SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerintah tidak akan dedah senarai luas badan asing ancam keselamatan S’pura

Pemerintah tidak akan dedah senarai luas badan asing ancam keselamatan S’pura

Sim Ann: Pendedahan boleh datangkan risiko operasi, keselamatan
Apr 8, 2026 | 7:02 PM

Pemerintah tidak akan dedah senarai luas badan asing ancam keselamatan S’pura

Pemerintah telah mengeluarkan senarai individu dan entiti khusus yang berkaitan dengan keselamatan negara.

Namun, tiada rancangan untuk mendedahkan lebih banyak senarai organisasi asing yang mungkin menimbulkan ancaman keselamatan kepada Singapura.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, menjelaskan bahawa mendedahkan senarai tersebut boleh mendatangkan risiko operasi dan keselamatan.

“Hari ini, pemerintah menerbitkan senarai individu dan entiti bagi tujuan khusus berkaitan keselamatan negara,” ujar beliau.

“Sebagai contoh, organisasi asing tertentu yang ditetapkan sebagai entiti pengganas disenaraikan dalam jadual pertama Akta Keganasan (Penyekatan Pembiayaan) atau TSOFA,” tambah beliau.

Penjelasan ini disampaikan bagi menjawab soalan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) di Parlimen pada 8 April, yang meminta senarai tersebut, serta kekerapan pemantauan dan semakan semula kegiatan organisasi berkenaan.

Cik Hazlina turut menyentuh tentang minat besar masyarakat terhadap laporan dua warga Singapura yang menjadi sukarelawan untuk sebuah organisasi yang dikaitkan dengan tentera Israel.

Dua warga Singapura itu pernah menjadi sukarelawan dengan Sar-El Volunteer Corps, sebuah organisasi yang mempunyai kaitan dengan tentera Israel, pada 2016.

Tiada tindakan diambil terhadap mereka selepas pihak berkuasa mendapati mereka tidak terlibat dalam kegiatan ketenteraan.

Mengulas di Parlimen, Cik Sim berkata:

“Apabila terdapat kes-kes seperti yang dibangkitkan Anggota Parlimen (AP), Cik Hazlina, kami telah menyebarkan mesej sedia ada melalui media.

“Sangat penting bagi rakyat Singapura untuk memahami dengan mendalam apakah kepentingan nasional kita.”

Cik Sim turut menyatakan bahawa program berkala dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman keselamatan, termasuk daripada kumpulan yang membimbangkan seperti pengganas asing.

“Kami juga telah menegaskan secara terbuka bahawa rakyat Singapura dilarang menyertai konflik bersenjata asing dan perlu berwaspada apabila berurusan dengan organisasi yang mempunyai kaitan dengan pihak tentera, agensi keselamatan, atau perisikan asing,” tambah beliau.

Selain itu, terdapat batasan dan kewajipan di bawah pelbagai statut seperti Undang-undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (Fica) berhubung keahlian dalam badan perundangan atau politik asing.

Ini termasuk Akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang melarang pemberian nasihat teknikal, bantuan, atau latihan kepada individu, entiti dan organisasi asing yang telah ditetapkan.

Sekiranya perlu, pemerintah akan mengeluarkan nasihat perjalanan mengenai perkembangan di luar negara yang mungkin mempunyai implikasi keselamatan, ujar beliau.

“Rakyat Singapura hendaklah melakukan usaha sewajarnya dan lebih berhati-hati sekiranya ragu-ragu.

“Setiap individu bertanggungjawab memastikan mereka mematuhi undang-undang kita dan tidak bertindak dalam cara yang mengancam kepentingan nasional Singapura,” tegas beliau.

Cik Hazlina kemudian meminta penjelasan lanjut mengenai kerjasama antara agensi, pertubuhan masyarakat dan sekolah dalam meningkatkan kesedaran awam sejak awal tentang risiko keselamatan negara.

Menjawab, Cik Sim berkata gerakan SGSecure adalah antara pendekatan pemerintah untuk menyebar maklumat penting agar rakyat Singapura sentiasa peka terhadap risiko keselamatan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg