Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kereta MPV besar perlu guna lorong bas di Pusat Pemeriksaan Tuas

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kereta MPV besar perlu guna lorong bas di Pusat Pemeriksaan Tuas

Jan 04, 2024 | 06:59 PM



Kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz besar seperti Toyota Alphard telah diarah menggunakan lorong bas untuk pemeriksaan imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Kenderaan tersebut tidak lagi dibenarkan menggunakan lorong kereta di pusat pemeriksaan itu.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan jumlah trafik di zon kereta di pusat pemeriksaan itu.

Penumpang yang tiba di pusat pemeriksaan itu perlu turun daripada kenderaan MPV untuk pemeriksaan imigresen sebelum menaiki semula kenderaan untuk meneruskan perjalanan.

Prosesnya sama seperti pemeriksaan imigresen bagi bas dan van penumpang yang ingin melintas pusat pemeriksaan itu.

Berita mengenai peraturan baru itu pertama kali muncul dalam beberapa kumpulan Facebook bagi pengunjung antara Singapura dengan Malaysia pada 2 Januari, menurut The Straits Times (ST).


Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesahkan di laman Facebooknya pada 3 Januari bahawa langkah melencongkan MPV lebih besar ke lorong bas untuk pemeriksaan imigresen terhad kepada Pusat Pemeriksaan Tuas.

Penumpang MPV perlu turun dari kereta dengan membawa bagasi mereka dan berjalan ke dewan bas untuk melepasi pemeriksaan imigresen, manakala pemandu MPV pula melalui pemeriksaan imigresen di lorong bas.

Pihak berkuasa di sini turut menyenarai contoh kenderaan MPV besar, iaitu Hyundai Starex, Hyundai Staria, Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan Maxus.

Walaupun model MPV berjenama Toyota biasa dilihat di Singapura dan Malaysia, jenama dan model MPV lain dalam senarai itu biasanya merupakan kenderaan yang berdaftar di Malaysia.

Pegawai ICA akan membantu mereka yang ada masalah pergerakan, warga emas, wanita hamil atau kanak-kanak kecil dengan melakukan pemeriksaan imigresen dari dalam kereta, sama seperti khidmat yang disediakan bagi penumpang bas.

Oleh itu, golongan tersebut tidak perlu keluar daripada MPV.

Pihak berkuasa berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan pemeriksaan imigresen di lorong kereta, di samping membaiki pengalaman pengunjung berkereta bagi pemeriksaan imigresen.

Biasanya MPV membawa lebih ramai penumpang berbanding kereta lain. Oleh itu, ia memerlukan lebih banyak masa untuk pemeriksaan imigresen.

Menurut catatan ICA itu, MPV lebih kecil boleh terus melalui pemeriksaan imigresen di lorong kereta.

“Terdapat banyak maklum balas daripada orang awam berkereta mengenai kelewatan disebabkan MPV besar yang memuatkan lebih ramai penumpang, dan menyarankan ICA mempertimbang langkah melencongkan kenderaan itu ke lorong berlainan,” tambah ICA dalam catatan itu.

Inisiatif sedemikian tidak dapat dilaksanakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk mengurangkan jumlah trafik di zon kereta, memandangkan persekitaran operasi yang berbeza di sana, jelas ICA.

“Bagaimanapun, ICA akan terus mengkaji proses dan meneroka cara untuk meningkatkan pengalaman pengembara. Kami mohon pemahaman, kesabaran dan kerjasama pengembara dengan pegawai ICA di pusat pemeriksaan.”

Sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia adalah antara yang paling sibuk di dunia. ICA berkata dari 15 hingga 17 Disember 2023, terdapat hampir 435,000 lintasan setiap hari, melebihi jumlah dalam tempoh yang sama pada 2019 sebanyak hampir 30,000 lintasan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >