SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemergian pelawak Mahadi Shor: Masyarakat hilang permata dunia lawak

Pemergian pelawak Mahadi Shor: Masyarakat hilang permata dunia lawak

Mar 27, 2026 | 8:23 PM

Pemergian pelawak Mahadi Shor: Masyarakat hilang permata dunia lawak

Mahadi Shor, pemergian, meninggal dunia, dunia lawak
Allahyarham Mahadi Shor selamat dikebumikan pada petang 27 Mac. - Foto BH oleh DIYANA TAHA

Pemergian pelawak veteran, Mahadi Shor, merupakan satu kehilangan besar buat persada seni Singapura.

Allahyarham dikenali sebagai seorang yang rendah hati, baik budi serta peramah dalam kalangan rakan dan peminat.

Beberapa rakan seni, khususnya, dalam dunia lawak jenaka, termasuk Husin Saaban dan Ahmad Stokin, turut hadir di Pusara Aman bagi pengebumian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 4.45 pagi pada 27 Mac.

Mereka berkongsi kenangan indah bersama Allahyarham Mahadi, 75 tahun, yang mesra dengan panggilan Obe Didi.

Allahyarham meninggal dunia ketika berada di Rumah Jagaan Kesihatan NTUC, setelah mengalami beberapa penyakit seperti masalah ginjal kerana kencing manis, penyakit jantung dan divertikular usus, di mana wujudnya pundi-pundi kecil yang menonjol keluar dari dinding usus besar.

Beliau yang sebelum ini dikenali menerusi watak serius sebelum beralih ke bidang komedi, selamat dikebumikan sekitar 3 petang pada 27 Mac.

Dalam suasana Jumaat yang penuh keberkatan dan hening, ramai hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk isterinya, Cik Tiasa Bujang, 73 tahun, anak, menantu dan cucu-cicitnya.

Menantu Allahyarham yang ingin dikenali sebagai Cik Tanty, 52 tahun, berkata:

“Allahyarham merupakan seorang ayah yang sangat baik hati. Kami sekeluarga sangat rapat, dan permergiannya sungguh menyedihkan.”

Allahyarham Mahadi yang pernah membawa watak Datuk Shahbandar dalam filem. Puteri Gunung Ledang (2004) juga disahkan menghidap barah di bahagian mulut sejak 2025, yang menyebabkan beliau tidak dapat bercakap serta menghadapi kesukaran untuk makan.

Difahamkan, beliau turut menghidap demensia yang menjejas daya ingatannya.

Pelawak, Ahmad Stokin mengenang hubungan baik mereka sejak memulakan perjalanan seni di kumpulan seni Sriwana dahulu.

“Kami tidak pernah berselisih faham atau bergaduh. Itu yang paling saya hargai. Saya tidak akan menemui pengganti bagi seorang sahabat, teman dan abang seperti arwah,” ujarnya.

Sementara itu, ikon jenaka Singapura, Husin Saaban, yang membentuk ‘Geng Pecah Perut’ bersama arwah dan rakan seperjuangan lain, turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat dunia hiburan setempat.

“Kami telah kehilangan sebutir permata di Singapura. Beliau seorang yang serba boleh dan tidak pernah mengecewakan,” ujarnya.

Malah, pelakon Azman Shariff turut mengenang jasa Allahyarham yang tidak lokek dari segi perkongsian ilmu serta seorang yang profesional dalam setiap lakonan dan persembahan.

Antara rakan seni yang turut hadir mengiringi pemergian Allahyarham buat kali terakhir termasuk Saifuddin Mahfuz, Azhar Noor Lesta dan Yusoff Maruwi.

Allahyarham juga merupakan antara tokoh veteran yang menerima sumbangan daripada Projek Dana Kita Prihatin (DKP) Kelab Pondok Peranakan Gelam 2026.

Antara penerima lain termasuk bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Eusofe Budal, serta pelakon Zamberi Abdul Patah, yang dikenali menerusi watak Cik Leh dalam drama Suria, Jeritan Sepi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg