Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Doktor asing didenda $50,000, kerja lokum tanpa izin

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Doktor asing didenda $50,000, kerja lokum tanpa izin

Dec 29, 2023 | 04:51 PM



Seorang doktor asing yang melakukan kerja sampingan sebagai seorang lokum selama dua setengah tahun didenda $50,000 oleh tribunal disiplin Majlis Perubatan Singapura (SMC).

Doktor lokum mengambil alih tugas doktor biasa apabila doktor itu tidak bekerja atau sibuk.

Dr Queck Kian Keng memberi perkhidmatan lokum kepada 25 klinik berbeza sebanyak 11 kali dari November 2016 hingga Mei 2019 dan dibayar kira-kira $331,500 daripada perkhidmatan tanpa izin itu.

Menurut alasan keputusan tribunal disiplin itu yang didedahkan di laman web SMC pada 28 Disember, Dr Queck memegang pas pekerjaan sebagai perunding bersekutu bersama Perkhidmatan Kesihatan Singapura (SHS) ketika dia melakukan kesalahan itu.

Dia tidak mempunyai pas pekerjaan sah bagi membolehkannya bekerja sendiri.

Pada Jun 2021, dia disabitkan dengan tiga tuduhan bekerja sendiri sebagai doktor tanpa pas kerja sah. Dia didenda $70,000 ketika itu.

Ekoran itu, SMC mendakwanya di bawah Akta Pendaftaran Perubatan kerana salah laku yang menjejas profesion perubatan.

Diwakili oleh Dr Alex Cheng dan Encik Eric Tin dari firma Donaldson & Burkinshaw, Dr Queck mengaku bersalah bagi kesalahan terbaru itu.

SMC meminta dia didenda $50,000, manakala peguamnya menyerahkan kepada tribunal untuk memutuskan jumlahnya.

Pencarian dalam talian menunjukkan Dr Queck menjadi pengamal perubatan berdaftar sepenuhnya sejak 6 Julai 2014 dan kini menjadi pakar neurologi di Pusat Neurologi KK Queck di Hospital Mount Alvernia.

Dia memperoleh ijazah doktor perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2009.

SMC berpendapat hukuman denda berpatutan kerana kesnya tidak melibatkan sebarang penipuan atau ketidakjujuran.

Di samping itu, penyesalan Dr Queck dapat disimpulkan dengan pengakuan bersalah lebih awal.

Menurut peguamnya, kesalahan Dr Queck tidak bermotifkan keuntungan dan dia hanya ingin meningkatkan kemahiran klinikalnya dan meluaskan pengetahuan perubatan pada masa lapangnya.

Tribunal itu mendapati denda $50,000 yang dicadangkan SMC berpatutan dan memerintahkan denda itu dibayar. Ia mengambil kira bahawa dia telah didenda $70,000 oleh Mahkamah Negara, antara faktor lain.

Ia juga memerintahkan Dr Queck dikenakan teguran dan menyerahkan perjanjian bertulis kepada SMC bahawa dia tidak akan melibatkan diri dalam kelakuan sedemikian lagi dan membayar kos dan perbelanjaan prosiding, termasuk kos peguam SMC.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >