Zika: Wanita hamil dijangkiti, kelompok baru di Bedok North

SEORANG wanita hamil antara 24 lagi kes jangkitan Zika yang disahkan hingga tengah hari Rabu (31 Ogos).

Pesakit hamil itu tinggal di kawasan Aljunied. Seorang ahli keluarganya sebelum ini disahkan dijangkiti Zika.

Doktor sedang mengikuti keadaan beliau dari dekat serta memantau perkembangan bayinya, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu taklimat pada Rabu malam.

Tidak mungkin anggota keluarga wanita itu menjangkitkan beliau atau sebaliknya, kerana tanda-tanda jangkitan muncul pada masa sama, kata pakar kesihatan semasa taklimat itu.

Walaupun 22 kes baru itu daripada kelompok sedia ada di Aljunied, dua pesakit tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan kawasan terjejas Sims Drive, Aljunied Crescent, Paya Lebar Way dan Kallang Way.

Seorang daripadanya tinggal di Joo Seng Road manakala seorang lagi Punggol Way.

Terdapat juga satu kelompok baru yang berpotensi di Bedok North Avenue 3, kata MOH. Ketiga-tiga kes itu didiagnosis pada Selasa.

Daripada tiga pesakit itu, seorang ada kaitan dengan kelompok Kallang Way tetapi tinggal di Bedok North. Dua lagi tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan kelompok awal itu.

Selain 24 kes baru, sembilan kes dikesan dalam ujian semula MOH ke atas kes sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti sejak Sabtu sebanyak 115.

MOH berkata ia menjangka lebih banyak kes muncul di kawasan lain.

"Dari masa ke masa, kami menjangka kes Zika muncul di kawasan lain. Kita mesti berusaha dan merancang atas dasar terdapat penyebaran Zika di bahagian lain di Singapura," kata Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, dalam satu kenyataan.

Kawalan vektor kekal menjadi pendekatan utama dalam mengurangkan penyebaran Zika, dan akan diperluas ke bahagian lain di Singapura.

MOH akan terus memberi perhatian khusus pada wanita hamil, katanya.

MOH sebelum ini menasihatkan semua wanita hamil yang mengalami demam dan ruam, serta tanda-tanda lain kemungkinan jangkitan Zika, seperti mata merah atau sakit sendi, supaya menjalani ujian bagi virus tersebut.

Ini tidak kira sama ada mereka telah pergi atau tidak ke kawasan terjejas Zika. Mereka yang pasangannya telah dijangkiti virus itu juga digesa menjalani ujian.

Ujian selepas rujukan oleh doktor adalah percuma di institut penjagaan kesihatan awam, kata MOH.

Gejala penyakit bawaan nyamuk itu ringan dalam kalangan orang dewasa, tetapi ia boleh menyebabkan kecacatan kelahiran pada bayi yang ibunya dijangkiti semasa hamil.

Satu kecacatan kelahiran utama berkaitan Zika ialah mikrosefali, atau kepala amat kecil.

Antara 1 peratus dan 10 peratus wanita hamil yang dijangkiti melahirkan bayi dengan kecacatan kelahiran, termasuk kerosakan otak, kajian mendapati.

NEA berkata ia akan memulakan operasi kawalan vektor untuk mengawal populasi nyamuk Aedes, serta melaksana usaha outreach, di Bedok North Avenue 3. Usaha-usaha akan meliputi lebih 6,000 premis.

Penduduk digesa bekerjasama sepenuhnya dengan NEA dan membenarkan pegawainya memeriksa premis mereka bagi pembiakan nyamuk dan menyembur racun serangga. NEA mungkin perlu masuk ke dalam premis yang tidak boleh diakses dengan menggunakan paksaan selepas memberi notis, bagi memastikan sembarang tempat pembiakan dimusnahkan dengan cepat.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad: "Kawalan vektor kekal sebagai cara utama menangani penyebaran Zika.

"Juga penting bahawa semua orang dalam masyarakat itu mengambil langkah-langkah segera bagi mengelakkan pembiakan nyamuk di rumah dengan melakukan lima langkah Mozzie Wipeout.

"Kita juga boleh melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga untuk membendung penyebaran virus Zika di Singapura."

NEA juga akan meneruskan operasi kawalan vektor dalam kelompok Aljunied Crescent/Sims Drive, yang kini meliputi kira-kira 7,000 premis di Aljunied Crescent, Sims Drive, Paya Lebar Way dan Kallang Way.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,314.120 +20.990