SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bas awam pertama tanpa pemandu tiba di S’pura

Bas awam pertama tanpa pemandu tiba di S’pura

Mar 25, 2026 | 4:40 PM

Bas awam pertama tanpa pemandu tiba di S’pura

bas awam tanpa pemandu, kenderaan autonomi, LTA Singapura
Keenam-enam bas awam tanpa pemandu akan melalui ujian ketat bagi memastikan ia memenuhi semua keperluan keselamatan dan operasi sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya. - Foto LTA

Bas pertama daripada enam bas awam tanpa pemandu telah tiba di Singapura dan akan diuji pada perkhidmatan bas awam nombor 400 di Marina Bay dan bas nombor 191 di one-north mulai separuh kedua 2026.

Ini merupakan sebahagian daripada projek percubaan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 25 Mac, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan keenam-enam bas tersebut akan melalui ujian ketat bagi memastikan ia memenuhi semua keperluan keselamatan dan operasi sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya.

Apabila ia telah memenuhi keperluan tersebut, bas tanpa pemandu itu akan beroperasi seiring dengan bas sedia ada yang dikendalikan pemandu.

Bas pertama itu tiba di Singapura pada awal Mac.

LTA turut berkongsi video pratonton mengenai rupa bentuk bas dengan 16 tempat duduk tersebut, yang mempunyai ciri serupa dengan bas awam.

Dalam video tersebut, ruang khas untuk kerusi roda turut kelihatan.

Bas tersebut turut dilengkapi dengan kamera dan penderia di bahagian depan, belakang dan atas kenderaan, bagi membolehkan pengendalinya melihat keadaan sekeliling 360 darjah.

Dalam video tersebut, LTA berkata persediaan tambahan masih diperlukan sebelum ujian dimulakan.

Ujian tersebut merangkumi ujian litar tertutup LTA, yang meliputi pergerakan asas serta penilaian terhadap keupayaan bas untuk membenarkan penumpang naik dan turun bas dengan selamat di semua perhentian yang ditetapkan.

Kenderaan tanpa pemandu itu akan beroperasi secara percubaan pada kedua-dua perkhidmatan bas awam tersebut bagi tempoh awal tiga tahun.

Perkhidmatan bas 400 menghubungkan kawasan Marina Bay dan Shenton Way, dengan perhentian di Pusat Kapal Pelesiran Marina Bay, Gardens by the Bay, serta stesen MRT Shenton Way dan Downtown.

Perkhidmatan bas 191 pula beroperasi di kawasan one-north. 

Selain terminal bas Buona Vista, ia turut membuat hentian di stesen MRT one-north dan Buona Vista.

Selepas enam bas pertama dilancarkan, LTA boleh mendapatkan 14 bas tambahan dan meluaskan percubaan itu kepada perkhidmatan bas awam lain di Singapura.

Keenam-enam bas tersebut serta sistemnya dihasilkan oleh pembangun perisian dan aplikasi, MKX Technologies; pakar kenderaan berautonomi, Zhidao Network Technology (Beijing); serta pengeluar kenderaan elektrik BYD.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg