Topic followed successfully
Go to BHkuPemimpin S’pura ucap tahniah kepada presiden dan perdana menteri Laos
Pemimpin S’pura ucap tahniah kepada presiden dan perdana menteri Laos
Kerjasama dalam pelbagai bidang seperti kemampanan dan perubahan digital semakin meluas antara kedua-dua negara
Pemimpin S’pura ucap tahniah kepada presiden dan perdana menteri Laos
Para pemimpin Singapura telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden dan Perdana Menteri Laos atas pelantikan semula mereka dalam pilihan raya awal minggu ini.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, melalui suratnya, menyentuh hubungan Singapura-Laos yang terus berkembang kukuh di bawah kepimpinan Presiden Laos, Encik Thongloun Sisoulith.
Kerjasama dua hala dalam pembangunan sumber manusia kekal mantap dan terus berkembang, disesuaikan mengikut keutamaan pembangunan Laos, katanya.
Tuan Presiden menambah, kerjasama juga kian meluas merangkumi bidang kemampanan dan perubahan digital.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara telah memulakan perdagangan rentas sempadan bagi tenaga boleh diperbaharui, sebagai penunjuk laluan bagi Grid Kuasa Asean, tambahnya.
Beliau menekankan bahawa dalam persekitaran dunia yang tidak menentu, negara kecil seperti Singapura dan Laos perlu lebih erat bekerjasama.
Tuan Presiden turut mengundang rakan sejawatnya itu ke Singapura untuk lawatan negara, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 26 Mac.
Lawatan itu diharap dapat memperluas kerjasama demi kepentingan bersama, tambah Tuan Presiden.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam suratnya kepada Perdana Menteri Laos, Encik Sonexay Siphandone, turut menyampaikan tahniah, sambil berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu terus kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata kerjasama pembangunan keupayaan terus berkembang, termasuk pelancaran satu kursus kepimpinan dan tadbir urus dwitahunan khas untuk pegawai Laos pada Jun 2025.
Selain itu, terdapat fasa kedua kerjasama tenaga bersih melalui Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
Encik Wong berkata kedua-dua negara turut memperkuat kerjasama dalam bidang kredit karbon dan usaha membanteras jenayah rentas negara.
Kedua-dua pemerintah juga saling menyokong di peringkat serantau melalui Asean dan di pelbagai wadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta antarabangsa.
Beliau menambah, tatkala Laos melaksanakan Pelan Pembangunan Sosioekonomi Nasional ke-10, Singapura berharap dapat terus berganding bahu memperkukuh kerjasama dua hala, bagi memajukan kepentingan bersama.
Laos, dengan hampir lapan juta penduduk, merupakan satu-satunya negara tanpa pantai di Asia Tenggara.

