SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pek jagaan Palang Merah S’pura bantu warga emas hadapi cuaca panas, jerebu

Pek jagaan Palang Merah S’pura bantu warga emas hadapi cuaca panas, jerebu

Usaha program HoME+ bakal dekati 10,000 penduduk berisiko akibat perubahan iklim
Apr 6, 2026 | 7:46 PM

Pek jagaan Palang Merah S’pura bantu warga emas hadapi cuaca panas, jerebu

Palang Merah Singapura, kesan haba, jerebu
Semasa mengagihkan pek penjagaan oleh Palang Merah Singapura (SRC) pada 6 April di flat sekitar kejiranan Hougang, Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, berkongsi dengan warga emas, Cik Magdalene Tan, tentang cara mengurangkan kesan haba dan jerebu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sekitar 80 warga emas di serata Singapura yang terlibat dalam program Pemantauan Rumah dan Jagaan Warga Emas (HoME+) akan menerima pek penjagaan dengan barangan keperluan bagi membantu mereka menghadapi cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda Singapura ketika ini.

Palang Merah Singapura (SRC) yang mengendalikan program pemantauan, pemberitahuan dan respons bagi warga emas yang tinggal bersendirian itu, mengagihkan pek mengandungi tuala penyejuk, pelitup muka (termasuk pelitup N95), botol air serta kipas mudah alih itu demi melindungi kesihatan pernafasan warga senja yang dibantu itu.

Pengagihan pek penjagaan ini juga merupakan satu inisiatif di bawah rancangan lebih meluas SRC dalam menggerakkan sukarelawan dan rangkaian kemasyarakatan seisi negara agar berkongsi maklumat penting mengenai kesihatan akibat jerebu dan perubahan cuaca yang kian terasa.

Barangan dalam pek penjagaan yang disediakan Palang Merah Singapura.
Barangan dalam pek penjagaan yang disediakan Palang Merah Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Penolong Setiausaha Agung Operasi SRC, Cik Charis Chan, inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesan cuaca panas dan jerebu terhadap golongan warga emas yang lebih terdedah, khususnya mereka yang tinggal bersendirian tanpa sokongan segera daripada ahli keluarga.

Kata beliau kepada Berita Harian (BH): “Kami berhasrat mendekati sekitar 10,000 penduduk dan sekitar 700 sukarelawan dalam tiga bulan mendatang.”

Di bawah program HoME+, kediaman warga emas dilengkapi dengan sistem pemantauan 24 jam, termasuk penderia pergerakan dan butang kecemasan, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa dipantau.

Sekiranya berlaku kecemasan, warga emas boleh menekan butang tersebut untuk mendapatkan bantuan dengan segera.

Pasukan responden kemudian akan menghubungi mereka untuk membuat penilaian awal, memberi nasihat yang sesuai atau mengaktifkan khidmat kecemasan jika keadaan memerlukan.

Bergantung kepada situasi, responden masyarakat yang terlatih dalam bantuan kecemasan atau anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) boleh digerakkan untuk memberikan bantuan di lokasi.

Sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat, sukarelawan SRC juga akan mengunjungi warga emas yang tinggal bersendirian untuk memeriksa keadaan mereka secara langsung, berkongsi tip untuk kekal selamat dan bebas dari haba, serta menilai tahap pengudaraan di dalam rumah mereka.

Buat masa ini, hampir 160 responden masyarakat yang telah dilatih dalam bantuan kecemasan dan pengurusan kecederaan haba telah tampil secara sukarela untuk menyokong usaha ini di lapangan.

SRC memberitahu BH, kebanyakan warga emas di bawah program HoME+ menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, selain sesetengahnya yang mengalami masalah pergerakan atau bergantung kepada kerusi roda, sekali gus menjadikan mereka lebih berisiko apabila berdepan dengan cuaca panas melampau.

Seorang warga emas yang tinggal bersendirian di flat Hougang, Cik Magdalene Tan, 83 tahun, tidak menggunakan alat pendingin hawa bagi menjimatkan kos, tetapi menghadapi kesan negatif akibat haba.
Seorang warga emas yang tinggal bersendirian di flat Hougang, Cik Magdalene Tan, 83 tahun, tidak menggunakan alat pendingin hawa bagi menjimatkan kos, tetapi menghadapi kesan negatif akibat haba. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Isu cuaca panas ini turut dikaitkan dengan perubahan iklim sejagat.

Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, memberitahu BH peningkatan suhu serta keadaan jerebu yang semakin buruk adalah antara kesan ketara perubahan iklim sejagat.

Beliau turut menjelaskan kenaikan harga bahan api dan elektrik, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh perang di Timur Tengah, memberi tekanan tambahan kepada warga emas yang tinggal bersendirian kerana mereka cenderung mengehadkan penggunaan alat pendingin hawa bagi menjimatkan kos.

“Bagi kebanyakan kita, sedikit peningkatan bil elektrik mungkin tidak memberi kesan besar.

“Namun bagi penerima bantuan kami, ia bermakna mereka tidak dapat menggunakan alat pendingin hawa, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan, terutamanya jika mereka mempunyai penyakit yang boleh menjadi lebih teruk akibat cuaca panas,” katanya lagi.

“Bagi kebanyakan kita, sedikit peningkatan bil elektrik mungkin tidak memberi kesan besar. Namun bagi penerima bantuan kami, ia bermakna mereka tidak dapat menggunakan alat pendingin hawa, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan, terutamanya jika mereka mempunyai penyakit yang boleh menjadi lebih teruk akibat cuaca panas.”
Encik Benjamin William, Ketua Pegawai Eksekutif Palang Merah S’pura.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg