Warga Singapura terpaksa menabung lebih lama bagi persaraan: Kajian

GARA-GARA kos sara hidup yang meningkat, pekerja di Singapura perlu menabung sembilan tahun lebih lama untuk persaraan mencukupi, berbanding generasi sebelumnya, menurut satu laporan HSBC yang dikeluarkan pada Rabu (13 Julai).

Menurut laporan itu, warga biasa Singapura mula menabung untuk persaraan pada umur 32 tahun dan terus melakukannya selama 29 tahun.

Ini sembilan tahun lebih lama daripada warga terdahulu, yang menabung 20 tahun secara purata, bermula pada umur lebih lewat, 39 tahun.

Walaupun menyimpan wang lebih lama dan lebih awal, 41 peratus warga Singapura dalam golongan umur bekerja ingin menabung lebih awal - dan lebih satu pertiga, atau 38 peratus, telah berhenti menyimpan wang sama sekali disebabkan pelbagai kesukaran.

Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan, HSBC Bank (Singapura), Encik Matthew Colebrook, berkata: "Akibat malang kos sara hidup yang meningkat ialah orang sekarang terpaksa menabung lebih lanjut dan lebih lama daripada orang sebelum mereka. Malangnya dalam banyak keadaan, peristiwa-peristiwa hidup menghalang usaha menyimpan wang lebih awal atau dengan cara tetap."

Laporan 'Masa Depan Persaraan: Generasi dan Perjalanan' HSBC itu berdasarkan pandangan lebih 18,000 orang di 17 negara, termasuk 1,008 warga Singapura (daripada kedua-dua kumpulan umur, bekerja dan bersara).

Kaji selidik itu juga mendapati kebanyakan warga Singapura menggunakan wang simpanan, ditambah dengan gaji harian serta langkah pindah ke rumah lebih kecil untuk membiayai persaraan mereka.

Laporan itu mendapati 21 peratus rakyat Singapura - berbanding purata global 6 peratus - berharap untuk tinggal di rumah lebih kecil atau menjual satu hartanah bagi membantu mereka membiayai persaraan mereka.

Menurut laporan itu, 60 peratus warga Singapura dalam umur bekerja yang ditinjau menjangka menggunakan wang simpanan bagi membiayai persaraan mereka. Sebanyak 40 peratus berkata mereka akan terus bekerja, dan 12 peratus mengatakan mereka bergantung pada skim pencen pemerintah.

Encik Colebrook berkata ini menunjukkan warga Singapura lebih bergantung pada wang simpanan dan hartanah sebagai pelaburan utama bagi persaraan, dan menolak hampir semua jenis aset lain.

"Tetapi prestasi semua jenis aset akan naik dan jatuh, sebagaimana ditunjukkan kepada kita oleh pasaran hartanah semasa Singapura yang lembut dan persekitaran kadar deposit rendah sekarang.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya mendapatkan kepelbagaian dalam pelan tabungan."

Encik Colebrook menambah: "Walaupun rakyat Singapura umuknya penabung celik, mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan relevan untuk membantu mereka memulakan tabungan atau menimbangkan pilihan pelaburan bagi mengekalkan gaya hidup mereka sebelum bersara."

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.