksinasi akan dilakukan berperingkat bagi semua warga emas di seluruh negara bermula pertengahan bulan depan.
"Warga emas memerlukan bantuan membuat janji temu tidak perlu risau kerana relawan Persatuan Rakyat (PA) dan duta generasi perak akan melakukan lawatan rumah ke rumah serta memanfaatkan kegiatan akar umbi sedia ada bagi menjawab sebarang pertanyaan dan melakukan janji temu bagi vaksinasi," kata Encik Gan.
Warga emas juga akan diberi lembaran maklumat lebih terperinci mengenai vaksin Covid-19 dan proses vaksinasi. Jika memerlukan bantuan lanjut, mereka boleh menghubungi talian hotline MOH di 1800-333-9999.
"Bagi kumpulan pertama, kami mungkin menjemput antara 5,000 hingga 10,000 warga emas dari setiap dua kawasan itu (Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar). Bergantung pada respons yang diterima, mungkin kami akan meningkatkan jumlahnya dan ini akan dilakukan berperingkat." - Menteri Pendidikan Lawrence Wong.
"Warga emas memerlukan bantuan membuat janji temu tidak perlu risau kerana relawan Persatuan Rakyat (PA) dan duta generasi perak akan melakukan lawatan rumah ke rumah serta memanfaatkan kegiatan akar umbi sedia ada bagi menjawab sebarang pertanyaan dan melakukan janji temu bagi vaksinasi." - Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.
KES COVID-19 DI SG - 22 JANUARI
JUMLAH KES BARU: 15
DALAM MASYARAKAT: 1
IMPORT: 14
DI DORMITORI: 0
JUMLAH KEMATIAN: 29
JUMLAH KESELURUHAN KES: 59,250 (Hingga 12 tengah hari semalam)
Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.bh.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg