SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Skim ComCare akan disesuaikan bantu keluarga gaji rendah hadapi tekanan ekon

Skim ComCare akan disesuaikan bantu keluarga gaji rendah hadapi tekanan ekon

Apr 8, 2026 | 5:54 PM

Skim ComCare akan disesuaikan bantu keluarga gaji rendah hadapi tekanan ekon

Zhulkarnain Abdul Rahim, pembangunan sosial dan keluarga, ComCare
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim - Foto MDDI

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang memantau kesan situasi ekonomi semasa terhadap keluarga berpendapatan rendah, dan bersedia membuat penyesuaian kepada Skim ComCare jika perlu, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

MSF menyemak had pendapatan per kapita isi rumah ComCare secara kerap, manakala kadar bantuan juga diselaraskan demi memastikan sokongan mencukupi, tambah beliau.

ComCare merupakan sebuah skim yang menawarkan sokongan kepada rakyat Singapura dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan bil isi rumah.

Had pendapatan kasar bulanan per kapita semasa, iaitu $800 dan ke bawah, bagi ComCare adalah penanda aras petunjuk dan bukannya kriteria kelayakan mutlak, kata Encik Zhulkarnain.

“Keluarga yang mempunyai pendapatan melebihi penanda aras tersebut tetapi mempunyai keperluan yang sah masih boleh dibantu melalui ComCare berdasarkan penilaian kes.

“Kadar bantuan ComCare juga diselaraskan secara kerap bagi memastikan sokongan yang mencukupi.

“Kuantum bantuan jangka pendek hingga pertengahan ComCare turut mengambil kira unjuran inflasi,” tambah beliau.

Encik Zhulkarnain berkata demikian semasa menjawab soalan Encik Cai Yinzhou (GRC Bishan-Toa Payoh) di Parlimen pada 8 April.

Encik Cai bertanya sama ada had kelayakan pendapatan bagi skim bantuan kewangan akan disemak supaya ia kekal mencukupi, dan jika jumlah bantuan ComCare disemak mengikut kadar inflasi teras, terutamanya di tengah-tengah ketidaktentuan global dan tekanan kos sara hidup berterusan terhadap keluarga berpendapatan rendah.

Berhubung keprihatinan tentang kos sara hidup, Encik Zhulkarnain berkata terdapat juga bentuk sokongan lain.

Ini seperti Pakej Jaminan, yang telah dipertingkat dengan bantuan tunai tambahan, rebat U-Save dan caj perkhidmatan dan penyelenggaraan (S&CC), serta baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sejak beberapa tahun lalu.

“MSF sedang memantau situasi ini dengan teliti bagi melihat bagaimana keluarga berpendapatan rendah terkesan oleh keadaan ekonomi semasa.

“Kami juga bersedia membuat penyesuaian mengikut keperluan,” kata beliau.

“Kadar bantuan ComCare juga diselaraskan secara kerap bagi memastikan sokongan yang mencukupi. Kuantum bantuan jangka pendek hingga pertengahan ComCare turut mengambil kira unjuran inflasi.”
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg