Topic followed successfully
Go to BHkuAmos Yee dibebas dari Penjara Changi selepas ibu bayar jaminan $10,000
Amos Yee dibebas dari Penjara Changi selepas ibu bayar jaminan $10,000
Amos Yee dibebas dari Penjara Changi selepas ibu bayar jaminan $10,000
Pesalah seks kanak-kanak, Amos Yee, dibebaskan dari Penjara Changi pada 26 Mac selepas ibunya membayar ikat jamin sebanyak $10,000.
Menanti ibunya tiba, Yee, 27 tahun, memberitahu media dia mengharapkan pertemuan semula keluarga yang penuh emosi.
Walaupun sering berhubung dengan ibunya di Amerika Syarikat, dia mendedahkan sudah hampir sedekad tidak berbicara dengan bapanya.
Ditanya mengenai tempoh penjara di Amerika, dia menyifatkannya seperti “percutian resort” – ada televisyen dan masa lapang di luar.
“Di sini tiada televisyen, ia seperti neraka di dunia,” kata Yee, merujuk kepada Penjara Changi.
“Anda hanya ada beberapa rakan penjara dan beberapa buku. Itu sahajalah sepanjang hari.”
Sebagai syarat jaminan, Yee dilarang menerbitkan bahan, mendedahkan maklumat atau membuat komen awam, termasuk di media sosial, mengenai kesnya.
Dia juga perlu menyerahkan semua dokumen perjalanan, menghadirkan diri apabila diperlukan pihak berkuasa, serta ke mahkamah mengikut jadual.
Yee tidak boleh melakukan kesalahan, mengganggu saksi atau menghalang proses keadilan sepanjang tempoh jaminan.
Dia berdepan tiga tuduhan di bawah Akta Perkhidmatan Negara.
Dokumen mahkamah mendedahkan, Yee gagal melaporkan diri untuk pemeriksaan perubatan sebelum kerahan Perkhidmatan Negara (NS) dan kekal di luar negara tanpa permit sah selepas berlepas ke Amerika pada Disember 2016 untuk memohon suaka.
Dia didakwa meninggalkan Singapura tanpa permit sah dari 13 Disember 2015 hingga 19 April 2016; dan dari 15 Disember 2016 hingga 19 Mac 2026, serta gagal melaporkan diri untuk pemeriksaan perubatan dari April 2016 hingga Mac 2026.
Yee melarikan diri ke Amerika selepas berdepan tindakan undang-undang di Singapura kerana kenyataan menghina penganut Kristian dan Muslim.
Walaupun diberikan suaka pada 2018, dia didakwa oleh juri besar di Illinois pada 2020 atas kesalahan memujuk dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Selepas dijatuhi hukuman pada 2 Disember 2021, Yee dibebaskan pada 7 Oktober 2023 selepas menjalani separuh daripada hukuman penjara enam tahun.
Yee ditahan semula pada bulan berikutnya, dipercayai kerana melanggar syarat parol, termasuk mengakses Internet tanpa kebenaran jabatan pembetulan negeri.
Selepas dibebaskan, dia kemudian ditahan oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (Ice) Amerika dan dihantar pulang dari negara itu pada 19 Mac.
Yee ditahan setibanya di Lapangan Terbang Changi pada 20 Mac.
Persidangan praperbicaraan dijadual pada 23 April.
Pesalah yang melanggar peraturan kerahan NS boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

