SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerintah umum pakej sokongan bantu rakyat, niaga harungi kenaikan kos

Pemerintah umum pakej sokongan bantu rakyat, niaga harungi kenaikan kos

DPM Gan: Rakyat S’pura perlu sedia hadapi masa sukar di tengah-tengah konflik Timur Tengah
Apr 7, 2026 | 6:46 PM

Pemerintah umum pakej sokongan bantu rakyat, niaga harungi kenaikan kos

Singapore, Parliament, Parlimen, Gan Kim Yong, middle east conflict, konflik timur tengah, krisis, perang
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan. - Foto MDDI

Rakyat Singapura harus bersiap sedia menghadapi masa sukar yang mendatang di tengah-tengah krisis tenaga yang timbul akibat konflik di Timur Tengah.

Namun, pemerintah akan menyediakan sokongan kepada mereka yang paling terjejas oleh krisis tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Singapura mengumumkan pakej sokongan bernilai hampir $1 bilion yang bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga ke atas perniagaan dan isi rumah.

Ia juga merupakan tambahan kepada $155 bilion yang telah diumumkan semasa Belanjawan 2026 pada Februari.

Ini termasuk bantuan tunai $200 kepada pekerja platform, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi yang aktif mulai hujung April 2026.

Sementara itu, pengagihan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $500 akan diberikan lebih awal pada Jun 2026, berbanding Januari 2027, seperti yang diumumkan semasa Belanjawan sebelum ini.

Bayaran Khas Kos Sara Hidup pula akan ditambah sebanyak $200 untuk sekitar 2.4 juta rakyat Singapura yang layak.

Bagi perniagaan pula, pemerintah akan meningkatkan rebat Cukai Pendapatan Korporat bagi Tahun Penilaian 2026 daripada 40 peratus kepada 50 peratus, antara lain.

Komponen geran tunai bagi syarikat yang layak akan dinaikkan daripada $1,500 kepada $2,000, dan had manfaat keseluruhan bagi setiap syarikat akan dinaikkan daripada $30,000 kepada $40,000.

- Grafik oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 7 April, Encik Gan berkata sebagai sebuah ekonomi kecil dan sangat terbuka, Singapura tidak dapat melindungi dirinya sepenuhnya daripada krisis tenaga yang sedang berlaku, yang telah membawa kepada kenaikan harga minyak, elektrik, pengangkutan dan keperluan harian.

Oleh sebab itu, sebuah Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) diketuai Menteri Ehwal Dalam Negeri yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, dengan Encik Gan sebagai penasihat, telah dibentuk untuk menyelaraskan respons negara terhadap impak konflik tersebut.

Jawatankuasa itu akan memberi tumpuan pada beberapa bidang, termasuk menjamin bekalan seperti gas asli cecair (LNG) dan diesel; memperkukuh daya tahan ekonomi; menyediakan bantuan bersasar kepada yang paling terjejas; dan membantu pekerja dengan latihan dan sokongan pekerjaan.

“Pemerintah menyedari bahawa kesan krisis ini akan dirasai oleh isi rumah dan perniagaan.

“Kami akan melakukan apa yang perlu untuk menyokong mereka mengharungi tempoh ini,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Namun begitu, Encik Gan berkata semua orang, termasuk perniagaan dan isi rumah, juga perlu memainkan peranan mereka dalam mengharungi cabaran yang dihadapi, antaranya dengan menjimatkan elektrik dan memanfaatkan sokongan sedia ada untuk membeli peralatan lebih jimat tenaga.

Selain Encik Gan, turut memberikan kenyataan menteri mengenai impak konflik di Timur Tengah itu ialah Encik Shanmugam, dan Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.

Encik Shanmugam berkata langkah-langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan untuk memenuhi keperluan elektrik negara, termasuk dengan mempelbagaikan sumber tenaga.

Namun begitu, harganya tetap akan meningkat, meskipun terdapat risiko ‘probabiliti rendah’ terhadap gangguan bekalan tenaga dan elektrik domestik Singapura.

Sementara itu, Encik Siow, yang mengumumkan langkah sokongan bagi isi rumah dan perniagaan, berkata Singapura perlu bersiap sedia menghadapi kesan penuh konflik Timur Tengah terhadap harga barangan seperti elektrik dan makanan import.

“Kita tidak dapat meramalkan dengan tepat bagaimana keadaan akan berlaku atau bila konflik ini akan berakhir,” tambah beliau.

“Apa yang kita tahu adalah rakyat Singapura sudah mula merasakan sebahagian daripada kesannya... Pemerintah tidak akan menunggu untuk bertindak.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg