SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura hadapi risiko pertumbuhan ekon perlahan, inflasi lebih tinggi

S’pura hadapi risiko pertumbuhan ekon perlahan, inflasi lebih tinggi

Kos niaga, pengangkutan turut meningkat dek kesan konflik di Timur Tengah
Apr 7, 2026 | 8:44 PM

S’pura hadapi risiko pertumbuhan ekon perlahan, inflasi lebih tinggi

ekonomi S’pura, inflasi, konflik timur tengah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong. - Foto MDDI

Meskipun data awal menunjukkan kegiatan ekonomi negara terus berdaya tahan dalam suku pertama 2026, pertumbuhan pada suku akan datang berkemungkinan besar terjejas oleh konflik Timur Tengah yang sedang berlarutan, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Sementara itu, inflasi secara keseluruhan bagi 2026 kini dijangka lebih tinggi daripada unjuran awal.

Menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai kesan konflik Timur Tengah itu di Parlimen pada 7 April, Encik Gan berkata kesan gangguan bekalan, serta kenaikan harga tenaga dan bahan mentah, akan merebak ke seluruh ekonomi, sekali gus meningkatkan kos perniagaan, pengangkutan dan harga pengguna.

Ini seterusnya akan membantutkan permintaan dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

Singapura tidak dapat melindungi negara ini sepenuhnya daripada krisis tenaga itu dan mesti bertindak balas melalui usaha penyelarasan pelbagai agensi, untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi, tambah beliau.

Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat-Israel dan Iran itu kini memasuki minggu keenam, dengan Singapura turut terkesan dan mengalami kenaikan harga petrol dan tarif elektrik.

Encik Gan berkata sekiranya konflik itu berlanjutan, inflasi lebih tinggi dalam pasaran sumber Singapura juga boleh menyebabkan kenaikan harga import dengan lebih lanjut.

“Tekanan ini akan dirasai oleh isi rumah melalui harga elektrik, pengangkutan dan barangan keperluan harian yang lebih mahal,” kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

“Isi rumah berpendapatan rendah akan lebih terjejas, kerana sebahagian besar perbelanjaan mereka adalah untuk barangan asas.”

Pada Februari, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah menaikkan ramalan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi 2026, kepada antara 2 peratus dengan 4 peratus, didorong momentum pertumbuhan kukuh yang dilihat pada suku keempat 2025.

MTI akan memberikan ramalan GDP yang dikemas kini pada Mei.

Encik Gan menarik perhatian walaupun konflik itu menjejas banyak sektor, sesetengah sektor akan rasai kesannya lebih daripada yang lain.

Dalam sektor perkilangan, industri yang bergantung kepada gas asli serta minyak mentah dan derivatifnya sebagai bahan mentah akan mendapat kesan paling langsung.

Selain tenaga dan kimia, industri seperti elektronik, kejuruteraan jitu dan kelompok intensif tenaga yang lain juga akan terkesan oleh harga bahan api dan elektrik lebih tinggi.

Sektor berorientasikan luar, seperti pengangkutan udara dan laut serta pelancongan juga akan terjejas oleh kos lebih tinggi dan permintaan luaran lebih lemah.

Sektor berorientasikan domestik pula, seperti runcit, perkhidmatan makanan dan pengangkutan darat swasta, juga akan menghadapi kos operasi lebih tinggi, tambah Encik Gan.

“Secara keseluruhannya, kesan sektor ini akan menjejas kegiatan ekonomi pada suku-suku akan datang, walaupun tahapnya masih tidak pasti kerana konflik tersebut masih lagi berlarutan,” kata beliau.

Encik Gan berkata kementeriannya akan terus memantau perkembangan ekonomi dengan teliti.

Sementara itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan mengambil kira perkembangan berkaitan harga dalam penilaian tinjauan inflasi akan datang yang akan dikeluarkan pada 14 April.

MAS sebelum ini meramalkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras – yang mengecualikan kos pengangkutan privet dan penginapan – berada pada paras 1 peratus hingga 2 peratus pada 2026.

Memandangkan Singapura mengimport hampir kesemua keperluan tenaganya, lonjakan harga minyak dan gas asli sejagat pasti akan meningkatkan kos bahan api dan elektrik untuk Singapura, kata Encik Gan.

Beliau menambah bahawa krisis tersebut tidak mungkin berakhir dalam masa terdekat dan Singapura mesti bersedia untuk kesannya berlarutan buat seketika.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah risiko peningkatan konflik – termasuk kerosakan lanjut pada prasarana tenaga, atau sekatan berpanjangan di Selat Hormuz,” katanya.

“Ini boleh mencetuskan krisis tenaga sejagat – memperlahankan pertumbuhan global dan melonjakkan inflasi di seluruh dunia.”

Sementara itu, Encik Gan berkata Singapura juga akan memperkukuh daya tahannya terhadap kejutan inflasi dan gangguan rantaian bekalan dengan membina inventori dan mempelbagaikan sumber bekalannya.

Namun, beliau menambah bahawa Singapura akan sentiasa bergantung kepada import untuk bekalannya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah berbincang dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese. Australia, yang merupakan salah satu pengeksport gas asli cair (LNG) utama dunia, dan Singapura telah bersama-sama mengesahkan komitmen mereka untuk menyokong aliran barangan keperluan.

Encik Wong juga telah berbincang dengan Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, untuk mengesahkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh daya tahan bekalan dan mengurangkan gangguan.

Antara lain, Singapura dan 10 ahli lain dalam Kerjasama Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT-P) juga mengeluarkan kenyataan bersama minggu lalu, untuk mengesahkan kepentingan untuk tidak mengenakan langkah perdagangan yang menyekat.

Ini termasuk sekatan eksport, tarif, dan halangan bukan tarif ke atas barangan keperluan.

Kenyataan FIT-P tersebut dikeluarkan pada 31 Mac oleh Costa Rica, Iceland, Liechtenstein, New Zealand, Norway, Panama, Rwanda, Singapura, Switzerland, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay.

“Kami akan memperkukuh daya tahan kita dengan membina inventori dan mempelbagaikan sumber bekalan kita, tetapi Singapura akan sentiasa bergantung kepada import untuk bekalan kita.

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara yang berfikiran serupa, dan menyokong sistem perdagangan terbuka yang berasaskan peraturan,” kata Encik Gan.

“Kita mesti memupuk aliran bebas tenaga dan barangan sejauh yang mungkin,” tambah beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg