Topic followed successfully
Go to BHkuMSF permudah akses maklumat anak angkat bagi ibu bapa
MSF permudah akses maklumat anak angkat bagi ibu bapa
Rangkaian ibu bapa angkat diperluas agar lebih ramai kanak-kanak jagaan negara ditempatkan dalam keluarga yang stabil
MSF permudah akses maklumat anak angkat bagi ibu bapa
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang berusaha meningkatkan pengalaman ibu bapa angkat dengan menyediakan akses kepada maklumat pendidikan dan kesihatan anak angkat melalui portal seperti HealthHub dan Parents Gateway.
Demikian didedahkan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming.
Dalam jawapannya kepada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Neo Kok Beng, dan Encik Dennis Tan (Hougang) di Parlimen pada 8 April, Encik Goh akur banyak perkhidmatan agensi awam telah beralih ke digital.
Oleh itu, MSF ingin menyediakan akses digital itu termasuk membenarkan ibu bapa angkat mengakses sistem tempahan janji temu bagi pihak anak angkat mereka.
“Saya mengakui pandangan AP (Anggota Parlimen) bahawa banyak perkhidmatan agensi awam kini telah beralih ke digital, dan oleh itu kami juga ingin menyediakan akses digital tersebut.
“Ini juga merupakan maklum balas konsisten yang kami terima daripada ramai ibu bapa angkat.
“Justeru, MSF kini sedang berusaha mempertingkatkan pengalaman ibu bapa angkat dengan menyediakan akses kepada maklumat pendidikan dan kesihatan anak angkat melalui HealthHub dan Parents Gateway.
“Usaha ini sedang dijalankan, dan kami berharap dapat memberi maklumat lanjut kelak apabila siap,” kata Encik Goh.
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa secara purata sekitar 6 peratus ibu bapa angkat telah membatalkan pendaftaran mereka setiap tahun dalam tempoh tiga tahun lalu.
Ini atas sebab termasuk komitmen keluarga baru, faktor berkaitan kesihatan atau usia, serta berpindah.
Dalam pada itu, MSF akan terus memperluas rangkaian ibu bapa angkat agar lebih ramai kanak-kanak di bawah jagaan negara ditempatkan dalam persekitaran berasaskan keluarga yang selamat dan stabil.
Persekitaran itu secara amnya memberikan hasil sosial, emosi dan perkembangan lebih baik berbanding jagaan di institusi, jelas Encik Goh.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Dr Neo mengenai kadar ibu bapa angkat dalam tempoh tiga tahun lalu, alasan bagi pengurangan tersebut dan bagaimana ia boleh ditangani.
Di samping itu, Encik Goh menjelaskan Kredit LifeSG Anak dikreditkan kepada pemegang amanah Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi kanak-kanak yang layak, untuk memastikan sokongan tersebut disalurkan terus kepada individu yang bertanggungjawab terhadap penjagaan dan asuhan kanak-kanak tersebut.
“Walaupun pemegang amanah boleh menukar pemegang amanah CDA melalui portal atau aplikasi mudah alih bank, saya ingin menegaskan bahawa dalam mereka bentuk elaun keluarga angkat, MSF tidak mengandaikan kebergantungan kepada kredit ini,” kata Encik Goh.
Ibu bapa angkat menerima elaun asuhan bulanan antara $1,100 hingga $1,800, bergantung kepada usia dan keperluan kanak-kanak tersebut, bagi membantu menampung perbelanjaan penjagaan anak dan kos perbelanjaan harian lain.
Selain itu, anak angkat juga layak mendapat subsidi penjagaan kanak-kanak, penjagaan pelajar dan subsidi perubatan.
“
“Justeru, MSF kini sedang berusaha mempertingkatkan pengalaman ibu bapa angkat dengan menyediakan akses kepada maklumat pendidikan dan kesihatan anak angkat melalui HealthHub dan Parents Gateway.”
