Topic followed successfully
Go to BHku2 kes baru varian mpox dikesan di S’pura
2 kes baru varian mpox dikesan di S’pura
CDA: Risiko rendah kepada orang awam kerana penyakit jangkit melalui hubungan fizikal secara intim atau berpanjangan, termasuk hubungan seksual
2 kes baru varian mpox dikesan di S’pura
Dua lelaki di Singapura telah dijangkiti varian mpox clade Ib tetapi berada dalam keadaan stabil, menurut kenyataan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 2 April.
Kedua-dua pesakit berkemungkinan besar dijangkiti melalui kegiatan seks.
Risiko penularan mpox dalam kalangan orang ramai buat masa ini adalah rendah kerana mpox terutamanya berjangkit melalui hubungan fizikal secara intim atau berpanjangan, termasuk hubungan seksual, kata agensi tersebut.
Oleh itu, pemberian vaksin kepada seluruh penduduk tidak dicadangkan, tambah CDA.
Siasatan dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan bagi kedua-dua kes, kata CDA, dengan kontak rapat mereka dinasihatkan supaya memantau kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika berasa kurang sihat.
Kontak berisiko tinggi akan dicadangkan untuk mengambil suntikan vaksin mpox bagi mengurangkan risiko jangkitan selepas terdedah kepada virus tersebut.
Kes pertama yang disahkan itu melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun, yang tidak mempunyai sejarah terkini perjalanan ke luar negara, namun, melaporkan pernah melakukan hubungan seks baru-baru ini.
Beliau mula mengalami gejala tersebut pada 25 Mac dan telah dimasukkan ke hospital pada 30 Mac.
Keputusan ujian makmal pada 31 Mac mengesahkan beliau dijangkiti mpox clade Ib.
CDA berkata pesakit tersebut telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau telah diarahkan supaya menjalani pengasingan di rumah sehingga 20 April, sementara menunggu penilaian klinikal lanjut.
Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang berkata beliau telah ke luar negara serta mengadakan hubungan seks baru-baru ini.
Beliau mempunyai kontak rapat dalam tempoh lama dengan pesakit yang dijangkiti sebelum ini, dan mula menunjukkan gejala pada 26 Mac.
Beliau mendapatkan rawatan perubatan pada 31 Mac dan disahkan dijangkiti mpox clade Ib pada 1 April.
Keadaan lelaki tersebut stabil dan telah diarahkan agar menjalani pengasingan di rumah sehingga 21 April, sementara menunggu penilaian klinikal lanjut.
Mpox merupakan penyakit virus yang disebabkan oleh virus cacar monyet dan mempunyai dua varian (klad) berbeza.
Penyakit itu dilaporkan secara meluas di beberapa bahagian di Afrika Tengah dan Afrika Barat, dan merupakan penyakit endemik.
Penyakit endemik ialah penyakit yang kerap terjadi di sesuatu kawasan atau populasi, kerana punca penyakit sentiasa wujud di dalam populasi tersebut.
Menurut laman web CDA, mpox secara amnya bersifat ringan dan akan pulih dengan sendiri, manakala kebanyakan kes diuruskan melalui penjagaan sokongan.
Vaksin cacar kini tersedia sebagai kaedah rawatan bagi mencegah atau mengurangkan kesan penyakit bagi mereka yang pernah menjadi kontak rapat pesakit mpox yang disahkan.
Vaksin tersebut boleh didapati di Klinik Jabatan Kawalan Jangkitan Seksual (DSC), Klinik Perubatan Tanjong Pagar, Pusat Perubatan Dr Jay, dan Anteh Dispensary.
Ia juga akan tersedia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) mulai Mei.
Kos vaksin tersebut perlu ditanggung sendiri.
Sejak 2024, varian mpox clade Ib dikesan di seluruh dunia terutama dalam kes berkaitan perjalanan, dengan beberapa negara di luar Afrika turut melaporkan penularan dalam masyarakat.
Gejala biasa mpox termasuk ruam, demam, sakit kepala, sakit otot, serta sakit belakang.
Virus itu juga boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, contohnya melalui gigitan atau cakaran haiwan yang dijangkiti, melalui penyediaan atau pemakanan daging liar, atau melalui sentuhan langsung dengan darah, cecair badan, atau luka pada kulit haiwan yang dijangkiti.
Agensi tersebut turut menasihati pelawat yang mengunjungi negara yang terjejas oleh mpox supaya mengamalkan kebersihan tangan yang baik, mengurangkan sentuhan fizikal dengan individu tidak sihat, dan mengelak daripada memakan daging liar.
Mereka yang mengalami gejala mpox dalam tempoh 21 hari selepas pulang daripada perjalanan perlu segera mendapatkan rawatan perubatan dan memaklumkan doktor mengenai sejarah perjalanan serta pendedahan mereka.

