Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PROGRAM PENGEMBANGAN BAKAT PENULIS BH-NAC 'MENCARI KRISTAL'

Wadah cungkil dan tingkatkan lagi bakat

Jun 03, 2016 | 05:30 AM



PERADUAN menulis cerpen anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC) menyediakan wadah baik bagi mencungkil bakat baru dalam bidang penulisan.



Ia juga merupakan salah satu cara bagi mereka yang mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan mengetengahkan bakat serta membawa hasil kerja mereka ke peringkat yang lebih tinggi.



Demikian pandangan beberapa penggemar novel dan guru yang ditemuramah BH mengenai projek yang dinamakan Mencari Kristal itu.



Buat julung-julung kalinya, program enam bulan ini menawarkan peluang keemasan kepada peserta memperkaya pengalaman dan pengetahuan dalam tiga aspek - penulisan, penerbitan dan pemasaran karya.



Ia membolehkan orang ramai menyertai peraduan menulis cerpen bertemakan Debar Cinta.



Penyertaan adalah percuma.



Satu panel tiga pengadil kemudian akan memilih 35 peserta bagi mengikuti enam sesi latihan - juga secara percuma - yang dipimpin oleh enam karyawan dan penulis ternama generasi baru dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.



Daripada kumpulan tersebut, lapan finalis akan diadili sebelum penulis cerpen terbaik diumumkan.



Guru bahasa Melayu, Cik Salehati Md Salleh, mengakui berasa amat tertarik dan teruja apabila mendapat tahu tentang peraduan ini melalui laman Facebook BH.



"Ini merupakan satu lagi wadah di mana penulis dapat menebarkan dan mengembangkan lagi bakat mereka.



"Bagi mereka yang sudah pun giat menulis, ini juga merupakan wadah bagi menilai kebolehan mereka," katanya.



Menurut Cik Salehati, selain menggalakkan pelajarnya turut serta, beliau sendiri mempunyai hasrat mengambil bahagian kerana memang minat menulis.



"Bagi saya, peserta yang terpilih sebagai finalis akan bertambah semangat untuk berkarya, manakala mereka yang tidak terpilih pula berpeluang mengembangkan lagi penulisan mereka selain menghantarnya kepada akhbar dan majalah," tambahnya.



Cik Nurulhuda Ayob, seorang penggemar novel berpendapat bahawa penulisan cerpen sebagai satu peraduan menjadikannya lebih menarik dan mendorong peserta menjadi lebih kreatif dalam penulisan.



"Bagi mereka yang mempunyai minat, selain menyertai peraduan ia juga memberi peluang memperkayakan pengetahuan melalui bengkel yang diadakan," katanya.



Guru bahasa Melayu Sekolah Menengah Bishan Park, Cik Nurul Syakinah Sahak, pula berkata beliau tidak sabar menanti bermulanya peraduan itu.



Katanya, jika hasil penulisan ini dapat dikumpulkan, ia akan menambah lagi kumpulan cerpen Melayu Singapura.



"Sebagai seorang guru, kadang kala agak susah untuk mendapatkan karya-karya tempatan Melayu yang baik untuk dijadikan contoh dalam kelas. Justeru, saya menanti-nantikan hasil peraduan ini," katanya lagi sambil menambah bahawa beliau akan menggalakkan pelajarnya turut serta.



Bagi pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Muhd Syazwan Senin, beliau tertarik menyaksikan filem pendek yang dibuat berdasarkan cerpen terpilih.



"Saya memang gemar dan tertarik untuk menyaksikan bagaimana karya yang ditulis diterjemahkan kepada filem. Bidang penulisan cerpen di sini tidak besar, jadi memang peraduan ini dapat menarik minat mereka yang memang sudah kenal dengan bidang ini," ujar beliau.



Pemenang utama peraduan Mencari Kristal ini berpeluang menerima hadiah wang tunai $5,000 dan piala.



Mereka yang berminat menyertainya boleh menghantarkan cerpen mereka melalui emel kepada mencarikristal@sph.com.sg selewatnya 22 Julai ini. Butiran lanjut boleh didapati menerusi laman http://mencarikristal.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >