Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Nahas dirempuh lori di Johor: Jenazah dua rakan disemadi seiringan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Nahas dirempuh lori di Johor: Jenazah dua rakan disemadi seiringan

Mar 24, 2024 | 06:54 PM



Beberapa hari lalu, sekumpulan teman mengatur rancangan menaiki motosikal untuk bersahur bersama di seberang Tambak bagi menyemarakkan semangat Ramadan.

Namun, pada 24 Mac, ratusan anggota keluarga, sanak saudara dan teman berkumpul di Woodlands pula untuk bersatu bagi menyempurnakan pengebumian dua daripada anggota kumpulan itu.

Lebih 400 teman dan sanak saudara menghadiri upacara pengebumian serentak dua sahabat, Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman dan Allahyarham Mohamad Firman Nordin, kededuanya 27 tahun, yang meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Batu Pahat, Johor pada 23 Mac.

Kedua-dua pemuda berusia 27 tahun itu, merupakan mangsa yang terkorban selepas sebuah lori kontena merempuh mereka dan lima rakan penunggang motosikal lain pada sekitar 3 pagi 23 Mac.

Jenazah mereka telah dibawa pulang dari seberang Tambak sekitar tengah malam oleh syarikat Md Akbar International Islamic Casket dan ditempatkan di Woodlands Memorial – tempat urus mayat bagi agama berbeza – yang baru dibuka pada November.

Di luar bangunan itu, deretan motosikal dan kenderaan kelihatan berada di pinggir jalan dengan ramai di antara pengunjung berpakaian serba hitam sama ada berlegar di luar bangunan atau memasukinya.







Di tingkat 2 bangunan itu, terasa kesuraman yang nyata dengan begitu ramai mereka yang hadir turut berpakaian hitam.


Menurut ibu saudara Allahyarham Mohamad Firman, yang juga peguam ternama, Cik Halijah Mohamad, kedua-dua keluarga bersetuju untuk tidak membawa jenazah ke rumah masing-masing dan memilih menguruskannya di Woodlands Memorial yang terletak di Woodlands Industrial Park E8 yang lebih luas.

Beliau menambah, majlis tahlil telah diadakan di rumah keluarga arwah sehingga 1 pagi dan dipenuhi ramai saudara-mara yang mengandaikan jenazah akan berada di rumahnya di Choa Chu Kang.


Sementara menanti dibawa ke pusara, kedua-dua jenazah diletak di bilik berbeza namun bersebelahan satu sama lain.







Di luar ruang bilik itu, nama kedua-duanya tertera bagi mempermudahkan anggota keluarga dan teman melawat jenazah dan mengucapkan takziah.

Ibu Allahyarham Mohammad Shahfiq, Cik Norris Sanat, 48 tahun, berkata beliau dibenarkan menatap wajah anaknya sehingga sekitar 1 pagi di Woodlands – iaitu setelah jenazah dibawa pulang.

Terdahulu suami serta anak sulungnya berangkat ke Johor sejak 6 pagi 23 Mac untuk menguruskan jenazah Allahyarham di seberang Tambak.


Sekitar 9.30 pagi, dua sesi solat jenazah telah diadakan bagi menampung bilangan penziarah yang begitu ramai di dewan meletak kereta itu.

Tidak berupaya menahan tangisannya, Cik Norris berkata: “Dia (Mohammad Shahfiq) belum sempat berbuka dengan saya (sebelum kemalangan itu).”

“Dia kerja, sepatutnya hari ini (24 Mac) dia cuti untuk buka dengan saya.”

Allahyarham Mohammad Shahfiq, merupakan pemenang rancangan adubakat ‘Anugerah 2017’, dan anak kedua dalam keluarga empat beradik.

Beliau bertugas sebagai pegawai pentadbir pengendali gimnasium, Anytime Fitness, dan sepatutnya bakal bernikah pada 7 Disember.

Tujuh sekawan itu yang dalam perjalanan untuk bersahur di Pagoh, Muar telah berhenti seketika di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Yong Peng selepas menyedari seorang lagi teman mengalami tayar pancit, dan telah berhenti di satu kawasan rehat di Yong Peng.

Ketika itu, sebuah lori kontena yang hilang kawalan merempuh kumpulan berkenaan.

Kemalangan itu juga menyebabkan empat penunggang cedera parah, sementara seorang terselamat.

Mereka yang cedera parah dirawat di hospital di seberang Tambak.







Kedua-dua jenazah kemudian tiba di Pusara Aman sekitar 10.30 pagi dan selamat disemadikan sekitar 11 pagi.

Dalam penyampaian khutbah jenazah sesudah kedua-dua teman itu dikebumikan, seorang pegawai pengurusan jenazah berkata, betapa “mulia” kedua-dua sahabat itu disambut pulang ke rahmatullah dalam perjalanan untuk bersahur demi mendirikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.













Cik Halijah menyifatkan anak saudaranya itu sebagai seorang anak lelaki yang baik dan bertanggungjawab dan telah banyak membantu ayahnya, yang ditimpa angin ahmar beberapa tahun lalu.

Allahyarham Mohamad Firman merupakan anak kedua tiga beradik, dan bekerja di pelabuhan PSA.

Abang kepada Allahyarham Mohamad Firman, Encik Mohamad Firhan, 30 tahun, berkata keluarganya dalam keadaan sangat berdukacita dan enggan diwawancara ketika ditemui di Pusara Aman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >