Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu privet, teksi kian terhimpit dek harga petrol naik
Pemandu privet, teksi kian terhimpit dek harga petrol naik
Pendapatan menjunam antara 20-50%, ada yang pertimbang beralih kerjaya
Pemandu privet, teksi kian terhimpit dek harga petrol naik
Kenaikan harga petrol sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran kian menghimpit pemandu kenderaan sewa privet (PHV) dan teksi.
Menurut pemandu yang ditemui Berita Harian (BH), pendapatan mereka menjunam antara 20 dengan 50 peratus, kebanyakannya akibat peningkatan kos bahan api.
Setakat 3 April, laman web Motorist Singapore menunjukkan harga petrol 95-oktana mencecah paras tertinggi $3.42 seliter, berbanding $3.15 seliter pada 9 Mac.
Buat masa ini, ramai berjaya mengendali keadaan dengan pelbagai taktik, termasuk mengisi minyak di Johor Bahru dan memanfaatkan sepenuhnya bantuan daripada syarikat pengendali masing-masing.
Namun, kegusaran kian memuncak jika keadaan berlarutan.
Ada yang mempertimbangkan untuk beralih kerjaya jika harga petrol terus melonjak sepanjang tahun.
Pendapatan pemandu teksi Trans-Cab, Encik Rossle Yusoff, merosot daripada sekitar $100 sehari ke sekitar $70 hingga $80 sehari sejak harga petrol mula meningkat.
Pendapatan itu adalah hasil bekerja sekitar 12 jam sehari.
“Situasinya agak mencabar dan perbezaannya boleh dirasa dengan ketara.
“Sebelum ini, sekitar Februari hingga Mac, harga petrol di stesen minyak Trans-Cab berharga $1.80 seliter.
“Sejak perang bermula, ia berharga sekitar $2.45 seliter,” kata beliau yang sudah memandu teksi selama 10 tahun, dan mula bekerja dengan syarikat Trans-Cab sejak 2023.
Encik Abdul Razak Rashid, berusia 48 tahun, pula mendapati pendapatan harian beliau merosot sekitar $5 hingga $7, sejak harga minyak melonjak.
“Keuntungan saya biasanya sekitar $3,000 sebulan.
“Baru-baru ini, saya perlu mengambil lebih banyak perjalanan setiap malam untuk menampung kos minyak yang meningkat dan kekalkan keuntungan itu,” jelas beliau yang memandu teksi selama 16 tahun bersama ComfortDelGro.
Rasa pahit itu turut dirasai oleh Encik Razak, terutama apabila menyambut Hari Raya, kerana masa bekerja malamnya terpaksa dikurangkan.
Selain itu, Encik Mohamed Zulkarnain Hasan, pemandu van di bawah platform logistik GoGoX, turut terjejas.
Beliau kini bergelut menampung kos diesel yang melonjak sehingga $4.43 seliter pada 3 April.
“Sebelum ini, mengisi tangki diesel penuh berharga sekitar $130.
“Sejak perang bermula, ia melambung hampir dua kali ganda kepada sekitar $200,” jelas bapa empat anak itu.
Keadaan mendesak itu mendorong pemandu mencari pelbagai strategi untuk mengimbangi kenaikan kos tersebut.
Encik Rossle dan Encik Razak, misalnya, memilih stesen minyak kendalian pengusaha teksi mereka, yang menawarkan diskaun istimewa.
“Saya juga berusaha mencari perhentian teksi yang terdekat selepas menghantar penumpang,” kongsi Encik Rossle.
Sementara itu, Encik Abdul Razak, mengambil inisiatif mematikan enjin teksi semasa menunggu penumpang, di samping memandu dengan lebih cermat dan perlahan.
Pemandu PHV bersama Tada, Encik Sky Ithnin, pula rajin mengisi minyak di Johor Bahru setiap dua atau tiga hari kerana harga yang lebih rendah.
“Saya dapat menjimat sekitar $40 setiap kali isi minyak di Johor Bahru berbanding di Singapura.
“Tetapi, ia mencabar untuk kami teruskan amalan ini buat jangka masa yang lama,” kongsi beliau, yang berusia 48 tahun.
Sementara itu, ramai pemandu PHV dan teksi menyambut sokongan daripada syarikat pengendali masing-masing.
Encik Zulkarnain menyambut baik bayaran sokongan bahan api sebanyak $1 bagi setiap tempahan perjalanan selesai.
Pemandu Grab selama dua tahun, Encik Muhammad Farid Mohd Hassan, bersyukur dengan kenaikan surcaj daripada 50 sen kepada 90 sen, diumumkan pada 1 April, yang akan berlangsung dari 7 April hingga 31 Mei.
Langkah Grab itu bertujuan membantu pemandu menangani peningkatan kos bahan api yang didorong oleh konflik berterusan di Timur Tengah.
“Setiap hari, saya menyelesaikan sebanyak 25 perjalanan.
“Sebenarnya, pendapatan tambahan daripada surcaj 90 sen bagi setiap perjalanan itu dapat membantu mengimbangi kenaikan harga petrol bagi saya,” kongsi beliau, yang berusia 37 tahun.
Selain Grab, pengendali perkhidmatan tempah kenderaan secara dalam talian yang lain turut menyokong pemandu mereka.
Pada 3 April, Tada dan Gojek mengumumkan kenaikan tambang sementara dari 10 April hingga 31 Mei.
Ketiga-tiga syarikat ini – Grab, Tada dan Gojek – turut menghulurkan bantuan lain, termasuk bayaran sokongan sekali sahaja, baucar bahan api untuk pemandu terpilih, subsidi di stesen minyak tertentu, dan inisiatif untuk menarik lebih ramai penumpang.
Mengulas lanjut, jurucakap Tada, berkata:
“Pendekatan ini dibentuk untuk menyokong pemandu secara lebih konsisten, tanpa mengira jauh perjalanan, sambil memastikan tambang kekal adil, telus, dan berpatutan untuk penumpang.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menilai semula langkah ini apabila keadaan harga bahan api berubah.
“Kami akur bahawa setiap dolar dalam perbelanjaan harian rakan kongsi kami sedang diperah pada masa ini, dan kami tidak memandang ringan kesan daripada sebarang penyesuaian, walaupun kecil.”
Foodpanda, yang pekerjanya menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan, turut memaklumkan BH bahawa mereka menghulurkan bantuan berupa diskaun bahan api sebanyak 20 peratus di stesen minyak rakan kongsi mereka.
Ia termasuk diskaun bagi alat-alat dan perkhidmatan lain untuk mengurangkan kos operasi bagi pekerja mereka.
Foodpanda juga akan terus memantau perkembangan harga bahan api dan mempertimbangkan sokongan tambahan jika perlu.
Pengusaha teksi pula telah menaikkan tambang sejak kebelakangan ini, dengan GrabCab, Strides Premier, dan Prime Taxi, meningkatkan tambang bermeter mereka dari 30 Mac hingga 31 Mei.
ComfortDelGro merupakan syarikat terawal berbuat demikian, berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 31 Mei, dan turut memperkenalkan bayaran pemandu untuk tempahan menerusi aplikasi Zignya.
Trans-Cab tidak menaikkan bayaran, sebaliknya menawarkan rebat sewa kenderaan $3 kepada pemandu dari 10 Mac hingga 6 April.
Menurut hantaran yang diterima pemandu teksi Trans-Cab pada 6 April, usaha itu akan dilanjutkan dari 7 hingga 15 April.
Bantuan serupa turut dihulurkan oleh pengendali teksi lain, termasuk baucar bahan api dan harga bahan api yang lebih rendah di stesen minyak kendalian mereka.
Ketua Perniagaan Mobiliti Titik-ke-Titik Singapura, Encik Michael Huang, memberitahu BH:
“Memandangkan harga bahan api terus meningkat akibat konflik antarabangsa yang berterusan, Zig oleh ComfortDelGro telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk meringankan beban kewangan pemandu kami...
“Bayaran ini disalurkan terus kepada pemandu kami dan pada masa ini, tiada rancangan untuk menyesuaikannya,” kata Encik Huang.
Dalam kenyataan bersama oleh Strides Premier dan Persatuan Teksi Nasional (NTA), persatuan berkenaan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), pada 31 Mac, Strides Premier menekankan kepentingan inisiatif tersebut demi membantu pemandu teksi dan PHV dalam menyara kehidupan seharian semasa tempoh mencabar ini.
Beralih industri
Namun, kebimbangan menyelubungi ramai pemandu yang ditemui BH, sehingga ada yang mula berfikir untuk menukar pekerjaan jika harga petrol terus melonjak.
Pemandu seperti Encik Rossle dan Encik Farid mungkin akan mencari pekerjaan yang kurang terikat dengan bahan api.
Namun, pilihan itu lebih sukar bagi pemandu teksi veteran seperti Encik Razak.
“Saya tiada pengalaman atau kelayakan lain selain memandu teksi. Jika keadaan berterusan, saya terpaksa bekerja lebih keras demi keluarga,” luah Encik Razak.
“
“Situasinya agak mencabar dan perbezaannya boleh dirasa dengan ketara. Sebelum ini, sekitar Februari hingga Mac, harga petrol di stesen minyak Trans-Cab berharga $1.80 seliter. Sejak perang bermula, ia berharga sekitar $2.45 seliter.”“
“Saya dapat menjimat sekitar $40 setiap kali isi minyak di Johor Bahru berbanding di Singapura. Tetapi, ia mencabar untuk kami teruskan amalan ini buat jangka masa yang lama.”
